DUGAAN warga kota yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri tahun ini berikutan larangan rentas negeri masih dikekalkan. Masing-masing mula mengenangkan nasib mereka menjelang 1 Syawal kurang seminggu lagi terutama bagi yang masih bujang kerana tidak di samping keluarga tercinta. Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, seorang gadis meluahkan kerinduannya selepas menerima satu parcel yang dihantar ibunya dari kampung. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pasang sebab nak pantau mak ayah, CCTV di kampung kini 'lebih berjasa' selepas larangan rentas negeri - "Sebak tengok aktiviti mereka hanya dari jauh" ARTIKEL BERKAITAN: Minta rentas negeri tapi 'tak lepas', 3 beranak menangis jumpa di sempadan disaksikan abang polis... juadah air tangan ibu ubat rindu anak Gadis berkenaan, Asmiza Atilia Abd Rahim berkata, dia menerima parcel berupa kotak mengandungi balang kerepek pisang air tangan ibunya. Balang kerepek pisang berbaki separuh bersama serbuk rempah ayam masak kicap resipi ibu. Lebih dikenali sebagai Intan, katanya, ibunya menghantar kiriman tersebut kerana dia tidak dapat pulang ke kampung berikutan larangan rentas negeri. "Mak memang suka buat kerepek pisang untuk anak-anak. Bukan selalu buat, kebiasaannya bila nak dekat raya. Mak memang buat untuk anak-anak rasa. "Belum raya balang kerepek pisang mak hantar dah tinggal separuh. Sedap sangat, hari pertama je saya dah mengunyah," ujar gadis berusia 25 tahun itu kepada mStar. Intan yang menetap dan bekerja di Shah Alam berkata, sebenarnya ia merupakan tahun kedua dia tidak dapat pulang beraya di kampung sejak tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang turut melarang rentas negeri. Intan (kiri) bersama bapa (tengah) dan ibu di kampung. "Bila dapat balang kerepek pisang tu membuatkan saya sebak, sebab rindu sangat dengan masakan mak terutama ayam kampung masak kicap. "Setiap kali balik kampung memang akan rasa masakan istimewa mak. Kali terakhir saya balik akhir tahun lalu sebelum PKP 2.0," ujarnya sambil menambah ibu bapanya, masing-masing berumur 57 dan 65 tahun. Harap raya kali ini saya lebih kuat kerana tahun lepas saya menangis semasa video call dengan mak ayah INTAN Selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut merindui suasana kampung dia dibesarkan di Kampung Sungai Haji Muhamad di Selekoh, Perak. "Keluarga saya ni ada bela ayam di reban di luar rumah, dengarlah bunyi ayam berkokok. Kawasan rumah pula dikelilingi pokok-pokok kelapa. "Kalau rasa nak minum air kelapa, pergi ambil je sebab pokok kelapa kat luar rumah. Depan rumah pula ada parit. Memang rindu suasana kampung," katanya yang bertunang pada September 2020. Intan (kanan) bersama ibu pada majlis pertunangan, September 2020. Mengulas lanjut, katanya, dia bersama keluarga mempunyai tugas masing-masing untuk membuat persiapan beberapa hari lebih awal menjelang 1 Syawal. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Tugas saya biasanya menganyam ketupat dan masukkan beras dalam sarung ketupat. Ayah pula tukang masak. Alhamdulillah, dari kecil dah tahu menganyam ketupat. "Kalau sebelum wabak Covid-19 lagi meriah sebab saudara-mara akan datang berkumpul di rumah kami. Memang riuh penuh satu rumah, tidur pun berlonggok di ruang tamu dan di bilik," katanya sambil menambah ibunya merupakan anak kedua daripada tujuh beradik. Video call yang dibuat bersama keluarga pada Aidilfitri 2020. Intan yang merupakan jurugambar turut menerima dua bungkusan berupa kerepek ikan bilis atau kerepek mace dan serbuk rempah resipi ibunya untuk ayam masak kicap. "Memang ni resipi mak, dan saya pun dah mula cuba untuk masak cuma tak pakai ayam kampunglah. Bila dapat semua ni memang terasa rindu dengan mak ayah. "Kakak pula di Pahang, juga tak dapat balik kampung. Jadi, kami semua akan buat video call pada raya pertama nanti. Harap raya kali ini saya lebih kuat kerana tahun lepas saya menangis semasa video call dengan mak ayah," katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!