suria

12 ahli keluarga positif Covid-19, wanita ini akui tak tahan pakai PPE ketika jaga nenek tahap 4... esoknya diri sendiri turut ‘tewas’ - “Dah pasang aircond masih panas”

Foto kiri Aishah memakai PPE, foto kanan Aishah menguruskan neneknya yang terlantar di katil di rumah.

BERAT ujian yang menimpa seorang wanita apabila 12 ahli keluarganya disahkan positif Covid-19, termasuk neneknya berusia 84 tahun.

Menerusi video di aplikasi TikTok, wanita berkenaan menjadi perhatian apabila memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi menjaga neneknya yang terlantar di katil rumah.

Wanita itu, Siti Aishah Ibrahim berkata, kesemua 12 ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 selepas salah seorang daripada mereka dijangkiti virus itu pada 13 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga peluk cium atuk usia 74 tahun positif Covid-19, ahli keluarga perjelas hal sebenar... video 'lain dikongsi di media sosial, lain yang viral'

ARTIKEL BERKAITAN: Enam sekeluarga positif Covid-19, masuk hospital sama-sama tapi takdir menentukan tiga pulang ke negeri abadi - "Mak lagi kuat dari saya"

Aishah berkata, daripada jumlah itu, adiknya yang berusia 32 tahun sedang hamil dua bulan dan seorang anak berusia enam tahun merupakan orang kelainan upaya (OKU) sindrom down.

"Kesemua kami terdiri 16 orang termasuk pakcik dan makcik yang tinggal di enam rumah secara berjiran. Bila seorang positif Covid-19, semua kena buat ujian swab.

"Keputusan ujian swab pertama saya adalah negatif. Nenek pula malam pada 14 Julai baru dapat keputusannya iaitu positif," kata wanita berusia 36 tahun itu kepada mStar.

Lebih mesra disapa Aishah, dia yang menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata, dia membeli PPE untuk memudahkan dirinya menguruskan nenek berikutan keputusan ujian swabnya ketika itu adalah negatif.

"Nenek dimasukkan ke hospital selepas rebah akibat serangan jantung awal bulan ini. Sejak itu nenek tak dapat bergerak sepeti biasa. Selepas discaj, kami sediakan katil yang sama digunakan di hospital untuk kegunaan nenek di rumah.

"Memandangkan saya rapat dengan nenek, jadi saya pakai PPE untuk bantu uruskan nenek bagi makan minum dia, tukar lampin dan bersihkan badan dia," katanya sambil menambah urusan jagaan nenek turut dibantu ibu saudaranya.

pakai ppe urus nenek 2

Aishah memakai PPE kerana ketika itu disahkan negatif Covid-19.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, neneknya merupakan pesakit Covid-19 tahap empat yang memerlukan oksigen.

Aishah mendakwa, neneknya menjalani kuarantin di rumah dengan bantuan oksigen selepas dimaklumkan pihak hospital bahawa wad unit rawatan rapi (ICU) dipenuhi pesakit Covid-19.

"Selain itu, saranan doktor itu dibuat kerana terdapat kemudahan katil hospital dan bantuan oksigen di rumah dan boleh dipantau oleh ahli keluarga yang turut menjalani kuarantin di rumah.

"Bagaimanapun, saya hanya bertahan selama tiga hingga empat jam pakai PPE. Walaupun pasang aircond dalam rumah, tapi masih rasa panas dalam PPE.

Saya hanya boleh bertahan selama tiga hingga empat jam pakai PPE. Walaupun pasang aircond dalam rumah, tapi masih rasa panas dalam PPE.

AISHAH

"Memang wow saya respect frontliners. Macam mana mereka boleh pakai PPE sehari suntuk tengah panas. Saya kagum pengorbanan mereka," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Namun kata Aishah, dia hanya dapat menguruskan neneknya selama sehari sebelum mengalami gejala dan tidak sihat pada Sabtu lalu.

pakai ppe urus nenek 3

Aishah (kanan) menguruskan nenek sambil dibantu ibu saudara.

Susulan itu, dia yang merupakan eksekutif projek di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor melakukan ujian swab kedua pada Ahad dan keputusan didapati positif Covid-19.

"Buat masa ini, seramai 13 ahli keluarga termasuk saya yang baru disahkan positif Covid-19 dan kesemua kami menjalani kuarantin di tiga buah rumah," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Aishah berkata, perkongsian videonya itu diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar menjaga diri dan keluarga masing-masing.

"Kita tak nampak Covid, walau macam mana kita jaga dan patuh SOP (prosedur operasi standard) kita boleh terkena. Kalau keluar rumah tu biarlah ada urusan penting dan pakai double mask.

"Sekarang ni jumlah pesakit Covid-19 masih tinggi dan wad ICU penuh is real. Kalau anda tengok video saya, bayangkan apa akan jadi pada famili sendiri. Jadi, nasihat saya supaya anda semua menjaga diri dan keluarga sepanjang masa," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain