suria

Dua tahun tak rai hari jadi ingatkan tak ada yang sayang, wanita buat kejutan buat si adik... lebih manis dapat pelukan pertama dalam 23 tahun

Nurul Syazana dipeluk erat oleh adik lelakinya kerana terharu dengan kejutan yang diterima.

DUA tahun tidak dapat bersama-sama meraikan hari jadi adik lelakinya, namun tanggal 29 Mac lalu menjadi momen paling bermakna buat wanita ini.

Bukan setakat dapat meluangkan masa dan meraikan sambutan ulang tahun bersama-sama, namun wanita ini turut memberi kejutan buat adiknya yang digelar Angah.

Menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok, jelas kelihatan riak wajah adik lelakinya terkejut apabila mendapati hadiah di dalam kotak kecil merupakan kunci motosikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! 7 beradik terima hadiah barang LV bernilai RM60,000 daripada kakak sulung, tahun ini masing-masing dapat pakej umrah

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak “Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin”

Paling menyentuh hati apabila kedua-dua beradik itu berpelukan dan tidak dapat menyembunyikan rasa sebak.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih hampir 70,000 tontonan malah rata-rata netizen turut tersentuh melihat video tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurul Syazana Dahran berkata dia sememangnya berniat untuk memberikan sebuah motosikal buat adiknya, Muhammad Dinie Asyraaf bagi memudahkan pergerakan.



Adik lelaki Nurul Syazana, Muhammad Dinie Asyraaf merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

"Sebenarnya dah dua tahun tak dapat raikan hari jadinya sebab saya tinggal di Merbok, adik pula masih menetap di Sungai Petani. Masing-masing pula dah berkeluarga jadi tak berpeluang nak berkumpul bila tiba hari jadinya.

"Tambah pula bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Jadi kebetulan baru-baru ini kami berkumpul kerana hadiri majlis perkahwinan sepupu.

"Saya ambil peluang ini untuk memberi kejutan kepadanya. Ada niat nak hadiahkan kereta tapi dia tak ada lesen. Jadi saya hadiahkan sebuah motosikal baharu untuknya," katanya yang juga pemilik butik kosmetik.

Nurul Syazana yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, hadiah tersebut mungkin tidak seberapa namun buat adiknya, ia pemberian yang sangat berharga dan ia dapat dilihat daripada riak gembira yang terpancar di wajah lelaki berusia 23 tahun itu.



Nurul Syazana (depan) bersama adik beradik dan ibu bapanya ketika bercuti bersama-sama.

"Dia tak terkata sebab sebak... hanya mampu ucapkan 'terima kasih kak' dan terus peluk saya sambil teriak (menangis). Sebenarnya, itulah pelukan pertama daripada dia selama kami bergelar adik beradik.

"Saya sendiri sebak. Lebih-lebih lagi selepas baca status Whastapp dia... dia ingat selama ini tak ada orang sayang dia. Betapa saya merindui kenangan masa kami kecil-kecil dulu. Dulu, dialah rakan pertama saya sebelum adik-adik lain lahir.

"Namun meningkat usia dan masing-masing berkeluarga, hubungan kian renggang sebab tak ada banyak waktu yang diluangkan bersama-sama seperti sebelum ini," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Sebenarnya, itulah pelukan pertama daripada dia selama kami bergelar adik beradik.

NURUL SYAZANA DAHRAN

KAKAK

Mengungkap keperibadian adik lelakinya itu, Nurul Syazana berkata adiknya seorang yang pendiam dan tidak gemar berkongsi masalah dengan orang lain.

"Angah mungkin belum dikurniakan rezeki kesenangan... dia merasakan dirinya serba kekurangan dibandingkan dengan yang lain. Sebab itu mungkin dia rasa sedikit terpinggir.

"Tapi Angah kalau mama dan abah marah atau tegur, dia tak melawan atau melenting pun. Dia diam saja. Dia rasa tak ada orang kisah pasal dia.

"Sebenarnya kami semua sayang dia dan keluarganya. Dan sebagai tanda sayang, saya hadiahkan sebuah motosikal baharu buatnya. Hadiah daripada seorang kakak yang sangat sayangkan adiknya. Apa salahnya kongsi rezeki dengan adik beradik," kata wanita berusia 25 tahun ini.

Tambah Nurul Syazana, perkongsian video tersebut hanyalah sekadar mahu mengabadikan momen-momen indah mereka sekeluarga setelah sekian lama tidak dapat meraikan hari jadi adiknya.



Nurul Syazana bersama suami dan tiga anak kecilnya tetap tidak melupakan tanggungjawab sebagai kakak sulung.

"Tak sangka pula ramai yang tonton... malah ada juga yang kongsi pengalaman dengan adik beradik masing-masing. Ada yang kata tersentuh apabila lihat part berpelukan.

"Angah tak tahu lagi videonya viral sebab dia bukan jenis suka main media sosial atau TikTok. Tapi dari lubuk hati seorang kakak, saya nak dia tahu, susah senang dia, kami tetap bersama dia. Kami tak pernah sisihkannya seperti yang dia fikir. Mama abah tak pernah beza-bezakan kasih sayang.

"Apa yang boleh saya kata, selagi adik beradik ni masih ada, sayangi dan hargailah mereka. Luangkanlah masa sama-sama... kita boleh je nak peruntukkan masa untuk keluarga, cuma kena pandai uruskan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain