suria

Lebih 2 juta tontonan untuk video makan seafood mentah atas bot! Ramai tertipu, ‘gadis laut’ ini bukan anak nelayan - “Mak ayah tak payah beli ikan dah”

Izryana mencuri tumpuan ramai kerana sering berkongsi video pengalaman memancing di laut.

MELIHAT video-video perkongsian gadis ini di aplikasi TikTok, timbul rasa kagum dalam hati.

Mana tidaknya, gadis ini boleh dikatakan 'rare' kerana lebih suka menghabiskan masa lapangnya di laut dengan aktiviti memancing dan memukat ikan serta hidupan laut lain.

Gadis ini bukan sahaja mengkagumkan netizen dengan kemahirannyanya di lautan, tetapi membuatkan ramai 'ternganga' apabila selamba menjamah telur ketam dan udang!

ARTIKEL BERKAITAN: 'Awek getah' tak kisah bergelumang bau busuk setiap hari, gigih gali pengalaman nak sambung legasi bapa - “Mulut orang kita tak boleh tutup”

ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

Meraih lebih daripada 1.2 dan 1.4 juta tontonan untuk video 'rare' berkenaan, ramai netizen memuji 'survival skill' yang dimiliki oleh gadis ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, Izryana Syazwany Azri yang berasal dari Kampung Mata Air, Pulau Langkawi ini berkata dia sememangnya bergelar kaki pancing sejak di bangku sekolah rendah lagi.



Izryana sering memancing ke laut bersama adik lelakinya, Izry.

"Masa kecil-kecil, saya dah mula memancing. Ketika itu hanya memancing di bendang (sawah), paya. Apabila naik sekolah menengah, ibu dan ayah belikan sebuah bot. Sejak itu baharu saya dan adik kedua memancing di laut.

"Adik saya, Izry Hafiezy Fitry, 17, sememangnya biasa mengemudi perahu layar jadi dia ada basic mengendalikan bot. Kami biasanya pergi berdua sebab adik-adik masih kecil.

"Ramai salah sangka saya anak nelayan... sebenarnya ayah kerja kampung, bercucuk tanam serta membela lembu. Ibu saya pula berniaga makanan secara kecil-kecilan," cerita gadis berusia 20 tahun ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut gadis ini, dia kerap menghabiskan masa dengan memancing memandangkan ketika ini sedang menunggu melanjutkan pelajaran selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Sebelum ni saya tak berapa ada masa sebab sibuk tumpukan perhatian kepada pelajaran. Selepas tamat STPM, masa yang ada diluangkan dengan turun ke laut.

"Kami tak turun hari-hari... kena ikut keadaan air serta cuaca juga. Biasanya kami di laut selama empat atau lima jam. Perasaan apabila dapat ikan dan hasil laut yang lain memang tak dapat digambarkan.



Izry cekap mengendalikan bot kerana mempunyai pengalaman mengendalikan perahu layar.

"Kenangan manis apabila saya berjaya menaikkan seekor ikan repuh seberat lebih 2 kilogram. Selain itu, seronok sebab dapat bantu keluarga juga. Sejak PKP tahun lepas, ibu dan ayah tak payah beli ikan dah," katanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik.

Dalam pada itu, gadis ini turut berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi luar jangka ketika berada di lautan.

Pernah kami di laut, tiba-tiba awan berarak mendung. Kami terpaksa berteduh di mana-mana pulau berdekatan sebab nak balik ke pengkalan ambil masa.

IZRYANA SYAZWANY AZRI

"Semestinya kami utamakan keselamatan, ada 'life jaket' dan sebagainya. Sebelum turun laut, kami pastikan cuaca elok. Tapi biasalah, cuaca sukar dijangka.

"Pernah kami di laut, tiba-tiba awan berarak mendung. Kami terpaksa berteduh di mana-mana pulau berdekatan sebab nak balik ke pengkalan ambil masa," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai gelagatnya menjamah udang dan telur ketam mentah sehingga mengundang perhatian, Izryana berkata dia sekadar berkongsi cara untuk 'survive' di laut.



Antara hasil tangkapan laut yang berjaya dinaikkan oleh Izryana dan adiknya.

"Saya makan tu semasa atas bot... kalau di daratan saya tak makan macam tu. Tapi ada sesetengah fikir saya tak reti jaga kebersihan, ada parasit dan sebagainya. Saya pun tahu sebab belajar subjek Sains Tulen," jelasnya yang turut pandai mengemudi bot.

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Izryana berkata dia terharu dengan komen-komen positif netizen yang mengkagumi kemahirannya.

"Bagi yang tak pernah atau kurang suka memancing, cubalah sekali. Seronok bila dapat tangkap ikan segar... perasaan masa dapat ikan tu pasti memang sukar diungkapkan," ceritanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain