suria

Rezeki peminat arwah... dah melukis banyak gambar artis tapi potret Siti Sarah dapat perhatian - “Saya lukis sambil dengar lagu-lagunya”

Lukisan potret Allahyarhamah Siti Sarah yang dihasilkan Mulia mendapat pujian ramai kerana kelihatan seolah-olah 'hidup'.

SELURUH Malaysia bersedih dan terkesan dengan berita pemergian penyanyi, Siti Sarah Raisudin yang meninggal dunia pada Isnin lalu selepas bertarung nyawa kerana dijangkiti Covid-19.

Gadis ini turut tidak terkecuali berduka atas pemergian Siti Sarah yang juga isteri kepada pelawak, Shuib Sepahtu.

Enggan berterusan menangisi pemergian Allahyarhamah, gadis ini memilih untuk mengabadikan wajah penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Kesetiaan' itu dalam satu potret yang dihasilkannya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu terus bersedih, remaja ini capai pen, habiskan masa 2 jam tulis beribu kali ‘Abam’ sehingga terbentuk potret arwah

ARTIKEL BERKAITAN: “I love it” - Dua minggu ‘tenung’ Ben Amir sambil tongkat dagu, akhirnya aktor itu DM nak nombor telefon!

Video ketika dia melakar wajah Allahyarhamah menjadi tular di media sosial kerana begitu menyentuh hati netizen, apatah lagi diiringi dengan lagu 'Kelmarin' dendangan kumpulan Seventeen.

Sehingga kini ia meraih lebih 426,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok dan dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa sedih selain mengagumi bakat seni gadis berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Syaidatulmulia Mabul Maddin berkata, Siti Sarah sememangnya merupakan salah seorang artis kegemarannya lantaran dia amat meminati lagu-lagu arwah.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Mulia, sama seperti orang lain, dia sendiri berasa terkejut dengan berita pemergian ibu kepada empat cahaya mata itu.

SHUIB SARAH

Potret Allahyarhamah Siti Sarah dan Shuib meraih jumlah tontonan yang tinggi di TikTok.

"Berita itu sangat-sangat meninggalkan kesan kepada saya... sama seperti yang lain, saya sendiri sebak dan sedih apabila membaca atau menonton berita mengenai arwah.

"Jadi saya lukis potret arwah untuk dijadikan sebagai kenangan. Bagi saya, ia adalah cara saya melakar kesedihan dan diterjemah dalam bentuk lukisan.

"Namun saya sama sekali tak menyangka ia menjadi tular. Saya terharu apabila ramai komen meluahkan rasa sedih dan berkata potret tersebut seolah-olah 'hidup' dan 'real'.

"Sebelum ini saya ada lukis artis dan public figure yang lain, namun potret ini yang paling mendapat perhatian ramai dan semestinya ia mempunyai keistimewaan sendiri buat diri saya," ujar wanita berusia 21 tahun dari Kota Belud, Sabah ini.

MULIA BARU 2

Potret salah seorang selebriti yang dihasilkan Mulia, iaitu Da'i Syed.

Bercerita mengenai lukisan tersebut, Mulia berkata dia hanya menggunakan pensel biasa dan mengambil masa sekitar lima jam untuk disiapkan.

"Saya melukis potret arwah sambil mendengar lagu nyanyiannya... memang terasa sangat sebak.

"Tak sangka, bila saya kongsi di TikTok, saya dapat banyak komen dan juga DM. Ramai daripada netizen minta saya lukis potret Shuib pula. Dan tak sangka, potret Shuib turut meraih jumlah tontonan tinggi di TikTok.

Bagi saya, ia adalah cara saya melakar kesedihan dan diterjemah dalam bentuk lukisan.

SYAIDATULMULIA MABUL MADDIN

"Sebenarnya ada juga yang offer untuk membeli potret-potret itu, namun saya tak berhasrat untuk 'melepaskannya'. Saya nak simpan kerana ia adalah tanda kenangan tentang salah satu peristiwa yang tak dapat dilupakan oleh kita semua," ujarnya yang merupakan lulusan dalam bidang animasi dari sebuah kolej di Kota Kinabalu.

Mulia juga berkata selepas video tersebut tular, dia menerima terlalu banyak komen daripada orang ramai yang mahu memintanya melukis potret mereka.

"Ada yang nak lukis potret sendiri, potret keluarga dan potret insan kesayangan yang sudah meninggal dunia. Saya benar-benar terharu dengan sambutan ramai. Tak sangka secara tak langsung ia membuka rezeki buat saya selepas bakat saya menjadi perhatian.

MULIA BARU 1

Mulia mendapat sokongan pada daripada daripada bapanya untuk terus berkecimpung dalam bidang seni.

"Saya sebelum ini pernah juga ambil tempahan melukis potret sambil-sambil kerja dalam bidang lain ketika itu. Namun selepas mendapat sambutan baru-baru ini, saya fikir nak fokus untuk mengambil tempahan.

"Salah satu sebabnya juga kerana bapa saya. Dia menasihati saya supaya jangan sia-siakan bakat yang ada," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain