suria

Wajah pesakit Covid-19 sedang tunggu ajal berseri sebelum meninggal, suami keluar kuarantin tak mampu masuk rumah - “Saya sempat sikat rambut mak, pakaikan tudung”

Bapa Siti Raudhah, Hj Md Yatim tidak mampu menahan sebak sebaik sahaja tiba di rumahnya selepas tamat menjalani kuarantin, kerana terlalu sedih mengenangkan pemergian isteri.

TANGGAL 28 Mei pasti tidak akan dilupakan oleh wanita ini sehingga akhir hayatnya.

Pada tarikh itulah, ibunya, Hajah Saby Musa, 63, menghembuskan nafas terakhir selepas seminggu dirawat kerana dijangkiti virus Covid-19.

Menurut Siti Raudhah Md Yatim, 39, segala-galanya bermula pada 2 Syawal (14 Mei) lalu apabila bapanya mula mengalami demam, disusuli oleh adik dan ibunya dua hari kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis berdua dengan ibu... anak tunggal sebak kenang pemergian bapa akibat Covid-19, tiada lagi teman bergaduh manja

ARTIKEL BERKAITAN: “Nanti dah sihat, kita keluarkanlah papa” - Hari ni sambut birthday, esok kebumi bapa! Video budak 5 tahun berdoa di kubur undang sebak

"Mak, abah dan adik lelaki tinggal serumah di Sungai Buloh, Selangor. Disebabkan mereka tiga-tiga demam, salah seorang kakak saya datang ke sana untuk tolong bawa ke klinik tapi masa itu belum buat ujian calitan.

"Keesokannya, mak mula mengalami simptom-simptom yang biasa dialami oleh pesakit Covid-19. Pada 18 Mei, tersebar khabar bahawa ada jemaah masjid dekat rumah mak dan abah positif Covid-19.



Arwah ibu dan bapa Siti Raudhah sering diberi julukan pasangan romantis oleh saudara mara mereka.

"Sesiapa yang ada hadir ke masjid dalam tempoh 10 hingga 14 Mei diminta membuat ujian calitan. Mak, abah, adik lelaki, kakak dan abang ipar buat ujian dan keputusan yang keluar pada 21 Mei menunjukkan kelima-lima mereka positif Covid-19," ceritanya.

Wanita ini berkata berita itu nyata satu perkhabaran duka buat keluarga mereka lebih-lebih lagi mengenangkan ibu bapa yang sudah berusia dan mempunyai sejarah penyakit.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pada 22 Mei, mak, abah dan adik lelaki dibawa ke pusat kuarantin. Tapi keesokannya, mak dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur memandangkan SpO2 (kandungan oksigen dalam darah) tak cantik. Lagi pula mak ada sejarah darah tinggi, kencing manis dan juga minor strok.



Siti Raudhah tidak menyangka Aidilfitri baru-baru ini adalah yang terakhir bersama arwah ibunya.

"Maka berpisahlah mak dengan ayah buat sementara waktu. Bayangkan mak di HKL, adik dan abah di pusat kuarantin, kakak dan suaminya kuarantin di rumah. Hanya panggilan telefon saja menghubungkan kami," ujarnya yang juga pekerja sektor awam ini.

Beberapa hari kemudian, Siti Raudhah berkata doktor di HKL meminta waris untuk datang ke hospital untuk membincangkan keadaan kesihatan ibunya.

"Doktor berterus terang dan beritahu keadaan mak 50-50. Mak masih sedar namun dia perlukan bantuan oksigen. Doktor kata jika ada kes yang lebih muda daripada mak, mereka terpaksa memilih pesakit muda kerana peluang untuk 'survive' tinggi.

"Saya reda dan cuba positif, berserah segala-galanya pada Allah. Rezeki saya, saya dibenarkan masuk jumpa mak. Dengan berbaju PPE, saya masuk jumpa mak.

"Mak sedar dan boleh bercakap cuma mengah. Saya sempat bacakan surah Yasin, sikat rambut mak, pakaikan tudung, dan minta maaf atas segala salah silap. Saya cuba untuk tak menangis di depannya walaupun terlalu sebak," ujarnya.

Allah.... mudahnya cara mak pergi. Dalam tidur dan pagi Jumaat pula.

SITI RAUDHAH MD YATIM

ANAK

Pada 28 Mei, Siti Raudhah berkata ibunya sempat membuat panggilan telefon dengan bapanya dan mereka saling bermaaf-maafan.

"Pagi tu lepas subuh, kakak pun sempat buat video call dengan mak dan beritahu wajahnya berseri. Mungkin kesihatannya ada kemajuan.

"Dalam lingkungan pukul 7.50 pagi, kami dapat panggilan yang memang tak disangka-sangka daripada doktor yang memaklumkan mak menghembuskan nafas terakhir dalam tidur.

"Allah.... mudahnya cara mak pergi. Dalam tidur dan pagi Jumaat pula," ceritanya dalam nada suara sebak.



Kenangan ketika keluarga Siti Raudhah meraikan ulang tahun perkahwinan ibu dan bapa mereka yang ke-48, tahun lalu.

Menurut Siti Raudhah, sungguhpun dirinya teramat sedih dengan pemergian ibu kesayangan, namun bapanya adalah insan yang paling terkesan memandangkan kehilangan teman hidup yang bersama-samanya ketika susah senang sejak 49 tahun lalu.

"Abah dibenarkan pulang pada 30 Mei, dua hari selepas ibu 'pergi'. Masa sampai di luar rumah, abah terlalu sebak dan tak mampu nak masuk dalam rumah sebab mak dah tak ada.

"Luluh hati kami tengok abah... abah dan mak memang selalu buat segala benda bersama, memasak, berkebun dan apa sajalah. Pakaian pun masih nak sedondon. Betapa romantiknya mereka. Jadi memang tak dapat bayangkan perasaan abah yang hilang teman hidup.



Keluarga Siti Raudhah sering meraikan hari istimewa bersama ibu bapa mereka dengan 'tema' tertentu.

"Lama juga nak pujuk dan tenangkan abah sebelum dia masuk rumah. Sekarang ni saya temani abah buat sementara waktu. Saya sediakan lauk yang arwah mak biasa masak, dan pastikan dia tak keseorangan," ujarnya.

Tambah Siti Raudhah, keadaan bapanya kini semakin baik dan sudah mampu menjamah makanan.

"Bagi saya yang sudah rasa pedihnya kehilangan ahli keluarga kerana Covid-19, memang ia rindu yang takkan terluah. Namun kami menerimanya dengan reda.

"Jadi bagi mereka di luar sana, harap kita semua ada kesedaran untuk sama-sama lawan Covid-19. Memang semua rindu keluarga tapi buat sementara ni, video call dulu. Kalau ada yang 'pergi', dah tak boleh nak tengok muka dan bercakap macam biasa dah," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain