suria

Sekeluarga peluk cium atuk usia 74 tahun positif Covid-19, ahli keluarga perjelas hal sebenar... video ‘lain dikongsi di media sosial, lain yang viral’

Tangka layar video menunjukkan ahli keluarga bersalaman, memeluk dan cium warga emas yang disahkan positif Covid-19 sebelum dijemput oleh ambulans.

MEDIA sosial digemparkan dengan penularan video menunjukkan ahli-ahli keluarga bersalaman, memeluk dan mencium seorang lelaki warga emas di dalam rumah yang kemudian keluar untuk dibawa menaiki ambulans, selepas disahkan positif Covid-19.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan netizen yang mendakwa keluarga tersebut tidak sensitif dengan keadaan semasa yang boleh menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

"Dah tahu atuk hang positif. Tak payahlah beria nak salam, peluk cium bagai. Lepas tu hang keluar, pergi pasar pula. Pergi raya rumah jiran pula. Tak pasal-pasal menyebarkan secara tidak sengaja," komen seorang netizen berhubung video berdurasi seminit dan 30 saat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu berwaspada sambut raya selepas 12 ahli keluarga termasuk bayi usia 14 hari positif Covid-19 - "Kalau kena batang hidung sendiri baru tahu"

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga bekas pesakit Covid-19 takkan lupa tragedi hilang saudara, kongsi debaran setiap kali menanti keputusan ujian swab - "Tahun 2020 sangat istimewa, dugaan hebat"

Susulan kekecohan itu, anak kepada warga emas itu tampil menjelaskan bahawa bapanya berusia 74 tahun disahkan positif Covid-19 pada 2 Syawal, Jumaat lalu, sebelum ambulans menjemputnya di rumah mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.



Antara komen netizen berhubung video yang tular.

Mohd Shuhazlan Ali, 45, berkata, pada mulanya anak saudara perempuannya berusia 11 tahun terlebih dahulu menjalani ujian swab dan disahkan positif Covid-19 pada 1 Syawal.

"Anak saudara saya mengadu demam panas beberapa hari sebelum itu dan selepas melakukan ujian swab, dia dimaklumkan dia positif Covid-19 pada Khamis malam.

"Jadi, kami semua yang tinggal serumah termasuk ayah menjalani swab test pada Jumaat, dan kesemua kami juga kemudian disahkan positif Covid-19," katanya kepada mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mohd Shuhazlan berkata, bagaimanapun hanya bapanya yang dibawa ke hospital kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi selain faktor usia.



Warga emas itu memakai pelitup muka sebelum memasuki ambulans.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, lima lagi penghuni lain iaitu dirinya sendiri, ibu, adik perempuan, adik ipar dan anak saudara menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Kami sekeluarga satu rumah positif Covid-19 dan semua menjalani kuarantin kendiri di rumah. Tidak timbul kami dijangkiti daripada ayah mahupun menyebarkannya ke luar.

"Atas rasa tanggungjawab jugalah kami semua menjalani ujian swab walaupun kami semua termasuk ayah tak ada gejala. Kami juga melakukan kuarantin kendiri di rumah. Anak saudara saya pun tak lagi demam esoknya selepas disahkan positif Covid-19," ujarnya.

Kita semua tahu penyakit Covid-19 ni bermain dengan emosi. Anda tak kena, jadi anda tak tahu apa rasanya. Macam-macam yang terbayang-bayang dalam fikiran kami

MOHD SHUHAZLAN ALI

Menjawab kepada kritikan netizen, Mohd Shuhazlan berkata, mereka membuat rakaman itu untuk berkongsi kepada keluarga terdekat mengenai keadaan bapanya menerusi grup WhatsApp keluarga.

"Kami berkongsi dua video iaitu satu versi penuh yang telah viral, dan satu lagi versi yang dah edit untuk tunjuk ayah masuk ke ambulans saja.

"Hanya rakaman yang disunting saja dikongsi di Facebook. Kami tak tahu macam mana video asal yang dikongsi di grup WhatsApp keluarga boleh tersebar," katanya yang bagaimanapun tidak mahu menyalahkan mana-mana individu hingga tersebarnya video berkenaan.

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa rakaman mereka sekeluarga mahu mewujudkan suasana yang positif ketika bapanya dijemput oleh pihak ambulans.



Rakaman dibuat untuk berkongsi mengenai perkembangan bapa bersama keluarga terdekat.

"Kita semua tahu penyakit Covid-19 ni bermain dengan emosi. Anda tak kena, jadi anda tak tahu apa rasanya. Macam-macam yang terbayang-bayang dalam fikiran kami, adakah ayah akan balik atau tidak selepas ini.

"Apatah lagi ayah dengan faktor usianya, pasti lagi mudah sensitif. Jadi, kami semua ceria untuk tak nak ada mood sedih masa tu. Walaupun kami positif Covid-19, kami tetap memakai mask ketika peluk, cium dan salam ayah.

"Ayah tu pun kami ada pesan untuk pakai mask sebelum masuk ambulans, sebab persiapan begitu singkat. Ambulans datang dalam masa 10 hingga 15 minit selepas kami terima panggilan daripada pihak hospital," katanya sambil berharap petugas kesihatan tidak seharusnya dipersalahkan kerana mereka menjalankan tugas dengan baik.

Sehubungan itu, Mohd Shuhazlan berharap agar semua pihak menghentikan fitnah yang dilemparkan kepada keluarganya, sebaliknya mendapatkan penjelasan sebenar.

"Dalam keadaan sekarang dengan kes tinggi sampai 6,000 kes sehari, bukanlah masa untuk kita merendahkan orang lain yang dijangkiti Covid-19.

"Lebih baik kita menjaga diri sendiri dan mendoakan kesihatan semua sama ada yang dijangkiti Covid-19 mahupun tidak.

"Alhamdulillah, ayah saya dalam keadaan baik dan dia turut memberi sokongan dan motivasi kepada pesakit-pesakit lain di hospital. Kami diberitahu insyaAllah ayah akan discaj dalam waktu terdekat," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain