suria

Pernah tak bertegur sapa selepas bercerai, siapa sangka segalanya berubah demi anak kembar - “Anak pegang kata-kata nanti papa balik”

Nuyoy percaya pasangan yang bercerai tidak perlu bermusuhan dan boleh berkawan baik terutamanya demi kebaikan anak-anak.

BERCERAI tidak bermakna perlu bermasam muka selamanya.

Apatah lagi bagi pasangan yang mempunyai zuriat bersama.

Inilah yang dipegang Nurul Afiqah Kamaruddin,29 atau lebih mesra disapa Nuyoy.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna bakul angkat barang ke tingkat 4, ibu tunggal tak sangka takal buatannya boleh buat ramai tersenyum - "Mula-mula jiran gelak"

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi baru lahir diramal mampu hidup 2 bulan kini dah umur 11 tahun! Ibu tabah tunggu detik anak 'pergi' sambil cipta memori - "Orang tak tahu, nampak kami mewah"

Berkongsi kisahnya dengan mStar, Nuyoy yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata ikatan perkahwinannya yang dimeterai pada tahun 2011, terlerai pada tahun 2017.

Mengakui dia dan bekas suami pada mulanya tidak bertegur sapa antara satu sama lain, semuanya berubah apabila anak mereka berusia empat tahun.

"Masa mula kami berpisah, bergaduh juga tapi tak kerap. Saya balik kampung dengan anak-anak dan kami tak berhubung atau mengambil tahu mengenai hal masing-masing.

"Saya pun tak ada tuntut apa-apa di mahkamah.

"Tapi bila anak saya masuk umur empat tahun Alhamdulillah, dia mula bagi nafkah setiap bulan, bila anak sakit dia bagi duit minta bawa ke klinik swasta dan dia cakap kalau nak apa-apa minta je, kalau dia ada duit dia akan transfer kalau tak biasanya dia akan minta masa sedikit," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Nuyoy, dia kini berasa bersyukur melihat keprihatinan suaminya terhadap pasangan kembar yang lahir hasil dari perkahwinan mereka.

"Sekarang dia banyak ambil berat pasal anak-anak, saya lega sangat. Masa mula dulu adatlah hati tengah panas, sekarang kami dah okay kalau ada apa-apa kami akan berbincang bersama," katanya yang menyara keluarga dengan menjual barangan kemas secara dalam talian.



Nuyoy dan dua anak kembarnya.

Nuyoy berkata dia bagaimanapun sedih setiap kali anak-anaknya bertanya mengenai bapa mereka yang sudah tidak tinggal sebumbung.

"Mereka dah mula sekolah, ada kawan jadi mereka rasa pelik kenapa mereka tak ada papa yang duduk serumah, ada mama je, saya tak tahu nak cakap macam mana untuk bagi mereka faham jadi saya hanya akan cakap 'papa kerja jauh'.

"Papa dia pun bila video call anak-anak akan cakap 'papa kerja nanti papa balik', kata-kata 'nanti papa balik' tu yang anak-anak saya pegang sampai sekarang," katanya.

Dulu masa mula dulu adatlah hati tengah panas, sekarang kami dah okay kalau ada apa-apa kami akan berbincang bersama

NURUL AFIQAH KAMARUDDIN

Menurut Nuyoy, dia percaya bekas suaminya itu juga pasti sangat merindui anak-anaknya.

"Sekarang bekas suami selalu order makanan untuk anak-anak. Saya tahu dia rindu, mungkin juga kesal dengan apa yang sudah berlaku, tapi tak ada apa boleh kami buat melainkan berbaik dan menjaga hubungan dengan anak-anak," katanya.



Anak kembarnya sering bertanyakan mengenai keberadaan bapa mereka.

Menurut Nuyoy dia dan bekas suaminya kini berkawan baik bahkan lelaki itu juga banyak membantunya menguruskan hal-hal peribadinya serta membantu memberi pandangan apabila diminta.

"Saya lega sangat, dulu lepas bercerai sampai anak saya umur empat tahun saya asyik fikir pasal anak sendiri-sendiri je, fikir duit, kesihatan, kerja lagi... keluarga dan kawan-kawan ada tapi saya tak nak susahkan orang.

"Sekarang Alhamdullilah dia (bekas suami) selalu ada dengan saya kalau bab anak-anak, kadang-kadang kalau saya perlukan duit atau pendapat pun saya akan bersembang dengan dia.

"Masa lepas bercerai saya ada buka tadika dan dalam masa sama saya jual emas, jadi ada banyak dokumentasi yang perlu saya uruskan tapi kalau saya sibuk, saya minta tolong dia," katanya.

Selain dengan anak-anak, Nuyoy berkata bekas suaminya juga tidak lokek untuk berkongsi rezeki dengan dirinya.

Katanya suatu ketika dahulu fokus perbelanjaannya lebih tertumpu kepada perbelanjaan anak-anaknya seperti membeli lampin pakai buang dan barangan keperluan mereka yang lain sehingga dia sanggup mengetepikan kehendak dirinya sendiri.

"Saya cakap dekat dia urusan anak berbeza, kalau duit untuk beli barang saya ada ke tak ada itu belakang kira.

"Sekarang kebaikan dia pada saya dan anak-anak masih ada dan berganda-ganda, saya rasa bersyukur sangat dan saya harap ini akan berlanjutan sampai bila-bila, ” katanya sambil menambah dia bersyukur Allah bukakan pintu hati bekas suaminya tepat pada masanya.



Antara barang buat dirinya yang dibelanja oleh bekas suaminya.

Berkongsi nasihatnya kepada pasangan yang senasib dengannya, Noyuy berkata pasangan yang berpisah boleh berkawan semula dengan bekas suami asalkan masing-masing sudi untuk berubah.

"Masa mula-mula bergaduh tu biasa sebab masing-masing tengah panas hati, tapi bila sampai masa dia akan okay dengan izin-Nya.

"Tapi dua-dua belah pihak kena sanggup untuk berubah macam bekas suami saya dia mengambil berat pasal kami anak-beranak, saya pula letak tepi perasaan marah dan geram saya sebaliknya saya belajar untuk bertenang dan reda," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain