suria

Seumur hidup tak pernah berenggang, kerana Covid-19 'kakak' terpaksa iringi ibu ke liang lahad - "Ada yang saya tak kenal bercerita kebaikan mama"

Alis reda dengan pemergian ibu yang tersayang.

"DIA adalah segala-galanya bagi saya," itulah kata-kata seorang anak yang langsung tidak pernah berenggang dengan ibunya.

Rakaman visual yang dimuat naik oleh gadis berkenaan memaparkan perjalanan dia menghantar jenazah ibu ke tanah perkuburan.

Video tersebut meraih hampir 270,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik tak putus asa bisnes tepi jalan walau sering ada ‘masalah khemah’, ikan goreng pernah terbang ditiup angin... khemah juga puncanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah disangka peminta sedekah, bapa 2 anak ini tak malu jaja kuih dari rumah ke rumah... siap bantu orang kampung market produk - "Saya beri salam tapi anjing jawab"

Berkongsi cerita dengan mStar, Rieni Alis Illyani Rhymizafri, 21, mengimbau kembali detik arwah ibunya Roswani Abdullah, 48, yang meninggal akibat virus Covid-19.

Jelas gadis berkenaan, ibunya mengadu mengalami sakit kepala yang teruk dan telah mendapat rawatan di Hospital Pantai Sungai Petani, Alor Setar, Kedah.

"Arwah mama mula-mula mengadu sakit kepala. Dalam empat atau lima tahun macam tu, sekali sekala mesti mama akan kena migrain yang teruk. Jadi kami bawa dia ke Hospital Pantai Sungai Petani dan dimasukkan ke bahagian kecemasan, mama diberi drip.

"Kemudian kami pun pulang lah ke rumah dan keadaan mama kembali pulih. Tetapi keesokkan petang tu mama dah mula rasa penat dan batuk-batuk, jadi kami pun bawa dia ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

"Mama disahkan positif Covid-19 pada 12 Julai dan dimasukkan ke wad kerana paras oksigennya yang semakin rendah. Ahli keluarga lain juga menjalani ujian swab sebelum disahkan positif serta menjalani tempoh kuarantin di rumah.

"Esoknya doktor menelefon kami untuk memberitahu yang mama perlu ditidurkan kerana bimbang keadaannya semakin teruk dan memberi kesan kepada paru-parunya. Sebelum ditdurkan pada 21 Julai, mama sempat bercakap dengan kami semua, dia berpesan kepada saya untuk menjaga adik-adik dan keluarga.

IMG_6636

Alis sempat melihat ibunya buat kali terakhir sebaik sahaja tamat tempoh berkuarantin.

"Sepanjang tempoh mama berada di ICU, setiap hari kami buat bacaan surah Yasin secara virtual," katanya yang menetap bersama keluarga di Sungai Petani, Kedah.

Menurut gadis yang mesra disapa Alis, pada mulanya mereka sekeluarga bersyukur apabila menerima berita gembira yang mengatakan ibunya sudah sedar dan dipindahkan ke wad biasa selepas lapan hari berada di ICU.

"Doktor pun terkejut sebab mama memberi respons yang baik dan sebab itu juga mama di pindahkan ke wad biasa dua hari kemudian," katanya.

Namun kegembiraan itu hanya sementara kerana Alis kemudiannya menerima panggilan daripada pihak hospital mengatakan ibunya telah dijemput Yang Esa pada pukul 6.30 petang, 24 Julai iaitu hanya sehari selepas berada di wad biasa.

Alis dan bapanya Rhymizafri Abd Rahim, 48, berpeluang mengiringi jenazah mama sehingga ke liand lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Badlishah pada 25 Julai lalu iaitu hari di mana semua ahli keluarga tamat menjalani tempoh kuarantin.

Walaupun mama ni hanya orang biasa, tapi saya terkejut lah kerana terlalu ramai orang bercerita tentang kebaikannya selepas dia meninggal

RIENI ALIS ILLYANI RHYMIZAFRI

"Jadi saya dan ayah berpeluang untuk menemani mama sehingga ke liang lahad dengan memakai PPE. Memang rezeki mama dapat dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibu bapanya," ujarnya yang bekerja di syarikat milik ibunya, Halawani HQ.

Anak sulung daripada empat beradik itu akui dia tidak pernah sekali pun berjauhan dari ibunya biarpun pernah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di ibu negara.

Alis banyak mempelajari tentang perniagaan dari ibunya sendiri dan kini memegang tanggungjawab untuk meneruskan legasi hasil peninggalan arwah.

"Sepanjang usia 21 tahun ini memang tak pernah berenggang dengan mama, dia adalah segala-galanya bagi saya. Nak pergi sambung belajar di Kuala Lumpur pun tak jadi sebab mama pujuk suruh duduk dengan dia.

IMG_6638

Kini Alis (kanan) menggalas tanggujawab menyambung legasi perniagaan milik arwah ibunya.

"Mama banyak mengajar tentang perniagaan miliknya sebab dia berharap suatu hari nanti saya dapat meneruskan legasi perniagaannya. Sekarang ni saya memikul tanggujawab tersebut disamping menjaga keluarga kami.

"Walaupun mama hanya orang biasa, tapi saya terkejut kerana terlalu ramai orang bercerita kebaikannya selepas dia meninggal. Ada yang saya tak kenal pun bercerita tentang jasa baik yang telah mama lakukan kepada mereka sepanjang hayatnya.

"Saya bersyukur ada seorang mama yang sangat hebat, penyayang dan selalu menolong orang tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada mereka," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain