suria

Video naik tren Bukit Bendera raih hampir 2 juta tontonan, 3 sekawan sanggup gerak 2 pagi dari Kelantan tapi frust sesuatu tak dijangka berlaku

Foto kiri tangkap layar video ketika menaiki tren, foto kanan Fath (tengah) bersama dua rakan di Bukit Bendera.

RAMAI yang kagum dengan video yang dirakamkan dari sebuah tren sehingga rata-rata netizen bertanyakan tentang lokasi tersebut.

Menerusi video yang meraih lebih 1.7 juta tontonan di aplikasi TikTok, pemandangan yang begitu indah membuatkan antara mereka menyangka ia lokasi di luar negara,

"Serius ah, ingatkan kat luar negara."

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya suka 'main-main gambar', tapi hasil fotografi setanding jurugambar UK! Jurutera bongkar identiti di sebalik nama 'Terengganu Celup'

ARTIKEL BERKAITAN: Kaitkan Kuala Sepetang dengan kota popular di Itali buat ramai tak puas hati, siap 'troll' lagi - "Orang Perak pun tak pernah cakap ni Venice, over la alahai"

"I thought it’s from another country (saya ingatkan ini dari negara lain)," antara komen netizen terhadap lokasi tersebut yang sebenarnya yang dirakamkan seorang pengguna TikTok ketika menaiki tren atau funikular di Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Pemilik video tersebut, Siti Nurfatinah Mohd Nawi memberitahu, rakaman dibuat ketika dia bersama dua rakan berkunjung ke Pulau Mutiara awal Januari lalu, sempena sambutan Tahun Baharu 2021.

Gadis berusia 24 tahun itu berkata, ia dirakamkan menerusi landasan sepanjang dua kilometer seawal pukul 6.30 pagi untuk menikmati panaroma indah matahari terbit di puncak bukit.

"Saya dan rakan-rakan ke sana untuk tengok sunrise, sebab itulah kena pergi awal. Masa tu awal pagi, ramai orang nak ke Bukit Bendera untuk hiking.

"Masa tu juga belum dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 dan rentas negeri masih dibenarkan dan kami datang dari Kelantan," katanya kepada mStar.

trip bukit bendera 3

Pemandangan Pulau Pinang dari puncak Bukit Bendera.

Lebih mesra disapa Fath, katanya, dia baru berkongsi rakaman video itu kerana merindui untuk mengembara bersama teman-teman, namun ketika ini aktiviti rentas negeri dilarang.

"Rindu travel dan bercuti. Saya memang suka rakam benda-benda yang cantik bila travel. Ini kali ketiga saya ke Bukit Bendera dengan kawan-kawan.

"Namun pertama kali datang selepas subuh sebab nak tengok matahari terbit. Sampai di atas memang sejuk sangat,” ujarnya yang berasal dari Kota Bharu.

trip bukit bendera 2

Fath (kiri) bersama rakan-rakan menaiki tren.

Menurut anak keenam daripada lapan beradik itu, mereka bagaimanapun tidak berpeluang untuk menikmati pemandangan matahari terbit kerana keadaan berkabus.

"Bayangkan kami gerak dari Kota Bharu pukul 2 pagi dan sampai Pulau Pinang sekitar 5 pagi. Bukit Bendera tu lokasi pertama kami nak pergi sebab nak tengok sunrise.

Kenangan juga lalu di jalan lama dekat Gerik ke Pulau Pinang. Dalam gelap cuma ada cahaya lampu kereta tiba-tiba nampak dua ekor gajah di tepi jalan. Cuak juga masa tu

FATH

"Kami dengan tak tidurnya, makan pun dalam kereta je sebab nak kejar tren naik ke puncak pada awal pagi. Memang frust tak dapat tengok sunrise sebab kabus tebal," katanya.

Bagaimanapun kata Fath, dia dan rakan-rakan tetap bersyukur kerana masih berpeluang menikmati keindahan di pulau itu sepanjang percutian selama tiga hari.

trip bukit bendera 5

Panaroma di awal pagi.

"Rasa puas juga kami dapat berjalan-jalan di Pulau Pinang sebelum PKP, sebab dapat makan-makan seperti dimsum, pasembur dan cendol.

"Satu lagi kenangan semasa lalu di jalan lama dekat Gerik ke Pulau Pinang. Dalam gelap cuma ada cahaya lampu kereta tiba-tiba nampak dua ekor gajah di tepi jalan. Cuak juga masa tu," tambahnya.

trip bukit bendera 4

Fath merakamkan kenangan di Bukit Bendera.

Fath yang merupakan pemandu Grab separuh masa tidak menyangka videonya menarik perhatian warga Pulau Pinang yang sudah lama tidak berkunjung ke tumpuan pelancong itu.

"Video saya mengubat kerinduan orang ramai terutama mereka yang teringin berkunjung ke Pulau Pinang. InsyaAllah, pasti kami akan ke Bukit Bendera lagi untuk melihat matahari terbit," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain