IBU mana yang sanggup melihat anaknya menanggung penderitaan yang bukan calang-calang pada usia yang masih kecil. Melihat tubuh yang terlantar di atas katil dengan pelbagai prosedur rawatan sehingga berbulan lamanya, membuatkan hati wanita ini sebak mengenangkan kesakitan yang tidak mampu diungkap si kecil. Menurut Athira Azmi, episod sedih yang menyelubungi keluarga kecilnya bermula pada Februari tahun lalu selepas anak tunggalnya, Alnaira Ikhwan Aliff disahkan menghidap 'Acute Lymphoblastic Leukemia'. ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal ARTIKEL BERKAITAN: Dah 24 kali buat kemoterapi, calon SPM diberitahu kanser masuk tahap 4 selepas 3 hari kembali ke sekolah - “Dia menangis salahkan diri sendiri” "Beberapa bulan sebelum itu iaitu sekitar November 2019, Naira kerap diserang demam. Selalu sangat demam dan saya banyak kali ambil cuti masa dia tak sihat. "Januari 2020, Naira turut terkena jangkitan Influenza A. Dia masih demam, kemudian tak sampai seminggu pulih, dia demam semula. Saya fikir sebab Influenza A. Ada satu ketika, suhu badannya sangat panas. "Kami ke klinik dan bila doktor periksa, doktor kesan darahnya tak normal lalu dirujuk ke hospital. Di hospital, doktor kesan darahnya ada sel kanser. Kemudian pada Februari 2020 ketika di Hospital Ipoh, Naira didiagnos menghidap 'Acute Lymphoblastic Leukemia'," ujarnya kepada mStar. Alnaira ketika menerima rawatan selepas disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia. Menurut wanita berusia 29 tahun ini, selepas berbincang dengan suami, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta bagi memberi sepenuh tumpuan kepada anak tunggal mereka. Pada peringkat awal anaknya disahkan menghidap leukemia, Athira berkata dia sendiri berasa 'down' dan kerap menangis mengenangkan penderitaan yang ditanggung anak kecilnya. "Bayangkan ketika itu usianya baru dua tahun. Dua bulan berkampung di hospital. Ketika itu PKP pula, suami tak dibenarkan untuk teman bersama. Dia berulang alik dari Pantai Remis ke Hospital Ipoh ketika anak di wad. "Memang waktu itu sangat sukar lebih-lebih saya sebab melihat anak dicucuk, dibedah dan dirawat depan mata. Saya tak kuat, kerap menangis namun bukan di depannya. Tapi anak kecil ni, mereka sebenarnya sangat kuat. Alnaira disahkan menghidap leukemia pada usia dua tahun (kiri), dan dia yang kini berusia tiga tahun (kanan) beransur pulih meskipun masih menerima rawatan. "Saya melihat betapa dia kuat, ia mengajar saya untuk kuat dan perlahan-lahan menerima hakikat. Kita tak boleh lemah sebab kitalah sumber kekuatan mereka," ujarnya yang kini menjalankan bisnes produk kecantikan. Menurut Athira, antara saat paling membuatkan hatinya hiba adalah apabila melihat anaknya meraung menangis kelaparan kerana terpaksa berpuasa sebelum menjalani prosedur rawatan. "Bayangkan anak kecil dua tahun kena berpuasa berbelas jam... memang kesian bila dia meraung kelaparan. Selain itu, paling sedih apabila rambutnya mulai gugur kerana rawatan kemoterapi. Saya melihat betapa dia kuat, ia mengajar saya untuk kuat dan perlahan-lahan menerima hakikat. ATHIRA AZMI IBU "Kemudian dia kerap kali akan bertanya 'berapa hari kena duduk hospital, bila boleh balik'. Dia seolah-olah dah faham yang dia sakit. Ada juga waktu mencabar, ketika dia dalam rawatan, emosinya tak stabil. "Daripada anak yang aktif, dia jadi kuat tidur dan suka marah dan meradang. Memang masa ini cukup menguji kesabaran tapi kami tahu, ia adalah sebab kesan ubatnya," katanya lagi. Setahun selepas didiagnos dan menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, Athira berkata keadaan kesihatan Naira beransur pulih. Wajah ceria Alnaira di samping ibu dan bapanya ketika menyambut hari lahir yang ke-3 pada awal April lalu. "Naira dah habiskan pusingan rawatan kemoterapi. Kini dia bergantung kepada ubat dan perlu menjalani ujian darah sebulan sekali. Ujian baru-baru ini, doktor maklumkan darahnya sudah normal. Tapi dia masih kena teruskan ubat untuk setahun lagi. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Saya tak sangka video di TikTok mendapat perhatian ramai. Saya cuma nak kongsi pengalaman, dalam masa sama saya nak sampaikan mesej kepada ibu bapa yang juga senasib. Jangan putus asa, jangan fikir umur anak takkan panjang... fikir positif dan kena kuat. "Teruskan usaha dan ikhtiar. Jangan malu nak kongsi sebab mungkin lebih ramai akan doakan anak kita. Saya syukur, ramai yang beri perhatian kepada Naira dan rezekinya murah sangat. Kami yang tumpang rezekinya. "Anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah kepada kita, dan pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku," katanya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!