suria

“Doa saya dimakbulkan” - Sekeping kad buat bapa menitis air mata... esoknya teruja, segak macam nak pergi dating!

Foto kiri Jamaluddin menerima 'jemputan' daripada masjid, foto kanan Jamaluddin bersiap sedia untuk ke masjid.

SIAPA yang tak sedih kerana belum mendapat berpeluang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Begitu jugalah yang dirasakan seorang bapa sehinggalah dia menerima 'kad jemputan' untuk menunaikan solat Jumaat di masjid sekali gus menyaksikan air matanya mengalir.

Menerusi video yang menyentuh emosi, 'kad jemputan' itu sememangnya mengubat kerinduan lelaki untuk solat berjemaah di masjid.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat ke rumah Allah kerana PKP tapi hati sentiasa terpaut pada masjid, inilah antara 7 golongan dapat naungan Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi pemandu Grab hanya sebab nak 'kejar solat jemaah', lelaki terkejut hidup alami perubahan menakjubkan selepas berhenti kerja makan gaji!

Anak perempuannya, Farhah Jamaluddin berkata, kali terakhir bapanya berusia 61 tahun itu berpeluang menunaikan solat di masjid adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Wanita berusia 30-an itu memberitahu, ia bagaimanapun amat berbeza dengan rutin bapanya yang sering ke masjid setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Dulu hampir setiap waktu ayah ke masjid. Sekarang ni ayah akan bersiap-siap macam nak pergi masjid walaupun dah lama ayah tak dapat ke masjid, sebab masih menunggu giliran.

"Saya paling sayu tengok ayah menunggang motosikal pusing-pusing sekitar rumah. Siap berkopiah, berbaju Melayu dan berkain pelikat seperti hendak ke masjid sedangkan gilirannya masih belum lagi," katanya kepada mStar.

Farhah berkata, 'kad jemputan' daripada pihak masjid itu diberikan kepada bapanya pada Khamis yang membenarkannya untuk hadir ke masjid bagi solat Jumaat.

"Masa tu ibu buat kejutan bagi kad jemputan kat ayah... ayah menangis. Ibu pun menangis sama. Walaupun ayah terdiam, tapi kami sekeluarga tahu ayah rasa bersyukur sangat.

"Esoknya ayah buat persediaan baju untuk dipakai ke masjid, dari pagi. Biasanya ayah pakai mask warna biru, tapi ayah tukar mask hijau sebab nak sepadan dengan warna baju Melayu.

jemputan ke masjid 3

Bapa (kiri) dan ibu Farhah.

"Memang nampak ayah sangat excited. Smart dia tu macam orang nak pergi dating!" ujarnya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu.

Sementara itu, bapa Farhah, Jamaluddin Abdul Aziz pula berkongsi perasaan terujanya saat menerima 'jemputan' daripada masjid yang membenarkannya untuk solat Jumaat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya bersedia dari awal pagi, saya potong kuku dan siap-siapkan baju yang hendak dipakai ke masjid. Bukan dating saja kena smart, tapi nak ke masjid untuk solat pun kena smart," ujarnya yang menetap bersama keluarga di Kampung Sungai Kelambu di Banting, Selangor.

jemputan ke masjid 5

Farhah (kanan) bersama ibu (kiri) dan bapanya.

Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai Wak Aji atau Wak Jaez mengaku dia sebelum ini sedih kerana menahan sabar bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Hati datuk kepada lima cucu itu juga mudah tersentuh setiap kali melintasi kawasan masjid ketika dalam perjalanan dari rumahnya ke kilang perusahaan kerepek di Banting.

Saya bersedia dari awal pagi, saya potong kuku dan siap-siapkan baju yang hendak dipakai ke masjid. Bukan dating saja kena smart, tapi nak ke masjid untuk solat pun kena smart.

JAMALUDDIN

"Perjalanan dari rumah untuk ke kilang memang lalu hadapan masjid. Saya pandang masjid rasa sebak, dalam hati tertanya-tanya bilakah saya berpeluang untuk solat di masjid.

"Setiap hari saya tidak berhenti berdoa agar urusan saya sentiasa dipermudahkan. Alhamdulillah, doa dimakbulkan dengan jemputan untuk solat Jumaat di masjid," ujarnya.

jemputan ke masjid 4

Farhah (belakang, kanan) bersama keluarga.

Jamaluddin yang merupakan pengusaha kerepek berkata, sebagai rakyat, dia akur dengan SOP dan pada masa sama mengakui mengerjakan ibadah juga penting.

"Solat berjemaah di masjid lebih besar pahalanya. Saya berharap kerajaan dapat memberi lebih kelonggaran kepada mereka yang hendak solat berjemaah di masjid," katanya.

Dilaporkan, solat Jumaat di Selangor ketika ini dibolehkan seramai 40 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid di 39 masjid yang sudah ditetapkan sebelum ini. Kad akan diedarkan kepada 40 orang untuk hadir pada solat Jumaat itu.

Solat berjemaah dibenarkan bagi solat Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja di 39 masjid yang sama, dengan jumlah kehadiran 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain