suria

“Sekarang kami dah mampu beli hadiah” - Rakan-rakan buat ‘air mata jantan’ pemuda ini gugur, tak sia-sia tunjuk contoh kasut idaman

Ashmil ketika menerima kejutan daripada rakan-rakan sempena hari ulang tahun ke-23, Januari lalu.

MUKA ganas tapi hati tisu.

Begitulah yang terjadi kepada seorang pemuda ketika menerima kejutan daripada rakan-rakan sempena hari ulang tahun kelahirannya, menerusi rakaman video di aplikasi TikTok.

Lelaki berkenaan yang sebelum itu tenang membaca kad ucapan hari jadi secara tiba-tiba mengesat air matanya di lengan baju sebaik membuka bungkusan hadiah.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa sudah jadi? Lepasan SPM sujud syukur selepas teruja tengok keputusan, tapi kemudian menangis teresak-esak di riba ibu

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bapa B40' buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak - "Tak mahu mereka jadi seperti saya"

Rakannya yang membuat perkongsian tersebut, Muhammad Multazam Mohd Nasir berkata, video itu sebenarnya dirakamkan pada hari ulang tahun Ashmil Alif Sulaiman yang ke-23 pada 27 Januari lalu.

Namun kata Muhammad Multazam yang juga berusia 23 tahun, video berkenaan hanya dimuat naik di aplikasi TikTok pada hujung minggu lalu dan tidak menyangka ia menjadi tular.

"Ikutkan kami jarang celebrate birthday kawan-kawan, kalau ada pun setakat wish saja. Lebih-lebih lagi sebab birthday dia awal tahun, selalu sangat kami tertinggal.

"Tapi awal bulan tu dia kerap kali ingatkan kami supaya jangan lupa birthday dia. Pada mulanya kami rancang nak sambut ramai-ramai, tapi tak sangka PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 diumumkan nak dekat birthday dia, kedai makan pun tak boleh dine-in," katanya kepada mStar.

muka ganas menangis 2

Azam (kiri) bersama Ashmil bersahabat sejak dari sekolah rendah.

Lebih mesra disapa Azam, katanya, susulan PKP 2.0 dia bersama rakan lain kemudian meneruskan satu lagi rancangan iaitu memberikan hadiah hari jadi kepada Ashmil buat pertama kali.

"Sebelum ini dia selalu beritahu dah lama tak ada kasut baru, dan teringin nak beli yang baru. Ada juga dia tunjukkan contoh-contoh kasut yang dia plan nak beli.

"Jadi, saya dan rakan berpakat ramai-ramai kumpul duit untuk belikan kasut sebagai hadiah birthday dia," katanya sambil menjelaskan kesemua mereka bersahabat sejak di sekolah rendah.

muka ganas menangis 3

Ashmil (hadapan, tengah) dan Azam (hadapan, dua dari kanan) bersama rakan-rakan lain.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, kejutan dibuat di rumah seorang lagi rakan di Sentul di mana pada awalnya hanya sekeping kad ucapan diberikan.

"Masa bagi kad ucapan tu, dia tengah main game. Kalau nak diikutkan dia memang serius bila main game, sama ada tak boleh kacau atau dia tak akan layan.

Persahabatan sebegini memang kami tak boleh lupa sebab bila masing-masing dah kahwin, nanti tak ada atau susah nak dapat peluang macam ni. Masa sekaranglah nak hargai sebaik-baiknya.

AZAM

"Bila dapat kad ucapan tulisan tangan tu, dia diam dan baca depan kami. Mula-mula tu dia boleh tahan, lepas tu menangis sebak kawan-kawan dia bagi hadiah.

"Memang itu hadiah pertama kami bagi sempena birthday dia. Sebab dulu kami masing-masing masih belajar dan sekarang semua dah bekerja, ada income sendiri... dah mampu belikan hadiah," katanya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu.

muka ganas menangis 4

Sewaktu Azam (baju coklat) hendak berpindah ke sekolah vokasional pada 2014.

Bagaimanapun, Azam yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor mendedahkan bahawa ini bukanlah kali pertama rakannya itu mengalirkan ‘air mata jantan’ di hadapan teman-teman.

"Dia ni muka je ganas macam gangster tapi hati tisu, mudah sensitif terutama dengan rakan-rakan. Walaupun nampak garang, tapi penakut juga contohnya tak berani naik roller coaster.

"Paling ketara dia menangis sewaktu kami di tingkatan tiga pada 2014, saya nak masuk ke sekolah vokasional dan tinggal di asrama. Kawan-kawan datang ke rumah untuk jumpa saya, dan dia la yang paling sedih, menangis teresak-esak.

"Begitu juga semasa salah seorang kawan rapat kami meninggal dunia akibat pendarahan otak setahun kemudian. Dia juga yang paling sedih dalam kalangan kami," tambahnya.

muka ganas menangis 5

Antara kenangan bersama rakan-rakan sebelum pandemik Covid-19.

Selain sensitif, kata Azam, rakannya itu disifatkan sebagai seorang yang baik hati, penyayang dan mengambil berat terhadap teman-temannya.

"Bagi saya, persahabatan sebegini memang kami tak boleh lupa sebab bila masing-masing dah kahwin, nanti tak ada atau susah nak dapat peluang macam ni. Masa sekarang lah hargai sebaik-baiknya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain