suria

Baik dari bujang sampai kahwin, kini ‘jangkit’ ke anak... keakraban 2 sahabat beza bangsa jadi perhatian - “Seminggu sekali mesti Kak Mala ambil nak jaga”

Anak lelaki Nazuha langsung tidak menangis apabila dijaga oleh rakan sekerjanya yang berlainan bangsa dan agama, Neermala.

ISU perpaduan kaum masih lagi menjadi salah satu topik perdebatan terutama di media sosial, juga ketika melepak di kedai kopi.

Padahal, dalam zaman moden yang serba maju kini, tidak sepatutnya timbul lagi isu rasis atau kejadian-kejadian yang mempunyai unsur perkauman.

Bagaimanapun, lain pula bagi Nazuha Ariffin, 31, yang hampir 10 tahun berkawan rapat dengan Neermala Krishnin, 45, seorang wanita berbangsa India.

ARTIKEL BEKAITAN: Sebelum PKP 14 tahun asyik travel... kini jadi cleaner, gaji pertama hanya 3 angka tapi apa dilakukan pemuda ini besar sungguh pahalanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu susah-susah buat corak awan nak cantikkan bilik, anak tengok dah macam vandalisme! - “Adik terkejut masa balik sekolah”

Mesra disapa Nazuha, dia tidak menyangka video gelagat anak-anaknya bersama rakan sekerjanya itu mendapat perhatian ramai di aplikasi TikTok.

Salah satunya ialah video memaparkan anaknya didukung keluar dari kereta oleh Neermala yang berjaya meraih lebih 400,000 tontonan.

Visual itu menunjukkan seolah-olah anak lelaki Nazuha sudah begitu selesa apabila ditinggalkan ibunya seketika untuk dijaga oleh Neermala.

“Saya kenal Kak Mala di tempat kerja, kami berdua bekerja sebagai juruwang parkir di Megamall Pinang. Kami berkawan sejak saya bujang sampailah dah kahwin dan ada anak sekarang.

“Anak-anak saya memang dah biasa dengan dia. Kalau saya sakit atau ada hal, saya minta tolong Kak Mala jaga. Anak yang sulung Qisya tu dia jaga sejak umur dua tahun lagi, Walif pula masa umur empat bulan.

"Bab makanan anak-anak, Kak Mala akan masakkan untuk mereka kalau mereka di rumahnya. Dia memang pembersih orangnya, rumah pun tak ada bela anjing jadi saya tak risau pun.

“Dia memang tak akan bagi kalau saya nak hantar anak-anak sampai ke atas, memang dia sendiri akan turun bawah dan jemput di kereta,” katanya kepada mStar, sambil menambah wanita tersebut menetap di sebuah rumah pangsa yang terletak di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Neermala (kiri) hanya sempat mendirikan rumah tangga selama lapan bulan sahaja sebelum suaminya meninggal dunia.

Menurut Nazuha, rakannya itu sebelum ini pernah berkahwin pada tahun 2012. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila suami Neermala meninggal dunia akibat penyakit diabetes dan darah tinggi lapan bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Susulan kejadian itu, Nazuha cuba sedaya upaya menemani kawan baiknya sewaktu dia baru kehilangan suami tercinta.

“Kak Mala kahwin pada tahun yang sama dengan saya, tapi dia tak ada anak. Jadi selepas suaminya meninggal, dia duduk seorang diri di flat tersebut walaupun ahli keluarganya yang lain tinggal berdekatan.

“Sejak dari itu, saya selalu menemani Kak Mala bersama anak-anak untuk menghilangkan rasa sunyi. Sebab itu boleh nampak yang dia mencurahkan kasih sayangnya kepada anak-anak saya.

"Kadang-kadang seminggu sekali atau cuti ke mesti dia akan ambil anak saya untuk dijaga sebab rindu katanya,” ujar Nazuha.

Tambah Nazuha, kedua-dua anaknya Nur Qisya Amanda, 7, dan Muhamada Walif Mikhail, 2, juga tidak takut melihat keadaan Neermala yang menghidap penyakit kulit.

Malah katanya, mereka berdua sangat manja dengan wanita berkenaan.

Harganya agak mahal la untuk sebiji pelam. Tapi Kak Mala belikan juga walaupun masa tu duit dia tak banyak.

NAZUHA ARIFFN

Ibu kepada dua orang anak itu berkata, Neermala sangat suka membantu orang lain yang berada dalam kesusahan. Walaupun seseorang itu datang dari latar belakang yang berbeza, dia tidak pernah sekali pun mengambil kira perkara tersebut.

Nazuha juga memberitahu yang Neermala selalu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anaknya dan tidak pernah sekali mengajar benda yang bertentangan dengan agama.

Kedua-dua anak Nazuha (tengah) sudah serasi bersama Neermala.

“Dulu saya mengidam nak makan buah mangga yang besar waktu mengandungkan anak sulung dan Kak Mala gigih mencari apa yang saya mahukan.

“Harganya agak mahal tapi Kak Mala belikan juga walaupun masa tu duit dia tak banyak. Dia kata kalau ada mengidam apa-apa lepas ni bagitahu je,” katanya lagi.

Jalinan persahabatan sebegini merupakan suatu perkara yang jarang sekali dilihat pada zaman sekarang. Semoga kita semua dapat saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan kekalkan perpaduan kaum di negara ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain