BUKAN tiga atau empat sekor, tetapi pemuda ini menjamu puluhan kucing jalanan di sekitar bandar Kuantan, Pahang, hanya kerana tidak sampai hati melihat si bulus kelaparan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berkongsi video-video di aplikasi TikTok, ternyata tindakan pemuda ini mengundang pujian dan kekaguman ramai terhadap usaha murninya. Video-video tersebut meraih puluhan ribu malah ada yang pernah melebihi sejuta jumlah tontonan, sejak dia berkongsi di aplikasi berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Puas pergi merata premis sebab order tak masuk-masuk, rider dapat rezeki tak diduga selepas pasrah... duduk tepi tangga beri kucing bunting makan ARTIKEL BERKAITAN: Bagi kucing makan hari ini, esok dapat 2 tawaran kerja... Jejaka ini sungguh terkejut! Bercerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Shidi berkata, dia mula 'terjebak' memberi makan kucing jalanan ketika PKP fasa pertama, Mac tahun lalu. "Masa PKP 1.0 tahun lepas, memang hampir keseluruhan kedai dan premis tutup, dan orang ramai pun tak keluar rumah. Hari ketiga PKP, saya keluar sebab nak beli makanan. Kemudian masa sampai di satu kawasan, saya nampak kucing kelaparan. "Saya ambil makanan (kibbles) yang memang ada dalam kereta. Bila bagi makan, tak lama kemudian menderu-deru yang lain datang. Kesian... semuanya kelaparan. Saya pula ada sikit je kibbles masa tu. Shidi membeli auto-feeder dan juga makanan kucing dalam kuantiti yang banyak, hasil sumbangan orang ramai serta dananya sendiri. "Dari situ, saya rasa kesian sebab mereka seksa sangat nak survive sebab banyak kedai tutup. Jadi saya pergi pet shop, beli 20 kilogram kibbles dan juga 'auto-feeder' untuk diletakkan di beberapa lokasi di sekitar Kuantan," ujar pemuda berusia hujung 20-an ini. Shidi berkata, pada awal perkongsiannya, dia begitu terharu kerana menerima maklum balas yang sangat positif daripada orang ramai. "Ramai yang contact nak beri sumbangan, dan mereka cadangkan buat tabung. Pada awalnya risau juga sebab nanti ada salah faham, tapi saya memang niat ikhlas untuk bantu kucing-kucing jalanan ni. Shidi mula 'terjebak' memberi makanan kepda kucing jalanan ketika PKP 1.0, tahun lalu. "Syukur, ramai yang turut sama menyumbang. Daripada wang mereka dan juga wang sendiri, saya beli kibbles dan tambah lagi auto-feeder yang dibeli di Shopee. Seronok sangat bila ramai-ramai join kerana secara tak langsung, mesej saya sampai. "Tak boleh lupa saya menangis masa mula-mula bagi kucing-kucing ni makan. Betapa mereka kelaparan sangat-sangat," katanya yang berasal dari Pekan. Shidi turut berkongsi kisah menarik di mana dia turut menerima sumbangan daripada beberapa wanita yang sedang menunggu diberi zuriat. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Antara banyak-banyak mesej yang saya terima, ada beberapa wanita yang beri sumbangan dan niatkan supaya mereka beroleh zuriat.... saya terharu sangat dan sumbangan tersebut saya niatkan sebagaimana doa mereka," katanya yang kini bekerja sendiri. Menurut Shidi, ketika ini dia masih meneruskan misi memberi makanan kepada kucing jalanan kerana sudah 'sebati' dengan aktiviti tersebut sejak tahun lalu, biarpun perlu mengeluarkan belanja sendiri. Dalam kita berkurung di rumah tapi masih mampu makan, ada haiwan di luar sana yang kelaparan. SHIDI "Cuma PKP kali ini tak seperti sebelum ini. Sekarang dah banyak kedai boleh buka, dan saya teruskan misi dan letakkan auto-feeder ni di tempat yang tak ada kedai makan, contohnya pantai. "Alhamdulillah, ada orang awam yang tawarkan bantuan untuk bantu saya juga di beberapa kawasan, jadi saya pass makanan kepada mereka saja... tak perlu saya pusing satu bandar lagi," katanya. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Shidi dalam nada rendah diri berkata apa yang dilakukannya bukan kerana mahu menjadi viral, sebaliknya kerana sifat belas kepada haiwan, selain ia juga satu bentuk sedekah. Selain kucing, Shidi turut memberi makanan kepada anjing jalanan (gambar kanan). "Sebenarnya ramai yang buat benda yang sama... tapi saya rasa dengan berkongsi di media sosial, diharapkan ia menyebarkan kesedaran kepada lebih ramai orang lain. TikTok contohnya, adalah medium yang saya rasa berkesan. "Dalam kita berkurung di rumah tapi masih mampu makan, ada haiwan di luar sana yang kelaparan. Saya sendiri ada tiga ekor kucing, itupun saya mula bela sejak setahun lalu. "Saya bukanlah pencinta haiwan, tapi saya lakukan kerana sifat belas. Mungkin bagi pencinta haiwan, mereka akan rawat dan buat lebih lagi. Namun ini yang mampu saya buat, setidak-tidaknya penuhkan perut kucing-kucing ini. Tak kisah guna duit sendiri, kerana saya niatkan ia sebahagian daripada sedekah," katanya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!