suria

Pantang jumpa mesti kutip! Ibu dedah perangai anak asyik bawa balik kucing jalanan, kini baru sedar dari dalam perut dah bagi banyak petunjuk

Muhammad Nazril Irham terlalu obses dengan kucing sehinggakan mahu membawa pulang setiap ekor yang ditemuinya di jalanan.

KATA pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Begitulah juga kisah wanita ini bersama anak lelaki tunggalnya yang bukan sekadar menyukai kucing, malah sampai ke tahap obses dengan si bulus.

Terdahulu, wanita ini memuat naik satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan gelagat anak kecilnya menangis teresak-esak gara-gara mahu membawa pulang kucing jalanan yang ditemuinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak bagi bela, anak terpaksa ‘culik’ kucing sekolah... tapi kasihan misi gagal - “Saya tertanya-tanya, dari mana bunyi tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Harapan tipis... Ibu 3 anak berendam air mata kenang momen terakhir Gedik teman lipat kain, dah 2 minggu kucing baka British Shorthair hilang tanpa jejak

"Abang Long terlalu obses dengan kucing jalanan. Kalau boleh semua nak bawa balik," demikian kapsyen yang ditulis pada video tersebut yang sehingga kini meraih lebih 500,000 tontonan.

Menurut wanita bernama Sue Farahanis, dia dan seluruh ahli keluarga sememangnya meminati kucing dan pernah memelihara sehingga 50 ekor sebelum ini yang mana kesemuanya merupakan kucing jalanan.

"Dari dulu lagi, mak saya kalau jumpa kucing jalanan, dia akan ambil bawa balik. Sifatnya itu menurun kepada saya dan adik beradik lain. Ketika saya mengandung anak sulung iaitu abang long, saya jadi terlalu obses dengan kucing.



Anak lelaki Sue Farahanis yang digelar abang long akan membawa pulang kucing jalanan yang ditemui setiap kali, malah akan menangis jika tidak dibenarkan berbuat demikian.

"Jika sebelum itu memang suka, tapi masa mengandung, obsesnya lain macam. Memang setiap hari kena belai kucing. Kalau tak, saya boleh stres dan sedih... mungkin emosi ibu mengandung lain sikit.

"Ada kucing siap suka tidur di perut sebab nak rasa gerakan 'baby'. Ada juga kucing bunting, selepas melahirkan, dia siap bawa anak-anaknya di atas riba saya. Maknanya, Abang Long dari dalam perut lagi dah 'terbiasa' dengan kucing," kata wanita berusia 30 tahun yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu.

Tambahnya, dia sendiri pernah diingatkan oleh doktor agar berhati-hati dan mengelak dari mendekati kucing kerana bimbang kesan yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan kandungannya ketika itu.

"Alhamdulillah saya sihat dan selamat melahirkan bayi yang sihat. Masa bawa Abang Long balik rumah selepas bersalin, kucing-kucing pakat kerumun. Orang pesan jangan bagi bayi dekat dengan kucing.



Abang long terlalu obses dengan kucing sejak dia masih bayi.

"Tapi saya tak pernah risau kerana saya yakin niat ikhlas kita, pasti Allah akan indungi. Alhamdulillah, Abang Long sihat dan tak ada asma," ujarnya mengenai anak tunggalnya yang berusia lima tahun, Muhammad Nazril Irham Mohd Faiz.

Tambah wanita ini, dia bersyukur kerana anak lelakinya mewarisi sifat menyayangi kucing sama seperti dirinya dan ibunya.

"Kalau pergi taman permainan atau kedai makan, dalam ramai-ramai orang, kucing-kucing di situ pilih untuk dekati Abang Long. Memang kami pun biasa letak makanan kucing dalam kereta.

Impian kami nak bina rumah kucing untuk keselesaan mereka tak lama lagi. InsyaAllah mungkin selepas Aidilfitri kami akan mula buat perancangan.

SUE FARAHANIS

IBU

"Selepas beri makan, Abang Long memang nak bawa balik kucing yang dijumpai. Buat masa ini, jumlah kucing yang dipungut sekitar 20 ekor. Semua ditempatkan di rumah ibu saya sebab kami menyewa. Tapi rumah ibu saya tak jauh dari rumah kami.

"Kami memang jaga elok-elok... tempat buang najis pun memang sediakan pasir untuk elak mereka membuang merata-rata," ujarnya yang menjalankan bisnes kosmetik.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Sue Farahanis berkata dia menganggap ia adalah rezeki yang diberikan Allah kepada keluarganya.



Sue Farahanis dan suaminya bersyukur kerana anak lelaki tunggal mereka begitu penyayang dengan haiwan.

"Syukur Alhamdulillah... rezeki saya bisnes pun seperti dipermudahkan. Selepas viral, ada beberapa individu yang turut berikan sumbangan kepada kami untuk beli makanan kucing. Mereka nak sama-sama kumpul pahala.

"Malah ramai yang mendoakan Abang Long. Mereka doakan Abang Long jadi doktor haiwan satu hari nanti. Harapan saya, moga Abang Long akan terus menjadi orang yang berjasa dan menyayangi bukan saja kucing, tapi haiwan lain juga.

"Impian kami nak bina rumah kucing untuk keselesaan mereka tak lama lagi. InsyaAllah mungkin selepas Aidilfitri kami akan mula buat perancangan. Doakan Allah permudahkan urusan kami untuk bina rumah kucing jalanan ya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain