ORANG kata kanak-kanak tidak pandai menipu, apa yang dikata mereka adalah benar belaka. Ragam mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di rumah juga menjadi perhatian apabila seorang murid berani bersuara ketika gurunya sedang asyik mengajar. "Cikgu, bila nak habis kelas," tanya seorang murid yang secara tak langsung menegur gurunya kerana sesi kelas dalam talian sudah 'terlajak masa', seperti yang dikongsi menerusi video di aplikasi TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: Gigih belajar walau pandemik, 'pelajar rajin' dapat ganjaran daripada 3 guru... tapi ada sekali kena 'scam'! - "Mulanya order nasi goreng ayam je sebab murah" ARTIKEL BERKAITAN: Bila cikgu dan murid sama kelas, tinggal serumah... apa jadi dengan sesi PdPR? - "Kalau tak dapat jawab habislah mak membebel depan kawan" Guru berkenaan, Mohd Razli Jalil berkata, kejadian berlaku baru-baru ini ketika dia tekun mengajar murid-murid Tahun Satu mata pelajaran Matematik. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu, murid tersebut bertindak menegurnya mungkin kerana mereka perlu mengikuti kelas seterusnya yang diajar guru lain. "Masa tu saya betul-betul tak perasan. Syok sangat mengajar sebab melibatkan sesi latihan untuk topik bahagi. Bila saya tanya, murid-murid pun bersemangat menjawab. "Bila murid-murid bersemangat, saya pun makin seronok mengajar sampai tak sedar sudah habis tempoh kelas selama 45 minit yang sepatunya tamat pukul 8.45 pagi," katanya kepada mStar. Antara sesi PdPR yang dikendalikan Mohd Razli. Mohd Razli berkata, kelas yang 'terlajak masa' hampir 10 minit itu berakhir selepas salah seorang muridnya yang begitu peka dengan waktu memberanikan diri menegurnya. "Bila tengok jam hampir pukul 9 pagi, saya terkejut dan cepat-cepat minta maaf. Saya seronok mengajar, murid-murid seronok belajar sampai dah habis masa. "Saya pun faham sebab ada kelas lain yang perlu mereka ikuti. Walaupun mungkin ada gap (jarak waktu) antara kelas, tapi mereka perlukan rehat sebab sesi PdPR memang mencabar," katanya yang mula berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, pada Mac lalu. Menurut guru yang berasal dari Sandakan, Sabah itu, dia bagaimanapun berdepan ragam yang berbeza ketika mengajar murid-murid Tahun Dua apabila dia sendiri perlu menamatkan sesi PdPR. Mohd Razli mengajar murid-murid Tahun Satu, Dua dan Tiga. "Murid-murid Tahun Satu ni lebih excited apabila berjumpa kawan-kawan secara online, sebab dah lama tak bersemuka disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). "Jadi, masing-masing nak bercakap. Saya akan mute audio mereka sekiranya keadaan tidak terkawal bagi memastikan semua murid dapat memberi tumpuan ketika saya mengajar. "Saya hanya on audio mereka apabila menjawab soalan untuk memerlukan interaksi dalam kelas," katanya yang turut mengajar murid-murid Tahun Tiga dan subjek Bahasa Inggeris. Seronok melayan mereka sebab saya sukakan kanak-kanak. Tapi saya perlu tamatkan kelas sekiranya sudah cukup masa untuk mereka berehat... PdPR ni memang mencabar tapi menyeronokkan MOHD RAZLI Sehubungan itu, guru yang lebih mesra disapa Cikgu Razli atau Sir Razli itu perlu memastikan modul pengajarannya sentiasa segar dan menarik untuk mendapatkan tumpuan murid-murid. "Sekarang ni ada kuiz dan game interaktif untuk memudahkan murid-murid menjawab soalan. Selain itu, saya juga akan mengajak mereka bersenam menggunakan lagu Chicken Dance ataupun Intan Payung yang kini menjadi kegilaan anak muda, " katanya yang merujuk kepada lagu nyanyian Bunga Isme bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris. Murid-murid teruja mengikuti PdPR. Mengulas lanjut, Mohd Razli yang juga mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, ada juga ketikanya keterujaan murid-murid Tahun Satu ketika PdPR membuatkan mereka tidak menyedari sesi kelas telah tamat. "Bila dah habis kelas, mereka sambung bercakap atau nak dengar saya bercerita. Selagi saya tak tutup aplikasi online, semua tak akan berganjak. Kena tunggu semua bye-bye dulu sampai habis. "Sebenarnya seronok melayan mereka sebab saya sukakan kanak-kanak. Tapi saya perlu tamatkan kelas sekiranya sudah cukup masa untuk mereka berehat... PdPR ni memang mencabar tapi menyeronokkan, " katanya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!