suria

Bilal jadi korban Covid-19! Dalam banyak-banyak mesej yang masuk ke telefon arwah... satu ‘video berharga’ kiriman AJK surau ubati kesedihan anak

Foto kiri tangkap layar bapa Nani melaungkan takbir raya, foto kanan arwah bapa Nani yang meninggal dunia akibat Covid-19.

REDA dengan pemergian bapa akibat Covid-19, seorang anak bagaimanapun sebak apabila menerima sesuatu yang tidak dijangka.

Video arwah bapanya melaungkan takbir raya di sebuah surau pada Hari Raya Aidilfitri lalu diterima hanya selepas bapanya meninggal dunia.

Nur Ainani Mohd Nor berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun, 21 Julai lalu, sehari selepas Hari Raya Aidiladha.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... bapa 'pergi' ketika anak nak masuk dewan bedah operate mata, selesai pembedahan anaknya 'tolak' nasihat doktor... pilih menangis, tahan kesakitan!

ARTIKEL BERKAITAN: Cucu seniwati Sarimah Ahmad kongsi saat terima mesej, selfie terakhir di katil ICU selepas Subuh... kenangan beberapa jam sebelum bapa 'pergi' akibat Covid-19

Gadis berusia 23 tahun itu memberitahu, dia sekeluarga sempat bercakap dengan bapanya sebelum ‘ditidurkan’ dan dijemput Ilahi empat hari kemudian.

"Sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, saya diminta untuk ke hospital bagi mendapatkan barang-barang peribadi ayah seperti telefon, dompet dan pakaian untuk disimpan.

"Ayah meninggal dunia pagi sehari selepas Hari Raya Aidiladha. Banyak mesej masuk menerusi WhatsApp di telefon ayah, mengucapkan takziah," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Nani, katanya, arwah bapanya merupakan bilal di sebuah surau di Klang, Selangor, yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Tengah hari selepas ayah meninggal dunia, saya terima mesej beserta gambar-gambar dan video berkaitan ayah daripada grup WhatsApp AJK (ahli jawatankuasa) surau.

"Mereka kongsi satu video ayah melaungkan takbir raya Aidilfitri yang sempat dirakamkan. Saya masa tu sebak sebab pertama kali melihat video tu," ujarnya yang berasal dari Klang.

video takbir ayah 5

Petugas memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) menguruskan jenazah bapa Nani.

Menurut anak keempat dari lima beradik ini, perasaan sedih tetap dirasa meskipun reda dengan pemergian bapanya selepas kira-kira dua minggu dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.

Namun, video yang memaparkan bapanya yang dikenali sebagai Haji Mad Noor dalam kalangan AJK surau mengubat kesedihannya.

Saya sedih dan terkilan sebab tak dapat cium ayah buat kali terakhir. Tapi bila tengok video ayah takbir raya tu entah kenapa seperti terubat kesedihan dan kerinduan.

NANI

"Saya sedih dan terkilan sebab tak dapat cium ayah buat kali terakhir. Tapi bila tengok video ayah takbir raya tu entah kenapa seperti terubat kesedihan dan kerinduan," katanya.

Nani yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak berkata, arwah bapanya sangat penyayang dan peramah membuatkan anak-anak tidak kekok untuk bergaul rapat semasa hayatnya.

video takbir ayah 4

Kenangan... Allahyarham Mohd Nor (duduk, kanan) bersama keluarga.

"Ayah bukan seorang yang suka meminta-minta daripada anak-anak. Tapi ayah sempat berpesan pada anak-anak supaya sentiasa utamakan solat.

"Katanya, bila seseorang itu meninggal dunia, antara perkara yang ditanya mengenai amalan kita adalah solat," ujarnya yang juga mengusahakan bisnes kek secara dalam talian.

Selain itu katanya, arwah bapanya semasa hayatnya juga sering mengutamakan kebajikan orang lain berbanding kepentingan sendiri.

"Ayah suka jamu orang makan, dia sangat meraikan tetamu. Bukan sahaja kawan-kawan, begitu juga layanan ayah pada anak-anak.

"Ayah akan tanya kami apa yang kami nak makan, dia akan cuba tunaikan permintaan kami. Kami bersyukur dengan kebaikan yang ayah buat pada orang-orang sekeliling," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain