suria

Guna kaedah ‘musuh urus kewangan’! Nadir jawab persoalan ke mana perginya sumbangan RM20 juta

Nadir memberi penjelasan berhubung beberapa pertikaian membabitkan NGO Cinta Gaza Malaysia.

DIKEMASKINI

KETUA Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tampil memberi penjelasan mengenai duit sumbangan sebanyak RM20 juta yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini.

Perkara itu diperjelaskan dalam Sesi Townhall Cinta Gaza Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook Terkini dan Sensasi Palestin, pada Sabtu.

"Duit RM20 juta itu bukan disumbangkan pada setiap tahun. Bukan setiap tahun kita dapat RM20 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: "Mana RM20 juta yang dikutip, kat akaun siapa?" - Giliran Ebit Lew persoal tindakan Nadir Al-Nuri... akui ada yang akan disaman!

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan mudah nak masuk penjara terbesar dunia” - Rakan NGO percaya Ebit Lew selamat, kongsi pengalaman pernah 36 kali cuba masuk Gaza tapi tak lepas

"Bila disebut ada perang, dapat RM20 juta. Perang itu tidak berlaku setiap tahun. Jadi, macam mana boleh dapat RM20 juta itu setiap tahun?

"Duit RM20 juta bukan diuruskan oleh CGM sahaja, tetapi ia sebenarnya dikutip oleh 20 badan bukan kerajaan (NGO) anak-anak muda yang telah berpuluh-puluh tahun dalam kerja-kerja kebajikan... gabungan 20 NGO anak-anak muda itu di bawah MyAqsa Defenders (MAD)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pertikaian ke mana perginya duit mencecah RM20 juta memandangkan ia merupakan sumbangan orang ramai menerusi misi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Terdahulu, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menerusi sidang media pada Khamis mempersoalkan sumbangan RM20 juta itu.

Sehubungan itu, Nadir menyifatkan tuduhan mengenai sumbangan RM20 juta itu sebagai tuduhan yang salah.

"Tuduhan RM20 juta adalah tuduhan yang sangat-sangat salah. Saya tak salahkan sesiapa sebab ia adalah tuduhan yang berlandaskan kepada kejahilan tentang sesuatu tempat," katanya.

Menerusi pembentangannya secara dalam talian itu juga, CGM menggunakan 'kaedah musuh mengurus kewangan' iaitu ‘sumbang hari ini, guna sampai berpuluh tahun ke hadapan’.

Dari segi pecahan sumbangan yang diterima badan berkenaan, kata Nadir, 30 peratus akan diperuntukan kepada projek segera dan sederhana.

"Sebanyak 30 peratus lagi kita akan gunakan untuk pembangunan infrastruktur yang akan membantu projek-projek lain, dan 40 peratus kita akan bangunkan projek-projek untuk pusingan kewangan," katanya.

nadir 4

Mohd Faizal Suleiman.

Sementara itu, Penasihat Bebas Audit Dalaman CGM, Mohd Faizal Suleiman berkata, NGO itu mengeluarkan laporan pemeriksa kira-kira dari 2015 sehingga 2019 dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Ketika ini, kewangan pada 2020 di mana pihak pengurusan CGM telah bersetuju melantik auditor luaran untuk membuat pelaksanaan audit-audit secara sah, yang dilantik oleh auditor yang bertauliah.

"CGM mengambil pendekatan ke hadapan sebagai sukarela bahawa NGO CGM ini juga mampu untuk membuat atau melaksanakan atau melantik pihak auditor luaran untuk memastikan bahawa kewangan mereka diuruskan secara integriti dan telus," katanya.

Bila disebut ada perang, dapat RM20 juta. Perang itu tidak berlaku setiap tahun. Jadi, macam mana boleh dapat RM20 juta itu setiap tahun?

NADIR

Mohd Faizal turut memperjelaskan mengenai kos pengurusan yang diambil oleh pihak CGM.

"Mengikut laporan yang dihantar kepada ROS, menunjukkan bahawa 2015 hingga 2016, kos pengurusan yang diambil tidak sampai satu peratus atau 0.02 peratus.

"Ini kerana pada peringkat awal penubuhan CGM ini menunjukkan bahawa ahli jawatankuasa melaksanakan kerja-kerja mereka secara sukarela. Apa-apa sumbangan yang diterima, 99 peratus disalurkan kepada Gaza.

"Tapi apabila menerima dana yang semakin meningkat, pihak pengurusan CGM pula telah mengambil inisiatif untuk membentuk pasukan yang mahir dan profesional untuk menguruskan dana tersebut. Kos pengurusan tidak melebihi tiga peratus," katanya sambil menambah kos pengurusan pada 2018 dan 2019 masing-masing dua dan tiga peratus.

nadir 3

Pembentangan Nadir mengenai isu sumbangan RM20 juta.

Mengenai kos pengurusan, Nadir di akhir pembentangannya memberitahu, CGM memberi jaminan bahawa kos tersebut akan diturunkan kepada sifar peratus menjelang 2022.

"Kita janji kepada kalian dengan pengurusan yang sistematik dan bantuan akan datang. Alhamdulillah tiga bulan pertama MAD, kos pengurusan telah ditaja oleh satu pihak.

"Dan menjelang 2022, kita boleh janji kepada kalian bahawa MAD akan mengambil 0 peratus pengurusan. Jika kalian yakin dengan kami, teruskan menyumbang dengan kami. Kalau tidak, boleh cari NGO-NGO lain yang juga menyumbang kepada bumi Palestin.

"Kami tak kisah melalui siapapun, tak ada masalah. Yang penting manfaatnya sampai kepada orang-orang Palestin, semua untuk satu," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain