suria

Ada ijazah tapi tak dapat kerja, wanita ini nekad jadi usahawan... tak sampai 3 tahun terharu mampu bantu orang lain - “Saya bermula di rumah saja”

Fatimah gembira dapat memberi khidmat bakti kepada masyarakat dalam tempoh pandemik ini.

USAHA murni yang dilakukan wanita ini bersama keluarganya wajar mendapat pujian.

Fatimah Faizel Amri, 25, bersama ibu bapa dan adik beradiknya menghasilkan lebih 100 bungkus nasi lemak sebelum ia diedarkan secara percuma di Seri Kembangan, Serdang, Selangor pada Ahad.

Mesra disapa Fatimah, dia terharu apabila air tangan keluarganya itu habis diedarkan dalam masa singkat, sekali gus meniup semangat mereka untuk meneruskan program berkenaan pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak nak sambut hari jadi ibu, tapi akur ‘birthday girl’ tak mahu diraikan... pilih nak masak, jamu rider makan

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan viral di mStar, peniaga kambing bakar tak menang tangan terima tempahan... ramai ikut jejak bersedekah - “Rezeki Allah balas balik”

"Ia sebenarnya idea ayah saya. Kebetulan kami berkelapangan pada hujung minggu. Ayah bagi cadangan untuk kami sumbang tenaga dan memasak.

"Kami dah letak sepanduk hebahan mengenai program itu pada Jumaat. Ketika sumbangan dibuat pada Ahad, sebelum 7.30 pagi dah ada orang datang menunggu.

"Menjelang 9 pagi, 130 bungkus nasi lemak habis diedarkan oleh dua adik saya. Kami sasarkan untuk beri kepada orang susah dan sesiapa yang ada di kawasan itu," ujarnya kepada mStar.

Menurut Fatimah, dia gembira dapat memberi khidmat bakti kepada masyarakat dalam tempoh pandemik ini.

fatimah1

Adik Fatimah sedang mengedarkan nasi lemak percuma di sekitar Seri Kembangan.

Malah katanya, dia percaya pada konsep rezeki dan menyifatkan program persendirian keluarganya itu sebagai satu pengalaman yang cukup berharga.

"Rasa seronok lain macam, sebab kita sendiri yang masak. Rasa bersemangat untuk teruskan lagi. InsyaAllah kami akan teruskan pada bulan akan datang.

Sekarang susah untuk graduan cari kerja, tambahan pula saya dalam bidang pertanian.

FATIMAH

"Betul orang kata... lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita akan dapat. Saya juga ada buat video agihan nasi lemak itu.

"Tiada niat nak viral, tapi saya mahu kisah ini beri manfaat kepada orang lain. Pada masa sama, saya nak sebarkan lagi mesej positif," ujarnya.

Mengenai dirinya, Fatimah yang juga anak ketiga daripada enam beradik merupakan graduan bidang Agroteknologi dan Pertanian dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

fatimah2

Fatimah merupakan usahawan sambal pucuk ubi sejak 2019.

Akur dengan kesukaran dalam mencari pekerjaan pada zaman ini, Fatimah mengusahakan bisnes sambal pucuk ubi sejak 2019.

"Sekarang susah untuk graduan cari kerja, tambahan pula saya dalam bidang pertanian. Ia sangat mencabar. Jadi ayah beri idea untuk saya buat bisnes yang berkaitan masakan.

"Akhirnya saya pilih untuk bekerja sendiri, berniaga sambal pucuk ubi. Saya komersialkan sambal emak. Alhamdulillah, sambal saya dah masuk ke Singapura.

fatimah3

Fatimah bersama produk keluarannya.

"Saya usahakan di rumah saja, namun rezeki ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, saya dah ada premis sendiri.

"Saya memang bermula secara online sebelum pandemik lagi, jadi memang tiada masalah selepas Covid-19 melanda.

"Sekarang ada lebih 100 pengedar sambal ini di seluruh Malaysia," ujarnya.

fatimah4

Fatimah percaya kepada konsep rezeki dan mahu memberi sesuatu kepada masyarakat dengan bisnes yang dilakukannya.

Kata Fatimah, dia tak pernah menyesal dengan keputusan untuk bergelar usahawan dan menganggap untung rugi dalam bisnes sebagai satu cabaran yang mematangkan dirinya.

"Untuk orang yang baru nak sertai bisnes, yang penting anda kena ada minat. Jangan buat sebab orang lain.

"Saya suka pandang setiap perkara dengan positif, abaikan yang negatif. Alhamdulillah, saya seronok dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain