suria

Patutlah menangis kongsi kisah budak tak makan 2 hari, Abang Din pernah jadi gelandangan... niat tolong orang jika hidup senang - “Tengah tidur, ada ustaz hulur makanan”

Abang Din membuka cerita kisahnya yang pernah bergelar gelandangan berbelas tahun dahulu, sebelum berjaya bangkit dan mampu menghulurkan sumbangan kepada individu memerlukan ketika ini. Gambar hiasan  

BEBERAPA hari lalu, seorang bapa daripada golongan B40 yang menangis ketika berkongsi kesukaran yang dihadapainya di stesen radio Suria.fm menjadi tular kerana kisahnya begitu menyentuh hati netizen.

Terbaharu, luahan seorang pemanggil yang menangis teresak-esak sewaktu berkongsi kisahnya menerusi segmen Suria Petang, sekali lagi membuatkan netizen sebak.

Dalam segmen yang dikendalikan oleh deejay Tyzo Xander, Suraya Borhan dan Shiera Ijoy, pemanggil tersebut yang dikenali sebagai Abang Din Kuala tidak dapat menahan tangisan ketika bercerita detik dia terjumpa sebuah keluarga yang terpaksa mengikat perut kerana putus bekalan makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah PdPR! ‘Bapa B40’ menangis teresak-esak di radio, tak mampu beri pendidikan terbaik untuk 5 anak - “Mereka ketinggalan, saya nak ajar tak pandai”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Bapa B40’ buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak – “Tak mahu mereka jadi seperti saya”

"Ada satu kes saya pergi, anaknya dah terbaring... tak makan dua hari. Saya memang luluh hati. Saya lari, cari kedai makan, saya beli makanan bungkus bagi dia makan supaya ada tenaga," ceritanya dalam esak tangis ketika menyuarakan pandangan mengenai topik 'bendera putih' yang diutarakan segmen Suria Petang.

Menurut Abang Din, kes tersebut adalah antara yang menyentuh hatinya sejak lebih setahun menggerakkan inisiatif sendiri menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar kampungnya di Kuala Kangsar, Perak.

Ketika ditemubual mStar, dia yang lebih selesa disapa sebagai Abang Din berkata sama sekali tidak menyangka kisah berkenaan meraih perhatian ramai sehingga menjadi tular.

"Jujurnya pertama sekali, saya tiada niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, atau cuba meraih perhatian dengan apa yang saya lakukan. Niat saya, saya mahu sampaikan mesej betapa pentingnya kita ambil tahu hal jiran masing-masing.

"Saya mahu membangkitkan semangat untuk rakyat tolong sesama rakyat, supaya secara tak langsung kita dapat kurangkan kes bunuh diri kerana stres dan sebagainya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kerana ada yang bukan sahaja terputus bekalan makanan, tetapi hubungan komunikasi. Itu perlunya kita pantau jiran. Ada kes yang saya pernah pergi, dia sampai hilang kepercayaan kepada Tuhan. Kita tak mahu sampai ada kes macam tu," kata lelaki berusia 37 tahun ini.



Luahan Abang Din disuarakan ketika membuat panggilan kepada team Suria Petang.

Namun siapa sangka, inisiatif yang digerakkan atas kapasiti sendiri sebenarnya bertitik tolak dengan pengalamannya yang pernah bergelar gelandangan kira-kira 16 tahun lalu.

"Dulu saya macam anak muda lain, 'gamble' merantau dari kampung dan ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Tapi kehidupan di ibu kota begitu mencabar dan tak seperti yang saya harapkan. Saya kerja di tempat cuci kereta dan dapat gaji harian.

"Ada satu ketika, tauke balik kampung lama sehingga saya tiada duit nak makan. Saya tidur di hentian bas berhari-hari. Bukan tiada saudara, tapi hubungan nak berkomunikasi sangat terhad ketika itu.

"Masa tengah tidur, ada seorang ustaz hulur makanan. Saya terlalu bersyukur dan tak henti-henti berterima kasih. Saya masih ingat, ustaz ni doakan saya murah rezeki satu hari nanti supaya dapat tolong orang lain.

"Alhamdulillah, dipendekkan cerita, selepas itu saya ada rumah, ada kerja. Pada 2006, rezeki saya murah selepas menyertai satu pertandingan di sebuah stesen televisyen. Wang itu saya laburkan dalam perniagaan, kebun-kebun dan untungnya diperuntukkan untuk salur bantuan lebih agresif," ceritanya.

Ada orang habiskan wang untuk anak-anak dan keluarga, saya pula masih belum dikurniakan zuriat, jadi saya habiskan duit untuk anak-anak orang lain.

ABANG DIN

Menurut Abang Din, semuanya dilakukan secara 'underground' kerana dia lebih selesa dengan cara sedemikian, sehinggalah inisiatifnya mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Santuni Kuale ketika dia aktif membantu penduduk di sekitar Kuala Kangsar sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Sejak tahun lalu saya pulang ke Kuala Kangsar kerana menjaga ibu mentua. Mula-mula dulu letak makanan di masjid, ketuk pintu rumah orang... sejak dari itu ada yang salurkan maklumat malah ada hubungi saya sendiri.

"Kemudian NGO Santuni Kuale banyak support, bantu saya salurkan maklumat mengenai golongan yang memerlukan.

"Saya tak kisah guna dana sendiri. Ada orang habiskan wang untuk anak-anak dan keluarga, saya pula masih belum dikurniakan zuriat, jadi saya habiskan duit untuk anak-anak orang lain.

"Sebab itu saya namakan inisiatif saya ini 'Kongsi Rezeki'. Yang mana mampu, saya bantu... untuk 'bekalan' ke sana juga, dan mudah-mudahan ada doa yang diselitkan orang-orang ini supaya saya dikurniakan zuriat akan dimakbulkan Allah," ujarnya lagi.



Abang Din juga pernah mengambil inisiatif sendiri membantu memberikan makanan kepada gelandangan. Gambar hiasan

Tambah Abang Din, dalam ketika rakyat sedang berdepan dengan kesukaran lantaran pelaksanaan PKP, dia secara peribadi menyokong inisiatif golongan yang berkemampuan untuk membantu meringankan beban insan tak bernasib baik, termasuklah kempen bendera putih.

"Ketika ini, tolonglah tolak tepi soal politik. Orang susah yang lapar, putus bekalan makanan tak mahu tahu pun 'bendera' apa yang anda wakili.

"Bila ada orang awam yang berkemampuan sedikit mahu beri bantuan, janganlah sekat atau jadikan mereka sebagai mangsa politik.

"Inisiatif sebegini sangat baik di mana rakyat tolong rakyat setakat yang mereka mampu. Bukan mereka mahukan nama pun, tapi bantuan atas dasar prihatin dan mahu berkongsi rezeki.

"Rakyat Malaysia ni memang terkenal sangat dengan sikap prihatin jadi kita mohon sangat, mereka yang bergelar pemimpin ini tunjuklah teladan yang baik kepada rakyat," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain