suria

Ada gaya, terkejut mak ayah! Anak 2 tahun bersahaja main skateboard, muka cool habis - “Dalam keluarga tiada seorang pun tahu main”

Reaksi dan wajah Aydan yang bersahaja mencuri perhatian penonton di TikTok.

KECIL-KECIL cili api!

Mungkin itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan kisah seorang kanak-kanak berusia hampir dua tahun yang menunjukkan reaksi bersahaja apabila pertama kali bermain papan selaju (skateboard).

Video yang dimuat naik oleh ibunya itu mendapat perhatian ramai yang kagum melihat gelagat si kecil berdiri di atas papan selaju dengan penuh keyakinan.

Perkongsian tersebut setakat ini berjaya meraih hampir 60,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah sama macam Shuib, rider masih harap keajaiban selepas isteri 9 hari ditidurkan - “Belum ada kekuatan baca kisah arwah Siti Sarah”

ARTIKEL BERKAITAN: Berkenan dengan pelanggan! Selepas setahun hantar parcel untuk gadis idaman, rider beranikan diri cuba nasib - “Setiap hari datang walau saya tak beli barang”

Berkongsi cerita dengan mStar, Masruro Mahayudi, 30, mendedahkan suaminya, Muhammad Aidil Zainuddin yang sebaya dengan umurnya telah membuat pembelian papan selaju itu pada Julai lalu.

Ia bertujuan mengisi masa lapang anak lelakinya, Muhammad Aydan Malik Muhammad Aidil, yang berusia dua tahun sepanjang tempoh mereka duduk di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebenarnya suami ada beritahu yang dia order skateboard pada hujung Julai, katanya nak belikan untuk Aydan. Tak silap saya skateboard tu sampai pada 4 Ogos, dapat je terus main.

"Ye la kami pun dah hampir empat bulan duduk di rumah, kesian anak-anak dah bosan dengan aktiviti yang sama setiap hari. Kami juga buat aktiviti main bola sepak dengan Aydan tapi dia macam cepat bosan.

IMG_6038

Aidil membeli papan selaju untuk anak lelakinya yang sudah mula bosan kerana PKP.

"Itu yang bapanya belikan skateboard, walaupun dalam keluarga ni tak ada seorang pun yang tahu main," katanya yang bekerja sebagai penolong pengurus cawangan di sebuah syarikat telekomunikasi di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Mesra disapa Mas, dia memberitahu Aydan nampaknya lebih berani berbanding kakaknya, Ruby Azzahra Muhammad Aidil, empat tahun, yang agak takut menaiki papan selaju tersebut.

Namun ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui sedikit risau melihat anaknya bermain papan selaju itu kerana Aydan masih kecil.

"Mula-mula mestilah takut tapi dia pandai control muka. Bila naik je skateboard tu, nampaklah dia betul-betul gembira dan teruja tak macam kakaknya yang penakut.

"Bila nampak dia gembira dan asyik tunjuk nak main skateboard, kami anggap ia sebagai satu perkara yang positif dan berikan sokongan sepenuhnya kepada Aydan.

"Nak kata berani tu tak juga sebab dia kami anggap masih bayi lagi, tapi yang saya perasan dia selalu tunjuk muka dia cool dan seperti tiada perasaan je bila dirakam.

InsyaAllah ada masa depan kalau jadi pemain skateboard, cuma platfom dan pendedahan rakyat Malaysia kurang sikit untuk sukan ini.

MASRURO MAHAYUDI

"Kami ajar dia main pun cara simple sahaja, tolak perlahan-lahan dan dipantau sepenuhnya kerana alat perlindungan tak sampai lagi. Kadang-kadang tu ada jugalah nampak dia macam ragu-ragu," katanya yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur.

Perkongsian itu juga tidak terlepas daripada menerima komen yang menyatakan bahawa Ayden boleh menjadi wakil acara sukan papan selaju untuk mewakili Malaysia ke Olimpik.

Menurut Mas, dia sekeluarga akan memberi sokongan sekiranya anak lelaki mereka Aydan minat dan menunjukkan kesungguhan dalam bidang tersebut.

"Buat masa ni kami OK kalau Aydan nak meneruskan minatnya dalam bidang skateboard ni sampai tahap Olimpik, why not kan? Asalkan dia gembira dan bersemangat, kami akan berikan sokongan kepadanya.

"Ini pun kira bertuah juga Aydan berikan respons positif dan kami sebagai ibu bapa pun terkejut. Cuma kalau anak tu tak berminat, janganlah paksa mereka.

IMG_6039

Pasangan suami isteri ini terkejut melihat reaksi Ayden yang teruja bermain papan selaju.

"InsyaAllah ada masa depan kalau jadi pemain skateboard, cuma platfom dan pendedahan rakyat Malaysia kurang sikit untuk sukan ini. Sejujurnya saya pun tak berapa tahu sangat pasal skaeboarding ni.

"Tetapi pada masa akan datang nanti kita belum tahu. Kita pun ramai je pemain skateboard yang hebat dan ada komuniti mereka sendiri," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain