suria

Isteri izin suami terbang dulu ke Sydney, akhirnya terpisah selama 2 tahun... anak bongsu tak kenal bapa ketika pulang buat kejutan

Akhirnya Najmi dapat bertemu dengan isteri dan anak-anaknya setelah dua tahun terpisah disebabkan pandemik Covid-19.

PENANTIAN itu memang satu penyiksaan, namun itulah yang dilalui oleh seorang wanita yang tidak jemu menanti kepulangan suaminya setelah dua tahun berjauhan.

Apa yang lebih menyedihkan, anak bongsunya langsung tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya sejak dilahirkan.

Bagaimanapun penantian dua tahun berakhir apabila wanita berkenaan memuat naik video detik suaminya pulang membuat kejutan untuk anak-anak tersayang yang sudah lama terpisah.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki peminat arwah... dah melukis banyak gambar artis tapi potret Siti Sarah dapat perhatian - “Saya lukis sambil dengar lagu-lagunya”

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah gagal misi kurus badan, tapi berjaya lepasi cabaran ‘mulut manusia’... pasangan ini akhirnya ‘slim’ hanya dengan puasa 6

Rakaman tersebut setakat ini meraih hampir 700,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nur Shuhadah Sabri, 27, berkata video itu dirakam ketika dia menyambut kepulangan suaminya yang bekerja di sebuah ladang penternakan kambing yang terletak di Tamworth, Sydney, Australia.

Jelasnya, dia dan suami Muhammad Najmi Mohd Samsuddin, 29, sudah lama merancang untuk memberi kejutan kepada anak-anak kerana mahu melihat bagaimana reaksi mereka.

"Sebenarnya memang dah lama kami rancang untuk dijadikan kenangan pada masa akan datang. Anak-anak dah hampir dua tahun tak bertemu ayah, jadi memang nak sangat tengok reaksi mereka bagaimana.

"Mereka memang tercengang habislah, sebab sebelum tu ada buat video call dan saya cakap ayahnya masih di Australia. Mereka pun tahu Australia tu jauh sangat-sangat, sebab tu speechless dan kaku sekejap bila nampak ayah depan mata.

"Suami memang excited sangat nak jumpa anak-anak, lebih-lebih lagi anak bongsu tu memang dia tak pernah jumpa. Saya sendiri rasa sebak, sedih dan gembira semua bercampur baur perasaan masa tu.

"Memang tak terungkap dengan kata-kata, rasa gembira sangat bila nampak suami dah ada depan mata. Sekarang yang bongsu pun dah umur setahun empat bulan dan itu kali pertama kali dia jumpa ayahnya sebab selama ni video call je," katanya yang menyambut kepulangan suami pada Julai lalu.

IMG_6151

Pasangan ini sudah lama merancang untuk membuat kejutan kepada anak-anak mereka.

Mesra disapa Shuhadah, dia berkata, suaminya mula bekerja di Australia sewaktu kandungan anak bongsunya itu berusia empat minggu.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik ini, anak-anaknya terlalu merindukan Najmi sehingga dia tidak sanggup melihat mereka menangis.

"Najmi mula bekerja di Australia Ogos 2019 dan masa ni Covid-19 belum ada lagi, sebab tu saya izinkan dia pergi dulu. Tiga bulan pertama tu memang setiap hari anak-anak tanya, saya cuma suruh mereka bersabar sebab ayah pergi kerja.

"Sekali sekala tu ada juga mereka menangis bila dah terlalu rindukan ayah, saya sendiri pun tak kuat bila tengok anak-anak menangis tanggung rindu.

"Masa dia fly ke sana tu saya tengah mengandungkan anak bongsu, ikutkan rancangan memang nak ikut sekali. Tapi saya izinkan dia pergi dulu sebab nak berpantang dengan ibu di kampung.

"Sebelum bersalin saya sempat drive sendiri balik ke Kelantan pada 16 Mac 2020. Dua hari selepas itu saya dimasukkan ke wad di Hospital Kuala krai untuk emergency caeser kerana ketika itu bayi dalam keadaan songsang.

Sebulan saya bersengkang mata jaga anak-anak sendirian kerana masa ni saya masih di rumah kami sendiri Raub.

SITI NUR SHUHADAH SABRI

"Saya bersalin betul-betul waktu PKP pertama pada 18 Mac 2020, masa tu Allah je yang tahu perasaan saya. Saya ditemani adik beradik dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya yang merupakan pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti Raub, Pahang.

Sepanjang berpisah dengan suami, anak jati Kelantan ini tidak dapat melupakan kejadian dua anaknya Nursyaqira Auni, 6, dan Nursyaqila Afina, 5, demam serentak ketika dia sedang sarat mengandung.

Dia mengakui bahawa menjaga dua anak dalam keadaan sebegitu bukan suatu perkara mudah, tetapi perlu sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah.

"Paling saya tak boleh lupa masa anak sulung dan kedua demam serentak. Masa tu saya tengah sarat mengandungkan anak bongsu.

"Sebulan saya bersengkang mata jaga anak-anak sendirian kerana masa ni saya masih di rumah kami sendiri Raub. Anak-anak demam on-off dan pada waktu itu tengah kecoh dengan demam influenza.

IMG_6154

Shuhadah (kiri) mengakui menguruskan anak-anak tanpa suami di sisi bukan perkara yang mudah.

"Saya doakan pasangan yang sedang berjauhan itu supaya, minta Allah kuatkan hati dan semangat mereka. Memang saya akui benda ni bukan mudah, kita kena sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah.

"Saya pun tak sangka akan berjauhan sampai dua tahun macam ni sebab perancangan kami lain, namun Allah sebaik-baik perancang," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain