suria

“Tak perlu bayar, Shuib dan Sarah dah bayarkan” - Naik kereta mewah singgah gerai, peniaga nasi lemak kongsi cara ‘pasangan sempoi’ bersedekah

Shuib pernah singgah di gerai nasi lemak milik Saharudin di Puchong Prima malah turut membayar untuk pelanggan lain.

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Sejak pemergian penyanyi Siti Sarah Raisuddin kerana jangkitan Covid-19 pada Isnin lalu, kebaikan dan sedekah yang pernah dilakukannya sebelum ini tersingkap satu demi satu.

Selepas ramai rakan artis berkongsi amal jariah Siti Sarah, terbaharu seorang pelayar Twitter mendedahkan bahawa arwah dan suaminya pernah memberi sejumlah wang kepada bapanya dan berniat agar nasi lemak yang dijual bapanya itu disedekahkan kepada pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah sedekah senyap-senyap, bantu bekas wartawan ‘sesak’ hilang kerja - “Dia masukkan ribuan ringgit... minta pengurus rahsiakan”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Sehari sebelum dia ke hospital, kami berpegangan tangan” - Raissuddin sifatkan Siti Sarah anak manja, tak pernah melawan

"Shuib dan Siti Sarah selalu datang gerai ayah saya untuk sedekah dekat orang. Dua tiga hari kebelakangan ini pun ada orang wakil dari Shuib sedekah my parents RM50 setiap hari. Diaorang baik sangat. Diorang promote gerai ayah saya tanpa ayah saya suruh," demikian ciapan pelayar berkenaan.

Menurut Nur Syafia Saharudin, dia yang turut terkesan dengan pemergian isteri kepada pelawak terkenal, Shuib Sepahtu itu hanya sekadar mahu berkongsi kebaikan yang pernah dilakukan pasangan tersebut untuk dijadikan teladan bersama.

"Ayah saya berniaga nasi lemak berlauk di Puchong Prima dan Puchong Permai sejak awal tahun ini. Mereka berniaga untuk sarapan pagi dan juga waktu petang.

"Ayah pernah cerita yang Shuib dan arwah Siti Sarah pernah datang gerai nasi lemak dan siap 'payung' untuk pelanggan yang lain. Bukan itu sahaja, arwah Siti Sarah siap promote gerai nasi lemak ayah di Instagram secara sukarela... ayah tak minta pun.

nasi lemak baru 3

Saharudin dan isteri, Zuraida Mohd Karim berniaga nasi lemak berlauk di Puchong Prima dan Puchong Permai.

"Bila arwah dah 'pergi', saya terpanggil untuk berkongsi kisah kebaikannya memandangkan ada pengalaman manis daripada arwah untuk keluarga kami. Pada Isnin lalu, memang saya terkesan apabila mendengar berita pemergiannya yang juga salah seorang penyanyi yang saya minati," ujar gadis berusia 18 tahun ini kepada mStar.

Sementara itu bapanya, Saharudin Ludin, 50, berkata, Shuib dan arwah Siti Sarah sebelum ini juga merupakan antara pelanggan yang kerap membeli jualannya di bazar Ramadan.

tweet

Ciapan Nur Syafia mengundang perhatian warganet.

"Pakcik dan isteri sebenarnya dah meniaga hampir 20 tahun... cuma baru tahun ini kami berniaga nasi lemak berlauk di Petronas Puchong Prima dan gerai yang terletak bersebelahan surau di Puchong Permai.

"Sepanjang berniaga di sini, kalau tak silap dua kali Shuib dan arwah datang. Terkejut juga tengok siapa yang singgah di gerai kami menaiki kereta mewah. Rupa-rupanya Shuib dan arwah.

"Mereka turun dan bungkus nasi lemak lauk sambal sotong. Paling best, mereka siap 'payung' lagi untuk pelanggan lain. Selepas itu, ada beberapa kali wakil mereka datang ke gerai dan sampaikan wang untuk tempoh seminggu sebagai sedekah.

nasi lemak baru 1

Gerai nasi lemak Saharudin menyediakan aneka sambal seperti sambal sotong, kerang paru dan daging dendeng.

"Tak perlu saya beritahu jumlahnya. Jadi setiap kali ada pelanggan datang, bila nak hulur duit, saya beritahu tak perlu bayar sebab Shuib dan Sarah dah bayarkan," ceritanya yang menetap di Puchong Perdana.

Malah tambah Saharudin, beberapa hari sebelum Siti Sarah meninggal dunia, wakilnya masih menghantar sedekah dan memohon agar mendoakan kesihatan arwah.

Mereka turun dan bungkus nasi lemak lauk sambal sotong. Paling best, mereka siap 'payung' lagi untuk pelanggan lain.

SAHARUDIN LUDIN

"Sebagai menghargai jasa dan kebaikan arwah, kita panjangkan permintaan dan memaklumkan kepada jemaah surau bersebelahan gerai kami untuk melakukan solat hajat untuknya.

"Namun apakan daya, orang baik Allah pasti sayang. Kita bersedih, Shuib sudah tentunya lebih sedih. Nak tolong dari segi kewangan, sudah tentu mereka takkan terima... jadi apa yang boleh adalah setiap kali solat, pakcik panjatkan doa buat arwah," ujar bapa kepada empat cahaya mata ini.

Menurut Saharudin, walaupun tidak mengenali Shuib dan arwah isterinya dengan begitu rapat, namun dia mengharapkan agar pelawak itu tabah dan kuat semangat dengan ketentuan Ilahi.

nasi lemak baru 2

Pasangan ini sudah hampir 20 tahun meniaga makanan.

"Saya kenal Siti Sarah dari dia muda hinggalah sekarang... kagum dengan penghijrahannya selepas berkahwin dengan Shuib. Malah pasangan ini antara pasangan yang disukai ramai kerana sempoi, usahawan berjaya, tak lalai dengan kemewahan dan tak lokek bersedekah.

"Ini apa yang kita nampak... kita tak tahu amalan lain mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu. Sudah pastinya pahala bersedekah yang menjadi amalan akan sentiasa mengalir. Bagi saya, pengakhiran arwah sangat cantik disusun Allah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain