suria

Pemuda Cina menangis jumpa ibu 10 anak bersama longgokan barang di luar rumah sewanya, terus terfikir ‘bagaimana nak sambut Ramadan?’

Kisah Kak Ros mendapat perhatian ramai selepas dikongsi oleh Wee Loong.

"SAYA sendiri menangis melihat keadaannya... mereka hanya makan nasi dengan kuah kari kosong yang entah berapa lama disimpan."

Demikian kata Keow Wee Loong, pemuda yang berkongsi kisah mengenai nasib malang yang menimpa seorang ibu 10 anak bernama Rosliza Hassan atau Kak Ros.

Perkongsian yang dibuat oleh Wee Loong, seorang jurugambar bebas di laman Instagram pada Ahad menjadi viral kerana benar-benar menyentuh hati netizen yang terkesan dengan penderitaan wanita tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan calang-calang orangnya... rela jalan kaki KL-Ipoh kerana seorang wanita, lebih tragis si dia larikan diri - "Abang Wan terkejut, terus hulur RM400"

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal 5 anak dihalau suami! Merempat di masjid di Selangor sebelum tumpang homestay di Kedah berbekal RM100 - “Anak umur 14 tahun kerja tukang cuci”

Malah kisah Kak Ros turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda berusia 33 tahun itu berkata, segala-galanya bermula pada pagi Ahad ketika dia dalam perjalanan untuk membeli sarapan pagi.



Wee Loong tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja dia melihat isi kandungan peti ais di rumah Kak Ros.

"Saya ternampak anak kecilnya berlari-lari ke jalan dan kemudian ternampak Kak Ros di samping longgokan barang-barang serta perabot di luar rumahnya. Saya segera mendekatinya dan bertanya mengenai apa yang berlaku.

"Menurut Kak Ros, dia perlu segera keluar dari rumah sewa itu kerana pemiliknya sudah menjual kepada pembeli yang baru. Sambil bercerita dia menangis.

"Kak Ros hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji yang tidak seberapa. Dia mendapat bantuan bulanan RM500 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan wang itu yang digunakan untuk membayar sewa rumah.



Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong tampil membantu Kak Ros pada hari yang sama.

"Hanya wang gaji tak seberapa itu dia perlu menyara anak-anaknya bersendirian. Buka peti sejuk, memang terkejut lihat... hanya kuah kari kosong. Itu saja yang dimakan bersama nasi. Jadi macam mana dia nak pindah ke rumah baru," cerita pemuda berkenaan.

Wee Loong berkata dia kemudian menghubungi Steven yang juga rakannya dan bercerita mengenai kisah Kak Ros.



Steven membawa Kak Ros dan anak-anaknya membeli belah, selain turut mendapatkan tempat perlindungan buat mereka.

"YB Steven datang tak lama kemudian. Pada mulanya saya cuba hubungi pemilik rumah untuk berunding namun akhirnya tak dapat buat apa-apa. Tak dapat bayangkan, tak lama lagi umat Islam nak berpuasa tapi Kak Ros diminta keluar.

"Saya dan YB Steven usahakan cari tempat perlindungan sementara dan berjaya dapat di kawasan sekitar. Kemudian bawa Kak Ros dan anak-anak beli barang rumah serta belanja mereka makan.

"YB Steven dan saya tak kisah keluarkan duit poket kami asalkan nasib Kak Ros terbela. Dan syukur, kini Kak Ros dah selamat masuk rumah baru, hari yang sama," katanya.

Buka peti sejuk, memang terkejut lihat... hanya kuah kari kosong. Itu saja yang dimakan bersama nasi.

KEOW WEE LOONG

JURUGAMBAR BEBAS

Malah menurut Wee Loong, ramai insan prihatin yang menghulurkan sumbangan kepada Kak Ros selepas dia memuat naik perkongsian di Instagram.

"Saya berniat nak tolong Kak Ros kerana saya sendiri sewaktu melakukan pengembaraan solo secara jalan kaki tidak lama dulu, sering ditolong oleh orang yang saya temui sepanjang perjalanan.

"Walaupun tak saling mengenali tapi mereka tolong saya malah ada yang nak beri wang ringgit. Saya terharu sebab sikap prihatin mereka tidak mengambil kira kaum ataupun agama," ujarnya lagi.



Wee Loong terdorong untuk membantu Kak Ros kerana dia terkenang betapa prihatin masyarakat Malaysia menghulurkan bantuan ketika dia melakukan pengembaraan solo sebelum ini.

Dalam pada itu Wee Loong berkata dia dan Steven sedang membuat perancangan untuk membantu Kak Ros agar wanita itu dapat menjana pendapatan bagi menyara keluarganya.

"Kami ada berbincang.. Kak Ros perlu dibantu, diberikan 'pancing' dan ajarnya untuk 'memancing'. Antara ideanya adalah mendapatkan Kak Ros peluang untuk berniaga di bazar Ramadan.

"Dengan cara ini Kak Ros akan mampu mencari pendapatan untuk kegunaan keluarganya kelak," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain