suria

Pemilik restoran, staf tunduk mohon maaf kepada pelanggan selepas naikkan harga makanan - “Mungkin lepas ni ada yang dah tak mampu beli”

Azril bersama pekerjanya tampil memohon maaf kepada pelanggan gara-gara terpaksa menaikkan harga makanan sebanyak RM1.

RAKAMAN memaparkan pengusaha sebuah restoran bersama para pekerja yang berdiri kaku di hadapan premis sebelum tunduk memohon maaf ternyata menjentik emosi pelayar media sosial.

Menurut Muhammad Syairazmin Azril Alias, 25, dia sudah dua tahun mengusahakan restoran Ayam Gepuk Ganteng yang terletak di Meru, Ipoh, Perak dan dibantu oleh 14 orang kakitangan.

Namun katanya, kenaikan harga barang mentah ketika pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan memaksa mereka menaikkan harga sehingga tercetusnya ilham penghasilan video itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasrah jual kambing bakar tak laku, lelaki cepat-cepat tutup gerai... kemudian terus pergi borong makanan peniaga senasib dengannya

ARTIKEL BERKAITAN: Minta kerja di McD selepas kejadian tak cukup duit bayar sundae cone, wanita ini tak sangka berjodoh dengan staf yang ‘selamatkan’ dirinya

"Idea tercetus kerana situasi ekonomi semasa, harga bahan mentah pun naik. Jadi kami pun terpaksa naikkan harga makanan jualan kami.

"Tapi kami risau pelanggan marah. Mereka pun terkesan dengan keadaan sekarang. Dah fikir macam-macam cara untuk sampaikan khabar ini kepada pelanggan.

"Kemudian saya dapat ilham daripada sebuah video dari Jepun. Kami imitate video sama dengan mesej untuk memohon maaf kepada pelanggan.

"Nak mereka tahu yang kami sedaya upaya tak mahu naikkan harga, tapi kami tak boleh buat apa. Kami faham kalau pelanggan marah. Kami buat video untuk mohon maaf," ujarnya kepada mStar.

Azril sebelum ini bekerja sebagai pelakon dan pengacara di Movie Animation Park Studios (Meps) Perak.

Mesra disapa Azril, dia menegaskan keputusan menaikkan harga set ayam gepuk sebanyak RM1 merupakan satu perkara yang cukup menggusarkan hatinya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Jelasnya lagi, dia tahu tak semua pelanggan restorannya berada dalam kalangan orang berada, malah nilai RM1 itu juga dianggap cukup besar bagi dirinya.

"Dulu satu set ayam gepuk RM8. Sekarang kami naikkan jadi RM9. Tapi set lain seperti ikan keli, kami masih kekalkan harga lama.

Antara menu di restoran itu.

"Mungkin ada yang mampu beli makanan kami sebelum ini, sekarang dah tak mampu walaupun naik RM1 saja. Saya rasa sedih, bagaimana pelanggan nak beli makanan kegemaran mereka yang dah naik harga sekarang?

"Sudah lama kami berbincang. Kalau boleh tak nak naikkan harga, tapi kami terpaksa. Kami buat video bukan untuk marketing, tapi kami ikhlas nak sampaikan mesej bahawa ini bukanlah kemahuan kami sebenarnya.

Saya sampai nak menangis. Ada yang kata, mereka tak kenal pun kedai saya sebelum ini.

AZRIL

"Saya tak risau sale berkurangan, tapi risau mereka tak mampu nak nikmati makanan ini lagi. Ada menu lain kami tak naikkan harga pun," ujarnya.

Sebelum berniaga di premis itu, Azril hanya memasak di rumah dan menjalankan perkhidmatan penghantaran (COD).

Dia kemudiannya berniaga di sebuah gerai sebelum memasuki premis berkenaan pada Mac tahun lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.

Azril dan para pekerja terharu dengan sokongan yang diberikan oleh netizen.

Mengulas reaksi netizen di media sosial, Azril mengakui sebak dengan penerimaan ramai yang faham dengan situasi menimpa dirinya sebagai pengusaha perniagaan.

"Penerimaan sangat harmoni, mereka sangat memahami dan suarakan untuk terus sokong kami. Saya rasa makin bersemangat.

Azril sudah lebih dua tahun mengusahakan perniagaan itu.

"Sekarang kami juga ada buat servis drive-thru di premis. Ramai yang datang, mereka maklumkan dapat tahu mengenai kedai saya menerusi video viral itu.

"Saya sampai nak menangis. Ada yang kata, mereka tak kenal pun kedai saya sebelum ini. Tapi mereka datang beri sokongan selepas video itu dikongsi di Twitter dan Instagram.

Paparan skrin video tular itu.

"Pelanggan saya titip pesan, katanya di sebalik dugaan pasti ada sinar. Kami pun rasa bersalah dengan kenaikan harga ini, tapi sangat bersyukur dengan sokongan semua.

"Walaupun pelanggan pun terkesan, mereka tetap beri sokongan. Saya dan satu team terharu. Ada dalam kalangan kami yang menangis selepas lihat sendiri sokongan ini," ujarnya.

Sebelum menceburi bisnes, Azril sebelum ini bekerja sebagai pelakon dan pengacara di Movie Animation Park Studios (Meps) Perak.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain