suria

Minta bantuan hantar nenek ke hospital, rupa-rupanya satu keluarga dijangkiti Covid-19... Uncle Kentang kecewa staf terkena ‘umpan’ tapi masih sanggup ambil risiko

Uncle Kentang kecewa apabila ada segelintir masyarakat yang tidak telus ketika meminta bantuan.

SEBELUM ini kita sering mendengar kisah petugas barisan hadapan (frontliners) yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang mementingkan diri sendiri dan cuba menyembunyikan status kesihatan masing-masing.

Situasi ini ternyata menyusahkan orang sekeliling lebih-lebih lagi ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 di mana ribuan kes baharu dicatatkan saban hari.

Terbaharu, seorang aktivis masyarakat yang cukup dikenali di Facebook, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang turut berkongsi situasi yang sama namun ia melibatkan petugas sukarela pasukannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak perlu PKP berdarjat, masyarakat keliru” - Dr Rafidah bimbang Malaysia ikut jejak India, rayu adakan PKP penuh sekali lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Lagi geng gelang pink selamba makan di restoran

"Jangan menipu kami. Kami amat tertekan semalam. Keluarga mohon kami bantu hantar nenek yang sakit ke hospital. Bila kami tiba di depan rumah, kami tidak dimaklumkan bahawa ahli keluarga lain semua dah kena Covid-19.

"Kami nak tinggalkan begitu sahaja tetapi tak sampai hati. Kami bukan ambulans Covid-19. Kita tidak mempunyai kemudahan sanitasi yang lengkap dan baik.

"Ini akan memudaratkan pesakit lain kalau kita bawa pesakit Covid. Akan tetapi team manager kami tak sampai hati nak tinggalkan orang tua, kami ambil," tulis Uncle Kentang menerusi satu perkongsian di Facebook.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut aktivis itu, perkara yang dibimbangi pasukannya akhirnya menjadi kenyataan apabila pesakit berkenaan disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan (swab) di hospital.



Uncle Kentang meluahkan rasa kecewanya menerusi satu posting di Facebook.

"Walaupun staf kami telah divaksinasikan dan seluruh ambulan telah disanitasi, kami merasa sedih kerana 'diumpan' untuk ke rumah tersebut dan pemanggil telefon tidak maklumkan bahawa seluruh rumah telah kena Covid-19.

"Ia berlainan kalau dimaklumkan awal dan kita mungkin boleh buat pilihan untuk tidak ambil dan biarkan ambulan yang lengkap penuh untuk ambilnya.

"Sedih saya semalam nampak staf saya begitu berani dan ambil pesakit walaupun tahu keluarga pesakit semua telah positif Covid-19," tulis aktivis itu lagi.

Uncle Kentang merupakan antara individu yang sering tampil dalam urusan penghantaran jenazah selain menyediakan perkhidmatan ambulans percuma.

Sedih saya semalam nampak staf saya begitu berani dan ambil pesakit walaupun tahu keluarga pesakit semua telah positif Covid-19.

UNCLE KENTANG

AKTIVIS MASYARAKAT

Tambah Uncle Kentang, pasukannya akan menghentikan perkhidmatan ambulans buat sementara waktu sehingga kes Covid-19 reda.

Dalam masa yang sama, aktivis itu turut merayu kepada orang ramai agar kekal di rumah bagi mengelakkan penularan Covid-19 memandangkan kes positif mencatatkan peningkatan ketika ini.

"Puchong telah menjadi kawasan panas dan saya merayu pada rakyat Puchong jangan banyak melilau sana sini.

"Anak muda senang kena Covid-19 dan bawa pulang ke rumah untuk jangkiti mak dan ayah kamu tanpa pengetahuan kamu. Please stay at home," tulisnya lagi.



Uncle Kentang merupakan antara individu yang sering tampil dalam urusan penghantaran jenazah selain menyediakan perkhidmatan ambulans percuma.

Malah netizen turut sama meluahkan rasa terkilan mereka dengan sikap segelintir individu yang mementingkan diri.

"Ramai yang tidak bertanggungjawab. Mengheret orang lain bersama. Kawan saya pun kena... hampir serupa kesnya.

"Sangat pentingkan diri sendiri tapi tabik kepada staf uncle. Moga uncle dan mereka dilindungi daripada Covid-19.

"Jenis yang menipu begini menyusahkan ramai orang dan menyebabkan penularan Covid-19 semakin tinggi," demikian antara komen netizen.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 339 shares di Facebook.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain