suria

Baru nak mula bisnes, dua beradik dah diduga! Pasar tani ‘banjir’ bandung cincau, satu gelas pun tak sempat jual - “Dua hari mak penuhkan air empat balang tu”

Video dikongsi Amer meraih lebih setengah juta tontonan.

DUGAAN yang dihadapi dua beradik peniaga air balang di sebuah pasar tani pada Rabu lalu ternyata mengundang sebak netizen.

Dalam satu video tular, meja yang digunakan untuk meletak empat balang minuman tiba-tiba patah, menyebabkan kawasan tapak jualan itu 'banjir' dengan air yang dijual mereka.

Menurut Muhammad Amer Danial Rosidi, 21, dia dan abangnya, Muhammad Amirul Hafiz, 26, mula berniaga air balang sejak dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, “Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah”

ARTIKEL BERKAITAN: Jual air sambil buat choral speaking, pelanggan ‘layan’, beratur panjang pun OK

Mereka sebelum ini sudah empat tahun berniaga di pasar tani, tiga kali seminggu di tiga lokasi berbeza di sekitar Perak.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Amer mengakui sebak apabila mengenangkan semula kejadian malang itu.

"Sebelum ni saya dengan abang berniaga makanan seperti nasi goreng, mi goreng dan kuey teow. Sejak dua minggu lepas, kami ambil satu lagi tapak untuk jual air balang.

Dua beradik itu sebelum ini turut berniaga makanan di pasar tani.

"Sewaktu kejadian, kami baru sahaja nak memulakan jualan. Ada empat balang berisi air teh lemon, lemon laici, coklat dan bandung cincau.

"Tiba-tiba kaki meja patah, balang pun pecah. Kejadian berlaku dalam pukul 4 petang. Memang sebak masa tu.

"Saya cuma sempat selamatkan satu bekas kecil air untuk diminum," ujarnya yang menetap di Desa Sri Iskandar.

Saya cuma nak ucapkan terima kasih kepada semua yang doakan kami. Moga anda semua dimurahkan rezeki.

AMER

Tambah Amer, dia bertambah sebak apabila mengenangkan segala penat lelah ibunya yang membantu dalam proses penyediaan air itu di rumah.

"Mak ambil masa dua hari nak penuhkan air empat balang tu. Itu air yang dimasak, bukan air paip. Tapi tak sempat nak jual satu cup pun," ujarnya.

Namun kata Amer, dia reda dan menganggap rezeki tidak memihak kepada dia dan abangnya pada hari itu.

Ada netizen mahu mendermakan wang untuk Amer membeli balang air baharu.

Malah, dia sendiri tidak menyangka video kejadian yang dikongsi di TikTok turut menjadi tular sehingga ke negara seberang.

"Saya rakam video sebab nak tunjuk kepada mak. Kemudian saya kongsikan juga di TikTok. Dalam satu malam, saya dapat dalam 2,000 komen doa dari Malaysia dan Indonesia.

"Ada yang tanya lokasi kami berniaga, mereka nak datang beli lain kali. Ada dua ke tiga individu minta nombor akaun bank.

"Mereka nak derma wang untuk saya beli balang air baharu. Saya bersyukur sangat, masa balang pecah tu saya dah terfikir bahawa ia bukan rezeki kami.

Gerai yang diusahakan dua beradik itu.

"Rupa-rupanya ada rezeki lain. Saya cuma nak ucapkan terima kasih kepada semua yang doakan kami. Moga anda semua dimurahkan rezeki," ujarnya.

Bercerita mengenai dirinya, Amer kini merupakan penuntut diploma Turath di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Kota Bharu, Kelantan.

Kata Amer, dia dan abangnya kini turut dibantu seorang pekerja.

"Saya dah berniaga sejak tingkatan lima. Sekarang ada seorang pekerja baharu.

"Nanti saya dah masuk belajar balik dan tak boleh tolong, sekurang-kurangnya ada pekerja untuk tolong abang," ujarnya lagi.

Sehingga kini, video yang dikongsi Amer meraih hampir 700,000 tontonan di TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain