BIARPUN dibesarkan dalam keluarga tukang jahit, wanita ini mengakui dia tidak pernah belajar kemahiran itu secara mendalam. Menurut Aina Yaslina Mat Yahya, 25, dia hanya membantu memudahkan kerja ibunya dengan menghulurkan pertolongan ringkas dan belum pernah menjahit baju sendiri. Namun, kisahnya yang menghasilkan kaftan buat pertama kali pada Jumaat lalu tular dan meraih perhatian ramai selepas ia dikongsi menerusi TikTok. ARITKEL BERKAITAN: Ibu hidap kanser tak menang tangan jahit manik pada selipar selepas diramal hanya ada 9 bulan untuk hidup... anak berkorban jaga 3 wanita tersayang ARTIKEL BERKAITAN: “Lepas tersepit aku yang kena drift dengan mak aku” - Kongsi gambar mesin jahit, tak sangka ramai ada nostalgia Mesra disapa Aina, dia mendedahkan menonton video panduan di YouTube dalam proses jahitan itu dan tidak menyangka ia berjaya disiapkan dalam tempoh tiga jam. "Mama, nenek dan makcik-makcik saya memang pandai menjahit. Mereka ambil tempahan baju kurung, baju Melayu dan sebagainya. "Dulu saya hanya tolong mudahkan kerja mama. Tolong yang ringkas-ringkas seperti jahit butang. Buat yang asas sahaja. Aina menggayakan kaftan itu untuk ke majlis kenduri pada Sabtu. "Memang tak pernah jahit baju sendiri. Tapi pada Jumaat tu saya tiba-tiba rasa rajin. Saya terus cari tutorial dan jahit guna kain yang ada. "Lagipun kaftan tidak serumit baju kurung atau baju kebaya. Bila cuba, tak sangka menjadi. Agak terkejut juga walaupun jahitan tak berapa kemas," ujarnya kepada mStar. Menurut Aina yang menetap di Bangi, Selangor, baju kaftan yang dijahit sendiri itu sempat dipakai untuk menghadiri sebuah majlis kenduri pada Sabtu. Ada yang puji kaftan itu biarpun saya tahu jahitannya tak kemas. AINA "Kebetulan ada kenduri. Suami pula hanya ada baju Melayu biru. Saya tak ada baju warna biru. Jadi saya jahitlah kaftan tu. "Jahit pun memang kejar masa. Nak tanya mama pun, kami tinggal berasingan. Hanya YouTube yang jadi panduan. "Rasa menyesal juga tak belajar dengan mak. Tapi dulu memang tak ada minat. Saya cuma nak mudahkan kerja mama, nak cepat siapkan tempahan baju orang," kata Aina yang juga seorang jurusolek sambilan. Biarpun tidak belajar menjahit secara mendalam, Aina enggan mempersiakan kemahiran asas yang dimiliki dan turut menghasilkan pelitup muka sendiri untuk dijual sejak tahun lalu. Video dikongsi meraih perhatian ramai di TikTok. Kata Aina, dia pada awalnya sekadar berkongsi di media sosial, namun tidak sangka ramai yang berminat membei pelitup muka itu. "Saya buat face mask guna pakaian atau kain terpakai. Saya kongsi di media sosial, kemudian ramai yang minta saya jual. "Jadi saya mula jual pada Julai tahun lepas.Sekarang memang saya jual secara sepenuh masa. Sebelum tu saya hanya buat solekan dan juga bergelar content creator, buat video-video di media sosial. "Sambutan agak menggalakkan, tambahan pula saya dah mula jual di Shopee. Face mask yang saya buat semuanya limited edition sebab ia menggunakan kain terpakai," jelasnya lagi. Pelitup muka yang dijahit Aina mula dijual Julai tahun lepas atas permintaan ramai selepas dia berkongsi mengenainya di media sosial. Dalam pada itu, Aina tidak menolak rezeki seandainya ada yang berminat menempah kaftan itu, sebagaimana permulaan kisah penjualan pelitup muka pada tahun lalu. "Saya bersyukur dengan komen dan respon orang ramai. Ada yang puji kaftan itu biarpun saya tahu jahitannya tak kemas. "Saya akan perbaiki lagi. Saya juga tak menolak rezeki kalau ada orang nak tempah. "Mungkin saya akan buat kombo, kaftan yang matching dengan face mask untuk dijual menjelang raya," ujarnya berseloroh. Sehingga kini, video dikongsi Aina meraih hampir 40,000 tontonan di TikTok. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!