suria

Sepotong kek, besar nilainya! Makcik sedang kesepian dikuarantin sebak frontliners buat kejutan hari jadi - “Dia minta gambar untuk kenangan”

Hilmi bersama doktor dan beberapa petugas lain membuat kejutan hari jadi kepada seorang pesakit yang sedang menjalani kuarantin.

KETIKA kes Covid-91 mencatatkan peningkatan ketara saban hari sejak kebelakangan ini, sudah tentu frontliners adalah golongan yang paling tidak menang tangan.

Bertugas sehingga berbelas jam sehari dengan mengenakan kelengkapan pelindung diri (PPE), tidak dapat dibayangkan betapa penatnya mereka mengendalikan jumlah pesakit yang ramai.

Bagaimanapun dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab hakiki, mereka masih lagi mampu menggembirakan pesakit sebagaimana video yang dikongsikan di aplikasi TikTok baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai PPE, berjoget hiburkan pesakit Covid-19 cilik... petugas sanitasi insaf kerja di pusat kuarantin - “Saya dulu bidang hiburan, tengok orang seronok-seronok”

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan sambut 15 Oktober seorang diri... gadis kena kuarantin tak sangka frontliners siap nyanyi 'Selamat Hari Jadi'! - “Dah lah penat tapi masih sempat gembirakan orang lain”

Menerusi video berdurasi saat 1.04 saat itu, kelihatan beberapa frontliners yang lengkap mengenakan sut PPE menghantar sepotong kek kepada salah seorang penghuni di pusat kuarantin sempena hari jadinya.

Video tersebut sehingga kini meraih lebih dari 318,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya memuji petugas berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Amirul Hilmi Aminuddin yang merupakan salah seorang frontliners dalam video tersebut berkata, kejutan hari jadi itu dilakukan selepas petugas di bahagian pendaftaran merekodkan butir-butir peribadi pesakit berkenaan ketika dia dimasukkan ke Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 Klinik Sulaiman di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, minggu lalu.

"Ketika itu petugas bahagian pendaftaran tengok, tarikh lahir Makcik Ruslina Ismail akan tiba beberapa hari saja lagi. Pada hari jadinya yang jatuh pada 8 Ogos lalu, doktor dan team petugas lain bincang dan sepakat nak belikan sepotong kek untuk raikan makcik ini.

besday 2

Hilmi ditugaskan bersama team ambulans yang sentiasa bersedia mengambil pesakit Covid-19 untuk ditempatkan di pusat kuarantin.

"Kebetulan ketika itu, Makcik Ruslina seorang sahaja dimasukkan ke pusat kuarantin manakala ahli keluarganya yang lain dikuarantin di rumah. Sudah pasti sayu apabila bersendirian pada hari ulang tahun kelahiran sendiri.

"Saya bersama doktor, dan dua lagi petugas lain kemudian bawakan kek itu ke bilik Makcik Ruslina untuk buat surprise. Memang dia terkejut... dia sebak bercampur gembira sebab tak sangka dapat kek ketika hari jadinya. Makcik Ruslina berusia dalam lingkungan 50-an.

"Selepas itu, dia minta kami hantarkan gambar untuk disimpan sebagai kenang-kenangan," ujar pemuda berusia 22 tahun ini.

besday 4

Hilmi bertugas di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 Klinik Sulaiman di Hotel Seri Malaysia, Temerloh sejak lebih dua minggu lalu.

Tambah pemuda yang senang disapa sebagai Hilmi ini, mereka turut merancang untuk melakukan kejutan hari lahir buat pesakit-pesakit lain yang dikuarantin di pusat tersebut selepas ini memandangkan butir-butir peribadi mereka sudah pun direkodkan.

"Pesakit di sini ada yang berseorangan, ada yang masuk dengan famili. Kita faham, dalam keadaan sedang diuji seperti ini, pastinya sedikit sebanyak semangat mereka turun. Jadi kami sebagai petugas kalau boleh nak gembirakan dan naikkan semangat mereka," ujarnya yang merupakan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Pahang dan sudah dua minggu bertugas di pusat kuarantin tersebut.

Kami perlu bersedia dengan segala macam kemungkinan atau situasi tak dijangka kerana apa yang penting bagi kami adalah nyawa pesakit.

MUHAMMAD AMIRUL HILMI AMINUDDIN

Berkongsi serba sedikit pengalamannya sepanjang bertugas di pusat kuarantin, Hilmi berkata dia tidak dapat melupakan insiden di mana para petugas menerima panggilan kecemasan sewaktu awal pagi, beberapa hari lalu.

"Kami sememangnya diletakkan dalam mod 'standby'. Namun beberapa hari lalu, tiba-tiba petugas dikejutkan dengan panggilan kecemasan pukul 2 pagi memaklumkan salah seorang pesakit yang merupakan OKU Sindrom Down berada dalam situasi kecemasan.

besday 1

Sebahagian team frontliners yang bertugas di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 Klinik Sulaiman di Hotel Seri Malaysia, Temerloh

"Macam lipas kudung semua bergerak dan sarung PPE sambil berlari untuk attend kes tersebut. Alhamdulillah selepas semua pemeriksaan dilakukan, tak ada perkara serius.

"Memang berdebar-debar juga. Jadi kami perlu bersedia dengan segala macam kemungkinan atau situasi tak dijangka kerana apa yang penting bagi kami adalah nyawa pesakit," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsian videonya tular, Hilmi meluahkan rasa syukur dan terharu kerana menerima komen positif daripada netizen.

besday 5

Pernah terlibat dalam misi mencari mangsa lemas sebelum ini.

"Alhamdulillah, ramai yang doakan frontliners dan pesakit. Sebenarnya sebelum post, kami minta dulu kebenaran dari Makcik Ruslina. Tanpa disangka, selepas posting itu viral, Makcik Ruslina kata ramai saudara mara dan kenalan hubunginya untuk bertanya khabar.

"Meskipun penat, tak cukup rehat, tak cukup tidur namun tiada apa yang kami harapkan... bagi kami, kegembiraan dan kepuasan sebenar adalah melihat pesakit gembira dan sembuh," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain