suria

Siswa ajar bahasa Arab cara mudah di TikTok kumpul lebih 100,000 pengikut, walau tak pernah jumpa tetap sayang anak muridnya... tapi kenapa ramai salah faham usianya?

Video belajar bahasa Arab dalam cara menghiburkan yang dihasilkan Syawan meraih perhatian ramai di TikTok.

USAHA seorang pelajar yang memperjuangkan bahasa Arab menerusi video TikTok ternyata membuahkan hasil apabila dia kini memiliki lebih 122,000 pengikut di aplikasi itu.

Menurut Muhammad Syazwan Abu Bakar, 21, dia mula berkongsi video-video pembelajaran bahasa Arab sejak Oktober tahun lalu dan tidak menyangka akan meraih perhatian netizen.

Ketika dihubungi mStar, penuntut Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu turut menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam kalangan segelintir pengikut di laman TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajahnya sering buat pengikut di TikTok keliru, tapi masih ramai berminat nak dalami ilmu daripada jejaka Arab-Malaysia ini

ARTIKEL BERKAITAN: Risau tapi bangga! Suami kongsi isterinya panas pakai sut, tak ada masa nak makan rawat pesakit Covid-19 di Arab Saudi

"Ramai yang salah faham sebab muka saya nampak tua. Sebenarnya usia saya baru 21 tahun. Ada yang fikir saya dah kahwin, ada pula yang anggap saya seorang guru.

"Saya sebenarnya masih belajar lagi. Tahun lepas, sahabat saya menghasilkan video TikTok dengan content berkaitan sejarah.

"Jadi dia bagi idea kepada saya. Why not buat content mengajar bahasa Arab sebab tiada lagi yang buat seperti itu," ujarnya.

Antara video di TikTok Syazwan.

Mesra disapa Syazwan, dia mengakui terharu apabila ramai netizen yang tertarik mempelajari bahasa itu selepas menonton video dihasilkannya.

Kata Syazwan lagi, ia juga secara tidak langsung membantu dirinya untuk membina personal branding bagi projek-projek lain pada masa akan datang.

"Awalnya saya buat content spesifik untuk pelajar bahasa Arab. Hanya mereka yang belajar bahasa Arab sahaja akan faham.

Biasalah kadang-kadang kita ambil hati. Tapi bila fikir balik, kenapa nak terasa. Kita ubah jadi positif.

SYAZWAN

"Kemudiannya saya tampil dengan content lebih basic, contohnya terjemahan perkataan-perkataan ringkas. Orang yang tiada asas belajar bahasa Arab pun boleh faham.

"Sangat bersyukur dengan penerimaan ramai. Saya rasa berbaloi. Dari situ saya boleh bina personal branding.

"Mungkin suatu hari nanti boleh buka kelas bahasa Arab atau terbitkan buku," ujarnya.

Syazwan merupakan penuntut Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteran.

Kata Syazwan, dia juga tidak terlepas menerima komen negatif yang memandang rendah usahanya memperjuangkan bahasa al-Quran itu di negara ini.

Namun katanya, dia sama sekali tidak kisah dan komited dalam menghasilkan video bermanfaat untuk tontonan semua.

"Dari segi idea content, saya fikir sendiri. Pada saya, dalam TikTok kita tak boleh ajar secara serius macam dalam kelas, nanti orang bosan.

"Kadang-kadang saya buat drama pendek antara binatang, kadang-kadang buat lagu. Jadi orang akan lebih senang untuk faham.

Syazwan bersyukur menerima sokongan netizen di platform itu.

"Saya pernah jumpa komen negatif. Mereka persoal, perlu ke ajar yang basic sahaja? Ada juga saya buat silap, mereka tahu mengecam tapi tak maklumkan spesifik silap di mana untuk saya perbaiki lagi.

"Biasalah kadang-kadang kita ambil hati. Tapi bila fikir balik, kenapa nak terasa. Kita ubah jadi positif. Saya pun tak marah," ujar anak kesembilan daripada 10 beradik itu.

Menetap di Kuala Langat, Selangor, Syazwan turut menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan padu netizen.

Malah katanya, dia komited untuk menghasilkan video setiap hari agar lebih ramai individu di luar sana tertarik untuk mempelajari bahasa Arab.

"Saya sangat terharu dan bersyukur. Mereka sokong sejak saya kosong. Walaupun hakikatnnya tak pernah jumpa, saya sayang mereka macam keluarga sendiri," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain