suria

Dulu segak di awan biru, kini kandang jadi tempat bermain! Lelaki ini buktikan ‘pramugara tak lembik’ - “Bergelumang najis, bau busuk perkara biasa”

Fazrul yang pernah bertugas sebagai pramugara kini menjadi penternak haiwan seperti kambing, lembu. ayam dan itik.

"KRU kabin? Alahai lembiklah. Kru ni manja."

"Kru ni spesis tak boleh kena panas. Tak boleh berpeluh. Kru ni harap bergaya je, kerja tak reti."

Demikian kritikan yang dilontarkan terhadap pramugara sehingga seorang pemuda yang berpengalaman melakukan tugas itu membuat perkongsian transformasi di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, kini bergelar polis... pernah buat 2 kerja lain, bekas pramugara reda plan asal balik kampung tak menjadi - "Pernah ceramah remaja mencuri sampai menangis"

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, pramugara tak mahu terus 'terduduk' dibuang kerja! 2 hari berkurung, kemudian buka spa di rumah - "Duduk saja bukan dapat duit"

Siapa sangka dia yang berpengalaman berkhidmat dalam pesawat dan pernah dikritik kini membuktikan dirinya juga mampu melakukan kerja-kerja lasak.



Berpengalaman sebagai pramugara lebih enam tahun.

Pemuda berkenaan, Mohd Fazrul Zainal Aribidin berkata, di bertugas sebagai pramugara selama lebih enam tahun sebelum khidmatnya ditamatkan pada November 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Namun anak muda itu memberitahu, kira-kira dua tahun sebelum pemberhentiannya di sebuah syarikat penerbangan, dia telah pun berjinak-jinak dengan bidang penternakan.

"Saya mahu menangkis tanggapan negatif masyarakat bahawa kerja sebagai pramugara ni hanya tahu bergaya saja, tak mampu buat kerja-kerja kasar.

"Ada yang kata 'beauty without brain', hanya bermodalkan rupa tapi kerja tak seberapa. Tapi tanpa mereka sedar, bukan semua orang yang kerja di pejabat mampu melakukan tugasan kami dalam pesawat yang melibatkan keselamatan dan nyawa penumpang," katanya kepada mStar.



Fazrul turut menternak ayam.

Fazrul yang berusia 36 tahun berkata, pramugara atau kru kabin sebenarnya melakukan pelbagai tugas dan bukan sebagai 'pelayan' semata-mata sepanjang penerbangan.

Malah katanya, kru kabin yang diberhentikan kerja ketika pandemik juga mampu melakukan pelbagai kerja yang tiada kaitan dengan skop tugas di awan biru.

"Banyak contoh boleh nampak, ramai yang bukan lagi kru kabin buka bisnes cuci kereta, jual makanan, jadi ejen insurans termasuk membuat khidmat penghantaran," ujar anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu.



Ketika mencari pelepah sawit untuk makanan ternakan.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, pembabitannya dalam bidang penternakan pada 2018 pada mulanya sekadar suka-suka bagi menjana pendapatan sampingan.

"Saya bela kambing, lembu, ayam dan terbaru ada itik. Kandang saya sewa untuk ternak haiwan-haiwan ini. Ada yang saya jual ternakan hidup atau pengiraan mengikut daging.

Saya mahu menangkis tanggapan negatif masyarakat bahawa kerja sebagai pramugara ni hanya tahu bergaya saja, tak mampu buat kerja-kerja kasar.

MOHD FAZRUL ZAINAL ARIBIDIN

"Setakat ini, dianggarkan ada 50 ekor kambing, lebih 200 ekor ayam, lebih 50 ekor itik dan 10 ekor lembu. Namun, jumlah ini berubah-ubah mengikut permintaan," ujarnya sambil menambah bapanya mengusahakan bisnes pencuci muka dan ibunya adalah suri rumah, yang tiada pengalaman dalam penternakan.

Sebagai penternak, Fazrul berkata, tugasnya kini jauh lebih lasak daripada segelintir individu yang mencemuh kerjayanya menjadi pramugra.



Mula menternak haiwan sejak 2018 ketika masih bertugas sebagai pramugara.

"Bila masuk kandang, bergelumang dengan najis haiwan dan bau busuk adalah perkara biasa. Saya juga ke ladang kelapa sawit bagi mendapatkan pelepahnya untuk makanan haiwan ternakan.

"Di kandang dan ladang tak ada aircond atau kipas macam di pejabat. Berpanas dan berpeluh, atau basah kuyup kalau tiba-tiba hujan, yang saya lalui masa jadi pramugara lagi," ujarnya.



Cabaran sebagai pramugara dan penternak tetap sama bagi Fazrul.

Walaupun pramugara dan penternak merupakan dua sumber rezeki yang berbeza, namun bagi Fazrul, cabaran tetap sama terutama dari segi fizikal, mental dan emosi.

"Kalau fly, kita kena layan perangai dan sikap penumpang. Kalau manusia ni bolehlah juga faham, tapi susah nak faham kalau jaga haiwan ni.

"Sama ada kerja di pejabat, dalam pesawat atau di kandang mahupun apa tugas sekali pun, semuanya ada peranan dan cabarannya. Apa yang penting kita respek kerjaya masing-masing," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain