suria

Ewah! Ramai terhibur tengok pengantin bersemangat menari zapin atas jalan selepas selamat nikah - “Tak boleh buat kenduri, kami hiburkan diri sendiri”

Gelagat pasangan ini mempersembahkan tarian zapin sambil mengenakan busana pengantin meraih lebih 400,000 jumlah tontonan di TikTok.

GELAGAT sepasang pengantin baharu yang mempersembahkan tarian tradisional zapin dalam busana serba putih, mencuri perhatian pengguna media sosial yang kagum dan asyik melihat lenggok lemah gemalai pasangan berkenaan.

Hanya menari di sebatang jalan berlatarkan suasana kampung, video berkenaan berjaya memukau netizen apabila sehingga kini meraih lebih dari 443,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pengantin lelaki, Badrul Haziq, 27, berkata, video bersama isterinya, Fatin Aqilah, dirakam pada hujung Mei lalu selepas mereka selesai diijabkabulkan dalam sebuah majlis kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tak sangka perkongsian lenggoknya di TikTok dianggap rare, terus tak jadi padam video!

ARTIKEL BERKAITAN: Powerlah! Wanita 61 tahun ini bukan penari tapi lenggok Aunty Soo Ming memang memukau - “Saya berlatih cuma satu hari”

"Memandangkan sekarang kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kami hanya selesaikan akad nikah sahaja. Tak ada tetamu dan tak boleh buat kenduri, jadi kami buat persembahan untuk hiburkan diri dan simpan buat kenangan sahaja," kata Badrul Haziq.

Melihat kepada keindahan lenggok yang dipersembahkan, pastinya ramai tertanya-tanya apakah pasangan ini sememangnya mempunyai latar belakang dalam bidang seni tarian tradisional atau sekadar suka-suka.

Membuka cerita, Badrul Haziq mendedahkan dia dan isteri yang berusia 26 tahun sememangnya berkenalan ketika sama-sama menyertai Kumpulan Kesenian Adikarma sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

"Kami masing-masing menuntut jurusan yang berbeza, namun mula berkenalan ketika sama-sama join Adikarma pada 2016.

"Masa dalam kelab tu, banyak program tarian yang kami sertai bersama-sama termasuk ke luar negara ketika program pertukaran budaya antaranya ke Thailand, Indonesia dan Vietnam.



Dari pentas tari, pasangan ini akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

"Bukan kami sahaja, ada rakan-rakan lain yang juga menemui cinta ketika sama-sama sertai Adikarma. Alhamdulillah, perkenalan kami membawa ke jenjang pelamin. Pendek kata, dari pentas tari hingga menjadi suami isteri," cerita Fatin Aqilah pula.

Menurut pasangan ini, sungguhpun sudah bergelar 'alumni' kelab berkenaan, mereka tetap aktif memenuhi jemputan untuk majlis-majlis seperti perkahwinan dan sebagainya.

"Tarian tradisional ni dah sebati... sayang nak tinggalkan. Namun sekarang ini dah 'slow' sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.



Pasangan ini tidak menyangka video tarian zapin mereka menjadi tular di aplikasi TikTok.

"Jadi kami lepaskan rindu nak menari tu dengan buat persembahan di rumah sahaja. Sebenarnya tak sangka langsung video zapin berbaju pengantin tu viral padahal kami berdua baru buka akaun TikTok.

"Di akaun suami, satu video tarian lain raih lebih 1 juta tontonan, manakala di akaun saya pula lebih 443,000 tontonan. Sejak viral, ramai yang puji malah siap request kami buat video lagi.

Ada yang minta tutorial, siap suruh kongsi banyak lagi konten tarian.

FATIN AQILAH

ISTERI

"Inilah mesej kami sebenarnya, nak sebarkan kesedaran dan tunjukkan lagi keindahan tarian tradisional kita kepada generasi muda mahupun tua. Bukan saja tarian zapin dan tarian tradisional Melayu yang lain, tapi juga tarian kaum Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak," ujar pasangan yang bekerja sebagai pegawai bank dan ketua bidang pemasaran jualan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tambah Badrul Haziq lagi, pujian serta komen positif daripada netizen membuatkan dia dan isteri makin bersemangat untuk berkongsi video pelbagai jenis tarian.

"Ada yang minta tutorial, siap suruh kongsi banyak lagi konten tarian. Setakat ini kami baru muat naik lima video tarian di TikTok. TikTok adalah medium yang berkesan memandangkan ia menjadi trend ketika ini.



Fatin Aqilah dan Badrul Haziq berkenalan sejak 2016.

"Kami gembira sangat sebab menerima sambutan positif daripada netizen. Alhamdulillah, dalam pada kita duduk di rumah habiskan masa dengan keluarga, boleh juga join belajar tarian tradisional.

"Orang luar terlalu kagum dengan budaya kita, jadi kita sebagai orang Malaysia patut lebih bangga dengan keunikan yang kita ada. Kitalah yang sepatutnya angkat keunikan ini agar tak pupus ditelan zaman," kata Badrul Haziq lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain