suria

Ibu terpinga dapat hadiah casing telefon, senyum di akhir cerita sebab boleh sambung main game 2 bulan tertangguh - “Gaji kami masing-masing terjejas”

Foto kiri menunjukkan ibu Sabrina sebak menerima hadiah telefon, dan foto kanan Sabrina bersama ibu.

CASING (pelindung) telefon yang dibeli oleh seorang anak perempuan telah membuatkan seorang ibu berasa hairan kerana ia tidak sepadan dengan telefon bimbit yang digunakannya.

Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, wanita itu kemudian diberikan satu beg kertas yang mengandungi kotak berisi telefon baharu.

"Mak tak faham dik, mak tak faham," katanya yang duduk di atas sejadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis, anak kerja di warung, belajar setakat SPM hantar kejutan bunga duit selepas gigih menabung 2 tahun - "Ini yang saya mampu bagi mak"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata - "Apa yang saya buat ni tak cukup"

Sebaik dimaklumkan bahawa telefon baharu itu merupakan hadiah daripada anak-anak, si ibu yang bertelekung itu sebak sehingga mengalirkan air mata.



Menurut Sabrina, ibunya seorang yang tegas dan penyayang.

Anak perempuannya, Sabrina Yusoff berkata, dia membuat kejutan itu beberapa hari lalu bagi menggantikan telefon milik ibunya yang digunakan sejak 2017.

Gadis berusia 24 tahun itu memberitahu, keadaan telefon yang uzur menyebabkan ibunya yang berusia 64 tahun itu sering mengalami masalah ketika menggunakan aplikasi.

"Telefon mak dah lama, storan kecil 32GB dan sistem dalaman perlahan. Tapi mak tak pernah mengeluh, dia pakai saja telefon tu.

"Mak sebenarnya bukanlah hati tisu yang mudah menangis. Tapi ada sebab yang terlalu emosi sehingga mak berasa amat terharu," katanya kepada mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengulas lanjut, Sabrina berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu memberi kesan kepada dirinya dan adik-beradik lain.

"Sejak pandemik, ada antara kami yang dipotong gaji. Pendapatan kami masing-masing terjejas, tapi syukur tiada yang dibuang kerja.

"Sebab itu mak tak sangka dapat telefon baharu hadiah daripada kami adik-beradik yang sepakat berkongsi duit untuk beli hadiah, sedangkan masing-masing terjejas akibat Covid-19," ujarnya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.



Sabrina (belakang, dua dari kiri) bersama keluarganya tahun lalu.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, ibunya merupakan ibu tunggal sejak pemergian bapa yang menghidap kanser paru-paru pada 2003.

"Mak seorang yang membesarkan kami adik-beradik. Mak seorang yang tegas tetapi penyayang dan sentiasa menegur anak-anak untuk menjadi lebih baik," katanya.

Mak sebenarnya bukanlah hati tisu yang mudah menangis. Tapi ada sebab yang terlalu emosi sehingga mak berasa amat terharu.

SABRINA

Dalam pada itu, Sabrina yang bertugas sebagai juruteknik berkata, dia turut berkongsi rezeki dengan ibunya sewaktu menerima bonus tahunan pada Mac lalu.

"Alhamdulillah, saya dapat bonus pada Mac lalu dan saya beli sebentuk cincin emas untuk mak. Masa bagi tu mak menangis, tak sangka dapat barang kemas.

"Mak kata dia sebak sebab itulah barang kemas kedua yang diterimanya selain arwah ayah sejak berkahwin," ujarnya yang juga merupakan pelajar sambilan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembuatan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Seremban.



Walaupun memakai pelitup muka, kegembiraan dua beranak ini dapat dirasai.

Mengenai telefon baharu itu, Sabrina berkata, ibunya kini boleh menarik nafas lega kerana boleh menyimpan lebih banyak dokumen terutama gambar-gambar dengan storan lebih besar.

"Paling penting mak dah boleh sambung main permainan video Pet Rescue Saga yang sebelum ni tertangguh dua bulan sebab tak boleh upgrade guna telefon lama.

"Mak main dah sampai stage 3,000. Bila dah ada telefon baharu, mak dah kembali senyum sambung main untuk level seterusnya.

"Begitulah mak, selain bercucuk tanam di rumah, mak juga akan bermain video game di telefon sekiranya ada waktu terluang," katanya.

@cabwina

told her that i bought her a new phone case but i bought her a new phone instead. watch till the end to see her precious reaction

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain