suria

Apa cerita Ebit Lew bersama 2 treler barang? Rakyat Malaysia di Gaza terima info tiada pergerakan masuk, doa urusan dipermudah - “Kalau tak dapat masuk, harap bantuan sampai”

Foto kiri Ebit bersiap sedia dengan misi bantuan ke Gaza, manakala foto kanan Nadir di Gaza. foto FB Ebit Lew / ihsan Nadir Al-Nuri

RAMAI yang menyuarakan kesyukuran apabila pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew melakukan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kali terakhir status Ebit di laman Facebook pada 27 Mei lalu, memaklumkan beliau selamat tiba di Mesir, membeli barang keperluan asas dan ubat-ubatan menggunakan dua treler besar dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital-hospital Gaza.

Namun, sehingga hari ini ramai tertanya-tanya apa perkembangan terkini mengenai misi kemanusiaan Ebit ke Gaza?

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit tiba di Mesir, akan teruskan misi kemanusiaan ke Gaza

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata, tiada status terkini mengenai Ebit yang diketahui setakat Selasa, namun berdasarkan maklumat terkini diperoleh daripada Kementerian Luar Palestin, tiada pergerakan masuk oleh pasukan berkenaan ke Gaza.



Ebit berada di salah sebuah treler yang membawa barang keperluan. foto FB Ebit Lew

"Tiada pergerakan ke Gaza. Tiada kebenaran untuk masuk dari Mesir. Tiada makluman akan masuk oleh Kementerian Luar Palestin," katanya kepada mStar menerusi aplikasi WhatsApp sambil menambah kemungkinan Ebit dan pasukannya masih berada di Kaherah, Mesir.

Nadir, rakyat Malaysia yang kini berada di Gaza berkata, pasukan Ebit telah menghubunginya sebelum ini bertanyakan tentang urusan menyampaikan bantuan ke Gaza.

Bagaimanapun katanya, mesej seterusnya yang dihantar beliau kepada pasukan Ebit pada 29 Mei lalu tidak dibalas.



Persiapan barang keperluan dan ubat-ubatan. foto FB Ebit Lew

Jelas Nadir, maklumat yang diterima beliau, barang-barang yang diuruskan Ebit untuk dihantar masuk ke Gaza masih belum tiba ke semenanjung itu.

"Prosedur untuk barang masuk pun susah walaupun namanya (unit) Red Crescent (Bulan Sabit Merah)," ujarnya yang menetap di Gaza selama sembilan tahun sejak 2013.

Sehubungan itu, Nadir menyeru rakyat Malaysia mendoakan agar misi kemanusiaan Ebit bersama pasukannya ke Gaza dipermudahkan.

"Saya minta rakyat Malaysia mendoakan agar urusan Ustaz Ebit Lew dan pasukannya dipermudahkan dan bantuan yang telah dibeli di Kaherah dapat disampaikan kepada penduduk di bumi Gaza. Mudah-mudahan, bantuan dapat masuk ke bumi Gaza," ujarnya.



Nadir (belakang) bersama kanak-kanak Palestin. foto ihsan Nadir Al-Nuri

Beliau menegaskan bahawa sebenarnya bukan mudah untuk dibenarkan masuk ke Gaza meskipun untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk.

"Nak masuk ke Gaza sebenarnya tidak mudah, dan prosedurnya ketat kerana Gaza merupakan kawasan keselamatan, kawasan konflik.

Jika memerlukan bantuan dan pastikan barang keperluan itu sampai (kepada penduduk Gaza), boleh maklumkan kepada kita dan kita boleh bantu mendapatkan barangan tersebut dari Gaza sendiri untuk disampaikan terus kepada penduduk tanpa perlu melalui perjalanan yang sukar.

MUHAMMAD NADIR AL-NURI

"Jadi, kalau Ustaz Ebit Lew tidak dapat masuk (ke Gaza), tapi harapnya bantuan yang telah dihantar sampai dan kita mengucapkan terima kasih atas usaha yang telah dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Nadir berkata, barang keperluan untuk bantuan boleh didapati dari Gaza dan bantuan boleh disalurkan terus kepada penduduk tanpa perlu perjalanan yang sukar dari Mesir.



Nadir di kawasan runtuhan bangunan akibat serangan Israel di Gaza. foto ihsan Nadir Al-Nuri

"Pada masa akan datang, jika memerlukan bantuan dan mahu pastikan barang keperluan itu sampai (kepada penduduk Gaza), boleh maklumkan kepada kita dan kita boleh bantu mendapatkan barangan tersebut dari Gaza sendiri untuk disampaikan terus kepada penduduk... barang bantuan boleh saja didapati dari Gaza.

"Dengan jaminan bahawa ia akan sampai, tanpa perlu melalui perjalanan yang sukar dan payah untuk sampai kepada penduduk yang memerlukan," katanya.

Minggu lalu, misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit telah mendapat kelulusan perjalanan kerajaan negara ini.

"Saya bekerjasama dengan Egypt Red Crescent dan Palestin Red Crescent. Terima kasih semua yang bersama misi ini. Demi rasa kekeluargaan. Menangis masa berdoa bersama tadi," demikian status Ebit di Facebook beliau pada Khamis lalu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan