suria

Nak bagi, tapi tak cukup! Pemuda ini buat ramai terliur selepas tayang ‘nasi lemak kayangan’ dari Bukit Mok Cun - "Harap tak muncul masa puasa nanti”

Gambar kiri menunjukkan Amirul di puncak Bukit Kodiang, sementara foto kanan memaparkan sarapan pagi yang dibawanya dari rumah.

"SUBHANALLAH, cantiknya!"

Begitulah reaksi netizen terhadap video di aplikasi TikTok yang dimuat naik seorang pemuda, menunjukkan pemandangan sawah padi menghijau terbentang luas dari atas bukit.

Hidangan nasi lemak dengan telur goreng, kacang, sambal, ikan bilis dan hirisan timun beralaskan daun pisang bersama secawan kopi panas ternyata memukau pandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Gadis selalu lepak tengah KL, ada 100 gambar background KLCC dianggap 'have-have',"Saya bayar untuk keselamatan dan keselesaan"

ARTIKEL BERKAITAN: Piknik pun bawa cermin! Di sebalik foto romantis tepi pantai sambil menikmati waffle, croissant... terselit kisah roti canai, lalat

Pemuda berkenaan, Amirul Ahmad berkata, rakaman itu dibuat pada Julai tahun lalu ketika mendaki Bukit Kodiang di Kodiang, Kedah, tetapi baru dimuat naik di TikTok.



Hilang rasa penat mendaki dengan hidangan nasi lemak dan kopi.

Anak muda berusia 28 itu memberitahu, dia tidak menyangka video tersebut tular, sekali gus mengubat kerinduan kaki 'hiking' berikutan negara masih melarang aktiviti merentas negeri.

"Saya tak sangka video ni viral. Tambahan pula tengah musim panas di Kedah, jadi sawah padi tidak sehijau seperti dalam rakaman video.

"Ia merupakan kali kedua saya daki ke Bukit Mok Cun (panggilan popular bagi Bukit Kodiang). Kali pertama pada 2018, tapi masa tu tak ada buat persediaan rapi dengan membawa sarapan sampai ke puncak," katanya kepada mStar.

Amirul yang berasal dari Langkawi bagaimanapun menjelaskan bahawa hidangan nasi lemak di dalam video tersebut dimasak sendiri dan dibawa dari rumah.



Rakan Amirul menikmati secawan kopi.

"Saya datang ke Bukit Mok Cun bersama seorang rakan. Dia yang masak nasi lemak sebelum Subuh dan saya pula ditugaskan untuk mencari daun pisang dekat kawasan rumah.

"Kami tiba ke kaki bukit seawal pukul 7 pagi, dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke puncak bagi menikmati pemandangan matahari terbit," ujarnya.

Turun dari bukit memang penat. Terus rasa lapar dan cepat-cepat cari kedai makan nak isi perut semula.

AMIRUL AHMAD

Menurut anak kelapan dari sembilan adik-beradik itu, dia juga tidak menyangka kegigihan mereka membawa sarapan nasi lemak ke puncak bukit menarik perhatian pendaki lain.

"Mereka tegur kami tanya kat mana beli, ada jual kat gerai berhampiran ke. Siap ada yang tanya kami ada bawa lebih tak sebab mereka nak beli.

"Tapi maaflah kami bawa cukup-cukup untuk dua orang je. Kami sendiri tak puas makan sepinggan," ujarnya sambil turut berasa geli hati apabila terdapat komen lucu mengatakan ia adalah 'nasi lemak kayangan'.



Amirul kali kedua mendaki Bukit Kodiang.

Mengulas lanjut, Amirul berkata, dia dan rakan menghabiskan masa kira-kira dua jam di puncak bukit sambil mengabadikan gambar berlatarkan pemandangan yang indah.

"Turun dari bukit memang penat. Terus rasa lapar dan cepat-cepat cari kedai makan nak isi perut semula. Tak cukup sepinggan makan di puncak bukit, lain kali kena bawa lebih," tambahnya.



Amirul (kiri) bersama rakan yang menyediakan nasi lemak.

Dia yang kini bekerja di Kangar, Perlis bagaimanapun terpaksa menangguhkan hasrat ke Kodiang berikutan larangan rentas negeri melainkan menyertai gelembung pelancongan bersasar antara negeri di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Bukan sahaja larangan rentas negeri, tetapi juga Ramadan umat Islam berpuasa selama sebulan. Kena tunggu selepas Hari Raya baru dapat pergi semula ke Kodiang, itu pun kalau dibenarkan untuk merentas negeri.

"Harap-harap video ni tak muncul kat FYP (For Your Page) di TikTok masa puasa nanti," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain