suria

Sayu... 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa - “Ramadan kali ini rasa kosong, tiada apa ditunggu”

Zuera kali terakhir bertemu arwah bapanya pada tahun 2018.

APABILA tibanya bulan Ramadan, segala memori bersama keluarga pastinya terimbau di fikiran.

Apatah lagi jika kita berada di perantauan, jauh dari insan-insan yang tersayang.

Namun, lain pula ceritanya ibu tunggal ini apabila dia pertama kali bakal menjalani ibadah puasa tanpa bapanya yang meninggal dunia pada 15 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa

ARTIKEL BERKAITAN: “Nanti dah sihat, kita keluarkanlah papa” - Hari ni sambut birthday, esok kebumi bapa! Video budak 5 tahun berdoa di kubur undang sebak

Lebih perit kata Nur Byzuraq Hashim, 32, dia sudah lama tidak bersua dengan arwah bapanya, Hashim Anuar yang menetap di Tawau, Sabah.

"Ayah sebenarnya berasal dari Johor. Mak saya orang Sabah. Ayah mula menetap di Tawau sekitar tahun 2010. Adik beradik saya ada 10 orang, hanya abang saya seorang yang tinggal dengan ayah.

"Saya pula menetap di Selangor. Mak datang tinggal dengan saya pada Julai tahun lepas, untuk bantu jaga anak saya.

Zuera sekeluarga gagal pulang ke Sabah selepas menerima berita kematian akibat ketiadaan tiket pesawat.

"Kami sebenarnya dah janji nak pergi ambil ayah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, tapi tak kesampaian.

"Ayah meninggal dua hari sebelum hari jadi dia yang ke 69," ujarnya sebak ketika dihubungi mStar.

Mesra disapa Zuera, dia yang berkhidmat dengan sebuah syarikat telekomunikasi mengakui terkilan apabila tidak sempat untuk bertemu dengan bapanya.

Memang rindu, tak boleh nak tahan air mata.

ZUERA

Malah, dia sekeluarga juga gagal pulang ke Sabah selepas menerima berita kematian itu akibat ketiadaan tiket pesawat.

"Pada hari itu, ayah sempat masak, dia pergi mandi, ambil wuduk untuk solat Jumaat. Tiba-tiba dia pengsan dan meninggal dunia.

"Saya dengan mak ketika itu tengah beli barang, keluarga di sana hubungi dan maklumkan pada kami. Nak balik sebenarnya, tapi tiket langsung tak ada.

"Saya kali terakhir jumpa ayah pada Januari 2019. Dah lama nak balik, tapi dengan kerja, anak-anak lagi... banyak kekangan. Menyesal sangat, tapi nak buat macam mana?" ujarnya sebak.

Zuera mengakui terkilan apabila tidak sempat untuk bertemu dengan bapanya. (Gambar Hiasan)

"Sekarang dah tak boleh jumpa, tak boleh peluk badan ayah. Kalau dah boleh merentas negeri, saya nak pergi melawat pusara. Sekurang-kurangnya dapat mengaji di situ," ujarnya lagi.

Kata Zuera, Ramadan kali ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sudah yang mana dia akan merindui segala kenangan bersama arwah bapanya.

"Biasanya sehari sebelum puasa, ayah akan hantar SMS (mesej), bagi nasihat, bagi maksud Ramadan dan sebagainya.

"Kali ini rasa kosong, dah tak ada benda yang kita tunggu-tunggu. Ayah juga selalu masak macam-macam.

"Dia seorang yang penyayang, tak pernah pukul anak-anak. Memang rindu, tak boleh nak tahan air mata," ujar Zuera lagi.

Kisah Zuera bersama arwah bapanya dikongsi menerusi direct message (DM) Instagram mStar sebelum dia dihubungi untuk bercerita lebih lanjut mengenai kisah sedihnya pada Isnin petang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain