suria

Demi satu tiub di hidung pesakit strok dan seorang isteri yang datang merayu... doktor ini buat keputusan mengejutkan!

Dr Ahmad Samhan mengekori kereta yang dipandu seorang wanita untuk 'homevisit'. Dr Ahmad Samhan (gambar kecil) dengan kelengkapan perubatannya. -Gambar hiasan foto Dr Ahmad Samhan

BILA suami atau isteri jatuh sakit, pasanganlah yang kena ambil peduli.

Ibarat kasih hingga hujung nyawa, yang menyaksikan hidup mereka bersama ketika susah dan senang.

Seorang wanita warga emas menjadi perhatian apabila datang ke sebuah klinik demi suaminya yang sakit akibat strok.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sebak lihat isteri minta maaf berkali-kali sebelum suaminya diintubasi - "Jika makin kritikal, terus pergi tanpa dapat berbicara lagi"

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terbaring nafasnya laju, doktor dapat rasakan 'sesuatu' sebaik melangkah masuk rumah pesakit... selalu berselisih bahu tugas malaikat maut - "Aku bukan bomoh atau ustaz"

Wanita berusia 60-an itu dilihat melangkah masuk ke bilik dengan mengatur langkahnya perlahan-lahan.

"Sila duduk puan," kata doktor yang bertugas.

Lantas wanita itu memulakan bicaranya.

"Maaf mengganggu doktor. Saya nak minta tolong doktor sangat-sangat. Saya nak minta doktor datang rumah saya," katanya.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di laman Twitter milik beliau.

"Boleh saya tahu kenapa?" tanya doktor ringkas.

"Saya tinggal berdua bersama suami. Suami saya sudah beberapa bulan terlantar akibat strok. Dari semalam saya tak boleh beri susu sebab tiub hidung tercabut.

"Semalam saya dah panggil MA (pembantu perubatan) datang rumah. Dia dah masukkan tapi terkeluar balik
," demikian tulis Dr Ahmad Samhan yang mengimbas kembali pertemuan dengan wanita itu di laman Twitter milik beliau.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samhan berkata, wanita itu memaklumkan bahawa dia disarankan oleh klinik kesihatan supaya membawa suaminya ke klinik.

"Saya tempah ambulans bayar RM140. Pakcik tak ada duit pencen. Sampai sana Misi (jururawat) dah masuk tiub. Balik rumah, rupanya tiub itu bergulung dalam mulut.

"Makcik terpaksa cabut. Suami makcik lapar," ujar beliau yang memetik penjelasan waris pesakit itu yang panjang lebar.

Bagaimanapun, doktor berusia 35 tahun itu bertugas keseorangan di klinik yang menyukarkan beliau untuk pergi ke rumah wanita berkenaan.

"Doktor tolong makcik doktor," rayu wanita itu.

Air matanya mula mengalir deras membasahi pipi. Lantas dicapai tisu dari dalam beg tangan untuk dilap.

"Aku pula sebak. Aku perhati dari raut wajahnya. Jelas kelihatan muka yang penuh berharap pertolongan daripada aku. Mata bengkak mungkin tidak cukup rehat menguruskan suami yang sakit," ujar beliau.



Dr Ahmad Samhan sebak dengan penjelasan waris pesakit.

Beliau yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudian membuat keputusan yang tidak disangka-sangka.

"Sediakan bag, saya nak pergi homevisit. Kalau ada pesakit datang klinik beritahu doktor keluar untuk homevisit, pesanku pada staf.

"Saya naik motor ikut makcik di belakang ya," ujar beliau mengekori wanita itu yang memandu kereta pulang ke rumahnya.

Bukan senang seorang isteri seorang diri mahu uruskan suami yang strok. Letih badan, letih emosi. Tambah lagi kos perubatan pun tak murah.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

Setiba di rumah wanita itu, Dr Ahmad Samhan membuat pemeriksaan keseluruhan pada suaminya dan memasukkan tiub hidung.

"Makcik, tiub saya dah masuk. Lepas ini dah boleh bagi susu pada pakcik. Terima kasih doktor, terima kasih doktor, terima kasih doktor. Tak henti-henti dia ucapkan terima kasih.

"Berapa bayarannya doktor? Tak apa makcik. Saya tak ambil apa-apa bayaran. Anggap saja ini sedekah saya pada pakcik," kata beliau mengimbas kembali perbualan beliau bersama waris pesakit.



Seorang wanita warga emas menghargai bantuan Dr Ahmad Samhan.

Sekali lagi air mata makcik itu tidak mampu ditahan sehingga mengalir deras, sambil menambah beliau telah berniat dari awal untuk membantu pasangan suami isteri itu.

"Aku cukup faham kesusahan yang sedang dihadapi makcik ini. Bukan senang seorang isteri seorang diri mahu uruskan suami yang strok. Letih badan, letih emosi.

"Tambah lagi kos perubatan pun tak murah. Mahu menampung kos hidup seharian lagi. Tambahan pula anak tunggalnya di Kuala Lumpur baru dibuang kerja. Berapa sangat mampu dikirimkan wang ke kampung.

"Kalau dikata jihad itu adalah amalan yang sangat dicintai maka berbakti pada yang memerlukan adalah jihad kecil kita. Kadang perkara itu nampak remeh di mata orang lain tapi sungguh berat pada yang menanggung.

"Semoga semua bakti kita dari sekecil-kecil perkara itu menjadi penilaian Tuhan dan wujud cintaNya pada hambaNya," ujar Dr Ahmad Samhan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain