BARANG peninggalan insan tersayang yang telah meninggal dunia pastinya mempunyai nilai sentimental yang boleh disimpan sebagai kenang-kenangan. Bagaimanapun ia juga boleh disumbangkan kepada kenalan dan ahli keluarga arwah, sebagaimana yang dilakukan oleh sebuah keluarga menerusi video di aplikasi TikTok. "Kami beri baju, tudung dan beg tangan mama kepada orang-orang yang mama sayang semasa hayatnya," menurut keterangan video yang dikongsikan seorang anak. ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin kongsi 'keajaiban' baju nikah arwah mak, dulu tak muat tapi sebulan sebelum ijab kabul tiba-tiba boleh pakai - "Dia lelaki sama saya kenalkan dekat ibu" ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 50 resepi tulisan jawi arwah nenek disimpan rapi, tak sangka orang dulu-dulu makan cheesecake - "Rendang paling legend, masing-masing cuba tapi..." Fatin Amira Che Amran berkata, ibunya meninggal dunia pada usia 52 tahun akibat kanser payudara, 11 Mac lalu. Arwah ibu Fatin ketika menjalani rawatan di hospital. Wanita berusia 30 tahun itu berkata, ibunya mempunyai banyak koleksi tudung, beg tangan dan baju kurung yang masih disimpan di rumah keluarga di Rawang, Selangor. "Arwah mama (panggilan ibu) semasa hayatnya suka berfesyen dan bergaya. Jadi, arwah ada banyak koleksi yang tidak digunakan. "Kami adik-beradik simpan beberapa helai untuk kenangan, terutama baju-baju yang kerap dipakai atau arwah pakai di saat-saat akhirnya," katanya kepada mStar. Beg yang mengandungi set tudung, baju kurung dan beg tangan milik arwah. Lebih mesra disapa Fatin, katanya, masih terdapat banyak lebihan koleksi kepunyaan arwah ibu sehingga bapanya yang berusia 51 tahun menyarankan supaya sebahagiannya diberikan kepada ahli keluarga lain dan sahabat-sahabat yang rapat serta disayangi ibu. Mengulas lanjut, setiap penerima diberikan satu set barang arwah berupa tudung, beg tangan dan baju kurung yang masih dalam keadaan baik. "Setakat ini dianggarkan lebih 20 set yang kami telah tetapkan. Ada yang sudah terima dan proses penyerahan masih diteruskan. Bila datang jumpa, kami akan cuba kawal emosi. "Tapi hampir kesemua ahli keluarga dan sahabat yang terima barang arwah mama akan menangis. Bila mereka menangis, kami pun turut sama sebak," ujarnya. Sahabat yang menerima set barangan termasuk tudung yang pernah digosoknya ketika arwah masih hidup. Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur apabila kebanyakan penerima memaklumkan bahawa baju milik arwah ibu muat dipakai mereka. "Saya harap mereka akan terus pakai atau menyimpan pemberian itu dengan baik sebagai kenangan. Mudah-mudahan mereka mendoakan kesejahteraan arwah mama. Harap mereka akan terus pakai atau menyimpan pemberian itu dengan baik sebagai kenangan. Mudah-mudahan mereka mendoakan kesejahteraan arwah mama. FATIN AMIRA CHE AMRAN "Paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu menyerahkan set barangan arwah mama kepada salah seorang sahabatnya. Sahabatnya beritahu dia cukup kenal tudung yang diterimanya itu sebab dia yang tolong gosokkan tudung tu ketika datang ziarah mama di rumah. "Kami sendiri tak tahu, memang secara kebetulan. Kami terkejut kerana tak sangka dia pegang tudung arwah mama yang pernah dia sendiri gosok. Dia pegang tudung tu sambil menangis," ujar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini. Fatin (belakang, tiga dari kanan) bersama keluarga. Turut kelihatan arwah ibu Fatin (belakang, kanan). Fatin berkata, arwah ibunya yang merupakan suri rumah disifatkan sebagai seorang yang berperwatakan ringkas dan sederhana, peramah dan mudah disenangi. "Walaupun ibu suka bersembang, dia jarang keluar rumah bergaul dengan orang. Jadi, kalau dia berkawan rapat tu memang betul-betul sahabat dia. "Lima tahun ibu menghidap kanser payudara dan kesihatannya merosot semasa dua tahun terakhir sebelum meninggal dunia. "Memang ramai sahabat yang datang ziarah arwah mama sama ada di rumah mahupun di hospital. Malah ada yang bantu bawa mama menjalani rawatan dan masakkan untuk mama, memang mereka merupakan sahabat-sahabat mama yang disayangi," katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!