suria

Wanita ini gembira rakan baik jadi suami selepas main sanding olok-olok, namun diuji hebat masa bertunang dan sebulan lepas nikah

Alis sah menjadi isteri rakan baiknya yang dikenali sejak 2013.

SIAPA sangka, gambar bersanding 'olok-olok' yang dirakam bersama rakan baik hampir lima tahun lalu akhirnya menyatukan pasangan ini di jenjang pelamin.

"Kalaulah aku tak main kahwin-kahwin dengan kawan baik aku 2016 dulu... mesti semua ni tak jadi," demikian tulis kapsyen pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Video tersebut memaparkan kedua-dua rakan baik ini mengenakan pakaian sedondon rona ungu dan duduk bersama di atas pelamin ibarat pasangan mempelai.

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat 22 tahun kini sah jadi isteri, pengantin lelaki mengaku ‘gabra’ dan teramat malu... siap minta maaf sebab pegang tangan isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 30 tahun berjiran, wanita tak sangka jodoh dengan rakan sepermainan depan rumah - “Mak mentua datang, tanya dah berpunya ke belum”

Sehingga kini video tersebut meraih 254,000 jumlah tontonan dengan rata-rata netizen turut teruja dengan pengakhiran gembira kisah pasangan ini.

Tidak menyangka sama sekali video yang memaparkan gambar 'throwback' sekitar 2016 itu menjadi tular, Alis Dahlia Rohaimi berkata dia sejujurnya sekadar mahu mengabadikan kenangan bagaimana dia dan suami, Khairulanwar Dzul'kifli yang bermula sebagai rakan baik akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

Menceritakan detik perkenalan bersama suami, wanita ini yang senang disapa sebagai Alis berkata segala-galanya bermula ketika mereka menaiki bas yang sama untuk menghadiri satu kem jati diri.

WhatsApp Image 2021-07-23 at 11.27.53

Pasangan ini dinikahkan pada Februari lalu.

"Kami sebenarnya dari sekolah lain-lain. Nak dijadikan cerita, rakan baik saya dan rakan baik suami rupa-rupanya saling mengenali. Dari situ kami kenal dan akhirnya kami berempat jadi rakan baik.

"Masa itu sekitar 2013 dan kami masing-masing tingkatan tiga. Tak ada bercinta pun sepanjang kenal... memang kawan baik.

"Pada 2016, suami ajak saya hadiri perkahwinan abangnya. Dia beritahu abangnya tengah nak cari pengapit dan dia 'offer' saya jadi pengapit perempuan. Saya pun okay saja.

"Masa majlis abang dia kami saja-saja bergambar atas pelamin. Tak sangka akhirnya berjodoh dengan rakan baik sendiri. Jadi saya saja 'throwback' gambar kami 'bersanding' lima tahun lalu tu," ujarnya yang kii berusia 23 tahun.

Saya nampak effort dia untuk kumpul duit dan berusaha keras.

ALIS

Meskipun lama mengenali satu sama lain, Alis berkata dia dan suami turut tidak terlepas berdepan ujian lebih-lebih lagi selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.

"Selalu kita dengar sahaja pasangan berdarah manis ni ujiannya hebat, tapi memang betul rupa-rupanya bila terkena dekat kami. Masa iu boleh dikatakan hampir terlerai juga ikatan pertunangan.

"Namun jodoh kami masih panjang. Kuncinya, komunikasi. Masa dilanda ujian tu, kami berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dan dengar penjelasan masing-masing," katanya yang kini menjalankan bisnes secara dalam talian (online).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Enam bulan mengikat tali pertunangan, Alis berkata mereka akhirnya selamat diijabkabulkan pada Februari lalu.

Tidak hanya ketika bertunang, pasangan ini sekali lagi diuji ketika masih bergelar pengantin baharu.

"Kami sempat habiskan masa bersama-sama kira-kira sebulan sahaja sebab suami dipanggil menjalani rekrut sebagai anggota polis di Pulau Langkawi. Kiranya kami bergelar pasangan jarak jauh (PJJ) ketika masih lagi pengantin baru.

"Siapa tak sedih tapi saya kuatkan semangat... lagipun suami ke sana untuk masa depan kami juga," ujarnya yang menetap di Slim River, Perak.

WhatsApp Image 2021-07-23 at 11.29.55

Alis dan suaminya pernah berniaga bersama-sama ketika bergelar rakan baik.

Mengambil keputusan melangkah ke alam perkahwinan pada usia yang muda, Alis berkata perkara berkenaan bukanlah penghalang selagi mana hubungan mereka direstui keluarga masing-masing.

"Kami dah lama kenal malah pernah buat bisnes jual pisang goreng 'cheese' sama-sama sebelum ini. Saya nampak effort dia untuk kumpul duit dan berusaha keras.

"Lagipun keluarga saya sayang sangat dekat suami sebab dia pandai ambil hati... menantu sulunglah katakan. Saya pula jadi menantu bongsu dalam keluarganya.

"Sepanjang ketiadaan suami, saya akan bergilir-gilir bermalam di rumah keluarga saya dan keluarga mentua yang terletak berdekatan," kata anak sulung daripada lima adik beradik ini.

Tambah Alis, dia terharu apabila mendapat komen positif netizen selepas videonya tular.

"Ada yang mendoakan rumah tangga kami. Tapi ada juga komen lucu... mereka menyesal sebab tak main kahwin-kahwin tapi main masak-masak dengan rakan baik.

"Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kami," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain