suria

Tiada sikit pun darah Melayu atau Inggeris, ‘Minah Salih Celup’ ini bukan main petah loghat utara! - “Ada yang cakap saya guna kad pengenalan beli”

Sabrina lahir di Tajikistan dan tinggal di sana sehingga beumur tujuh tahun.

MENGGELARKAN dirinya sebagai 'Minah Salih Celup', kehadiran gadis ini ternyata mencuri perhatian netizen.

Selain itu, Abdulloeva Sabrina Habibulloevna, 22, turut diminati ramai kerana kepetahannya berbahasa Melayu dalam dialek utara.

Bercakap kepada mStar, gadis Tajikistan yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang itu mendedahkan dia sebenarnya langsung tidak memiliki darah keturunan Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka berdarah kacukan gara-gara video TikTok, jejaka akui ada yang terkejut dia boleh cakap loghat Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN: Bakat nyanyian bawa gadis kacukan Malaysia-Filipina ke peringkat dunia, tapi kenapa ada yang tak puas hati?

"Saya tiada kacukan. Ibu dan bapa kandung saya merupakan orang Tajikistan. Kemudiannya ibu bapa saya berpisah.

"Ibu saya berkahwin semula dengan orang Malaysia dan saya pindah ke negara ini ketika berusia lapan tahun.

"Saya lahir di Tajikistan dan tinggal di sana sehingga umur tujuh tahun," ujarnya.

Sabrina bersama ibunya.

Menurut penuntut bidang Biologi Binaan di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, dia turut berdepan cabaran ketika mula berpindah ke Malaysia.

Paling sukar tentunya untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu, ditambah pula ketika itu dia tidak tahu berbahasa Melayu mahupun Inggeris.

"Agak susah, saya datang sini dah sekolah darjah dua. bahasa Melayu tak tahu, bahasa Inggeris pun tak tahu.

"Saya dah selalu disoal mengenai hal itu, orang tanya saya ada kad pengenalan ke?

SABRINA

"Pada waktu itu saya hanya reti bercakap bahasa asal saya dan sedikit bahasa Rusia. Jadi mak saya ajar bahasa Inggeris, kemudian baru saya belajar bahasa Melayu.

"Dialek utara pula saya mula kuasai ketika sekolah tingkatan tiga. Terikut kawan-kawan, masa tu saya banyak bergaul dengan kawan-kawan Melayu.

"Terikut-ikut dan kekal sampai hari ini," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai video-video TikTok miliknya, Sabrina juga gembira apabila ramai netizen memberi reaksi positif terhadap kehadirannya.

Sabrina memiliki hampir 50,000 pengikut di Instagram.

Sehingga kini, dia juga sudah mengumpul hampir 50,000 pengikut di laman video popular itu.

"Saya dah lama ada TikTok, cuma baru aktif buat video sejak minggu lepas. Ada juga saya buat video jelaskan mengenai kad pengenalan.

"Saya dah selalu disoal mengenai hal itu, orang tanya saya ada kad pengenalan ke? Ada yang cakap saya guna kad pengenalan beli.

"Saya masih guna pasport lagi. Mak saya duduk sini 13 tahun pun pakai kad pengenalan merah," ujarnya.

Sabrina bercadang membuka saluran YouTube tak lama lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Sabrina memiliki tiga orang adik, hasil perkahwinan kedua ibunya.

Dalam pada itu, Sabrina turut menzahirkan rasa terima kasih kepada netizen yang banyak memberi sokongan terhadapnya di media sosial.

Sabrina turut meluahkan hasrat untuk bergelar YouTuber tak lama lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain