suria

Nampak sempurna, cekap tunggang motor tapi sebenarnya sebelah kaki kudung... wanita ini tak dapat lupa kisah ‘kain terselak sikit’ dalam mall

Siti Aishah tidak menjadikan kekurangannya sebagai halangan untuk bergerak seperti insan normal lain.

WANITA ini nampak sempurna pada pandangan mata kasar, malah wanita ini juga cekap menunggang motosikal untuk bergerak ke tempat kerja.

Namun siapa sangka, dia sebenarnya kudung sebelah pada bahagian kaki kanan selain tidak mempunyai bilangan jari sempurna, juga pada tangan sebelah kanan.

Video-video yang dimuat naik di TikTok mengundang rasa kagum netizen, malah ada dalam kalangan mereka yang bertanya bagaimana wanita berkenaan mampu melakukan perkara seperti insan normal dan memperoleh keyakinan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kaki besi’ tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

ARTIKEL BERKAITAN: Ajaib! Doktor batal pembedahan selepas kaki pesakit alami kemalangan teruk tiba-tiba pulih... rupa-rupanya dia lelaki jujur

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Aishah Abd Rahim mendedahkan dia mengalami kecacatan fizikal sejak lahir dan mula memakai kaki palsu sejak berusia enam tahun.

"Saya kudung kaki sejak lahir, dari paras bawah lutut. Dari kecil, ejek mengejek tu memang dah biasa. Apabila tamat persekolahan dan sambung belajar, ada yang boleh terima... ada yang tak boleh terima.



Siti Aishah memakai kaki palsu pada sebelah kanan sejak berusia enam tahun.

"Tapi saya pegang kata-kata, kita hidup bukan untuk puaskan hati orang. Kalau dengar cakap orang yang nak jatuhkan kita, sampai bila-bila pun kita tak boleh berubah," ujar wanita berusia 22 tahun ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Berkongsi bagaimana dia memperoleh keyakinan diri pula, wanita yang senang disapa sebagai Aishah berkata, setiap insan perlu terlebih dahulu menerima kekurangan dan kelebihan diri sendiri.

"Walau siapa pun kita, apa pun kekurangan diri, terimalah seadanya. Siapa lagi yang nak terima kita kalau bukan diri sendiri. Bila kita dah menerima kekurangan diri, pasti orang di sekeliling pun akan terima diri kita seadanya.



Siti Aishah bersyukur dipertemukan dengan insan yang mampu menerima dirinya seadanya.

"Segala-galanya bermula dengan diri sendiri. Kalau kita asyik ambil kata-kata atau komen negatif, memang tak ke mana. Kita perlu bekerja untuk kelangsungan hidup.

"Dulu masa kecil-kecil memang terasa bila ada orang cakap benda tak baik, tapi sekarang ni tak ambil hati pun. Malah saya anggap ia sebagai jenaka," ujarnya yang kini bekerja dalam bidang jualan (sales).

Dalam pada itu, Aishah turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya apabila dia menjadi perhatian ramai gara-gara berkaki palsu.

"Masa tu dekat mall. Entah macam mana, kain saya tersingkap sikit lalu ternampak batang besi kaki palsu. Seorang kanak-kanak terperasan dan menjerit dengan kuat 'mama, kakak ni ada kaki bionik!'

"Masa tu banyak mata pandang saya... termalu sekejap sebelum saya jelaskan perkara sebenar," ujarnya sambil tergelak kecil.

Dulu masa kecil-kecil memang terasa bila ada orang cakap benda tak baik, tapi sekarang ni tak ambil hati pun. Malah saya anggap ia sebagai jenaka.

SITI AISHAH ABD RAHIM

Sudah mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, wanita ini meluahkan rasa syukur kerana pasangannya menerima dirinya seadanya.

"Setiap insan ada perasaan mahu berpasang-pasangan. Tapi bagi saya, kalau ada jodoh, ada la... memang rasa insecure juga dengan keadaan diri.

"Apabila kenal dengan suami, saya beritahu semua pasal diri saya. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan insan baik hati yang terima diri saya seadanya walaupun dia seorang insan normal," ujarnya yang kini menetap di Taiping, Perak.

Tidak menyangka videonya menjadi perhatian ramai, Aishah berkata dia sekadar mahu menyampaikan mesej positif terutama kepada golongan senasib.



Pasangan ini sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.

"Dalam masa yang sama, saya mahu tekankan bahawa usah pandang rendah kepada golongan seperti kami. Selalu ada persepsi seperti ini lebih-lebih lagi kalau nak minta kerja. Sesetengah majikan berfikir kami tak mampu lakukan kerja seperti insan normal.

"Harapan saya semoga persepsi masyarakat terhadap golongan kami lebih terbuka. Biarlah layanan yang diberikan sama rata. Usah singkirkan kami dan hanya menilai dari luaran semata-mata," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain