BUKAN calang-calang dugaan! Itulah yang ditanggung oleh pemuda ini apabila lima ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya maut dalam kemalangan ngeri pada 2003. Pemuda ini yang turut berada dalam kenderaan yang dipandu arwah bapanya bagaimanapun terselamat, tetapi mengalami kecederaan pada mata serta kepala. ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... Ibu menyusul selepas 42 hari bapa meninggal dunia, anak bongsu puas dapat mandikan dua jenazah ARTIKEL BERKAITAN: “Kami terpilih untuk dugaan ini” - Lima nyawa keluarga hilang akibat Covid-19, Aidilfitri disambut ala kadar dengan seribu makna Kelihatan tabah dan kuat ketika berkongsi mengenai kisah keluarganya di aplikasi TikTok, ternyata apa yang dirasai pemuda berkenaan turut sama mengundang sebak netizen. Sehingga kini beberapa klip video mengenai kisah keluarganya itu meraih lebih dari 100,000 tontonan malah ada yang hampir mencapai 950,000 tontonan. Berkongsi cerita dengan mStar, Aidil Aminuddin berkata ketika kejadian dia baru berusia empat tahun. Lima ahli keluarga Aidil meninggal dunia kerana tersepit di dalam kereta. "Masa tu arwah ayah nak hantar tempahan pelanggan kerana dia merupakan seorang pencetak baju. Dalam perjalanan pulang dari Serendah ke Kampung Baru, kereta dari belakang nak potong kereta kami namun ia bertembung dengan lori tangki di laluan bertentangan. "Lori tangki hilang kawalan lalu terbalik dan menimpa kereta kami. Saya tercampak keluar. Tetapi ibu, ayah, abang, kakak dan adik tersepit dalam kereta. Adik masih hidup ketika diselamatkan namun tengah hari keesokannya, dia turut hembuskan nafas terakhir. "Saya tak berapa ingat dengan jelas ketika itu. Apa yang saya ingat, saya sedar apabila dah berada di atas stretcher," cerita pemuda berusia 22 tahun ini. Keratan akhbar yang disimpan oleh nenek Aidil. Menurut Aidil, kemalangan tersebut mengorbankan 11 nyawa dengan lima daripada mangsa terdiri daripada ahli keluarganya. Akibat kemalangan tersebut, dia mengalami masalah penglihatan pada mata kanan kerana dimasuki kaca, selain mengalami luka luaran di bahagian kepala. "Kini saya hanya bergantung dengan mata kiri saja. Saya tak ingat bilakah waktu sebenar saya tahu mengenai kehilangan ibu dan ayah serta tiga adik beradik. Nenek yang banyak bercerita dan menyimpan keratan akhbar mengenai tragedi itu. Selama 18 tahun membesar dengan nenek hingga sekarang. Kini giliran saya pula jaga dia. AIDIL AMINUDDIN "Cuma saya mula rasa kehilangan apabila setiap kali aktiviti sekolah seperti mengambil kad laporan dan sebagainya, semuanya dihadiri oleh nenek. Hairan juga sebab orang lain, mak ayah yang datang. "Masa itu nenek akan ceritakan apa yang berlaku. Lama-kelamaan saya makin boleh menerimanya," katanya. Gambar kenangan arwah ibu dan bapa Aidil yang terkorban dalam kemalangan tragis itu. Menurut Aidil yang juga anak keempat daripada lima adik beradik, sejak kehilangan ibu bapa iaitu Aminuddin Abdul Rahman dan Norlina Jaafar, nenek dan kakaklah tempatnya menumpang kasih. "Saya bersyukur masih ada seorang kakak. Ketika kejadian, dia tak ikut sebab bersama nenek. Sebenarnya, beberapa bulan sebelum tragedi, datuk pergi dahulu meninggalkan kami semua. Kemudian, lima ahli keluarga pula menyusul serentak. "Nenek paling tabah... kehilangan suami, kemudian kehilangan anak dan cucu. Neneklah yang jadi ibu dan ayah kami. Selama 18 tahun membesar dengan nenek hingga sekarang. Kini giliran saya pula jaga dia. Sejak kehilangan kedua-dua orang tua, kakak dan neneklah tempat Aidil menumpang kasih. "Sayang nenek sangat-sangat. Saya tak dapat bayangkan hidup tanpa dia. Pernah tak lama dulu nenek tiba-tiba ajak kami semua bergambar. Saya dah rasa lain... automatik menangis. Tapi saya anggap mungkin dia nak abadikan kenangan," katanya yang bekerja sebagai seorang pereka grafik di sebuah syarikat. Tidak menyangka video-videonya mendapat perhatian, Aidil berkata dia sekadar mahu menyampaikan mesej supaya menghargai ibu bapa selagi mereka masih hidup. "Saya sedih bila baca kisah anak tinggalkan mak ayah, tak pedulikan mereka... ada yang lebihkan masa main gajet atau terlalu asyik dengan perkara lain hingga lupa mak ayah. "Mungkin mereka belum rasa erti sebuah kehilangan. Saya cuma harap mereka dapat luangkan lebih banyak masa dengan orang tua," katanya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!