suria

“Saya tak mau, ayah paksa” - Anak Felda tak menyesal ikut cakap bapa, ‘menyinar’ ketika belajar... kini jadi pensyarah bidang elektrik

Asmidar menyeru golongan muda khususnya kaum hawa agar tidak bimbang untuk menyertai bidang kemahiran berkaitan elektrik.

DIPAKSA namun akhirnya jatuh cinta.

Begitulah kisah perjalanan Asmidar Bahari, 27, yang juga pensyarah bidang Elektrik di sebuah kolej swasta di Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor.

Imbas anak jati Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang itu, dia pada awalnya langsung tidak meminati bidang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha spa jiwa kental! Umur 12 tahun dah tunggang motor, tak serik 2 kali kemalangan... kini bangga ada 4 motosikal!

ARTIKEL BERKAITAN: Kasar sejak kecil, pengkid bawa lori kontena kejutkan ramai orang selepas tiba-tiba pergi kerja pakai tudung

Malah, dia dengan hati yang tidak rela pada waktu itu sekadar menyambung pengajian dalam bidang Elektrik demi memenuhi permintaan bapanya sahaja.

"Pada mulanya saya memang tak minat, ayah yang paksa saya untuk belajar dalam bidang ini. Selepas enam bulan, baru saya rasa minat.

"Tak sangka saya boleh lakukan kerja-kerja lelaki. Bila buat wiring, saya teruja lampu dan kipas boleh menyala. Lepas tu terus timbul rasa minat, siap dapat keputusan cemerlang.

"Saya habiskan pengajian selama dua tahun, kemudian sambung lagi sehinggalah dapat bergelar pensyarah dalam bidang ini," ujarnya yang kini sudah tiga tahun bergelar pendidik.

Dia pada mulanya langsung tidak meminati bidang elektrik.

Mesra disapa Asmidar, dia juga pernah berkecil hati gara-gara dipandang rendah selepas mula mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran.

Lebih pilu, tatkala dia sedang 'berperang' dengan perasaan untuk mencari minat dalam bidang itu, rakan-rakan yang lain pula sudah melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Memang sangat terasa hati awal-awal dulu. Bila dapat je keputusan SPM, kawan-kawan dapat masuk universiti, saya pula sambung dalam bidang kemahiran di kolej swasta.

Saya harap lebih ramai perempuan di luar sana buka mata.

ASMIDAR

"Ada orang tanya, saya boleh ke buat kerja lelaki? Saya rasa sedih bila dipandang rendah. Tercabar bila kawan cakap macam tu.

"Tapi saya ambil sebagai pembakar semangat. Pelajar saya pun ramai macam tu ramai yang masuk kerana mak ayah paksa.

"Tapi bila dah ceburi baru timbul rasa minat. Kursus ini juga sangat susah nak jumpa pelajar perempuan," dedahnya lagi.

Kata Asmidar, tidak rugi menceburi bidang kemahiran kerana ia mendapat permintaan tinggi pada masa ini.

Asmidar sudah bergelar sebagai pensyarah sejak tiga tahun lalu.

Malah, kemahiran yang dimiliki membolehkan Asmidar mencari pendapatan sampingan apabila dia menawarkan perkhidmatan pendawaian ketika berkepalangan.

"Kalau dulu saya tak ikut cakap ayah, mesti sekarang dah menyesal. Sekarang kemahiran dipandang tinggi.

"Dengan ilmu yang saya ada, selain mengajar, saya juga ada buat company kecil-kecilan dengan kawan, kami buat perkhidmatan elektrik jika ada permintaan.

"Ayah saya paksa masuk bidang ni sebab kakak saya pun ambil bidang yang sama. Kakak saya pun dah jadi technician di sebuah hotel terkemuka," ujar anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Asmidar menyeru agar lebih ramai kaum hawa menyertai bidang itu.

Dalam pada itu, Asmidar menyeru golongan muda khususnya kaum hawa agar tidak bimbang untuk menyertai bidang berkaitan elektrik atau bidang lain yang sinonim dengan golongan lelaki.

"Yang mana rasa keputusan SPM kurang baik, boleh ceburi bidang kemahiran. Sekarang boleh kira dengan jari berapa ramai kaum hawa ada dalam bidang ini.

"Jangan rasa takut, kena percaya dengan kebolehan diri. Bila dah masuk, baru tahu macam mana.

"Saya harap lebih ramai perempuan di luar sana buka mata. Walaupun kerja sentiasa tangan kotor, tapi ia membuahkan hasil," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain