suria

Kerja dalam suasana toksik sampai kena jumpa psikiatri, wanita ini nekad angkat kaki... bisnes berjaya bukti dirinya tak gila!

Norhasimah menempuh pelbagai dugaan sewaktu bekerja dalam suasana pejabat yang disifatkan sebagai 'toksik'.

PERNAH digelar gila, wanita ini membuktikan bahawa dia mampu untuk bangkit dari segala dugaan yang dilalui.

Menerusi rakaman yang dimuat naik olehnya, dia mengimbas kembali kisah duka sewaktu bekerja di tempat kerja lamanya.

Perkongsian tersebut meraih hampir 50,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini gelak sakan tunangnya menangis suntik vaksin, mengadu ‘belum cucuk dah rasa sakit’... pernah juga ‘buat hal’ masa nak cabut gigi

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini lawat rakan bergelut sara keluarga! Beli rumah harga RM100, cari rezeki guna perahu pinjam - “Telefon dah jual nak beli barang dapur”

Bercerita kepada mStar, Norhasimah Muchtar, 32, berkata, peristiwa itu berlaku sewaktu dia bekerja di sebuah syarikat pada tahun 2013.

Sepanjang bekerja di situ dia mendakwa mendapat layanan yang buruk selain perlu berada di dalam persekitaran pejabat yang dianggapnya sebagai toksik.

"Kisah di sebalik video itu menerangkan tentang pengalaman saya semasa bekerja di bahagian pelaburan selama lebih kurang dua tahun.

"Sepanjang bekerja saya mendapat layanan buruk dan dilemparkan dengan kata-kata kesat yang tak sepatutnya," dakwanya.

Mesra disapa Hasimah, dia mendakwa turut dianiaya oleh rakan sekerjanya sendiri sehingga dipanggil oleh pihak syarikat dan dimarahi sehingga dia pengsan.

"Belum sempat saya mempertahankan diri, saya dimaki di hadapan pekerja lain sehingga menyebabkan saya pengsan. Maka bermulalah detik hitam apabila saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pesakit psikitari.

IMG_6934

Surat yang dikeluarkan oleh pihak HKL selepas Hasimah dikejarkan ke hospital akibat pengsan di pejabat.

"Pihak HKL ada memberikan referral letter untuk saya bercuti dan pulang ke kampung bagi menenangkan fikiran. Membaca surat itu, ada yang menggelarkan saya 'gila' di pejabat," katanya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Setelah melalui pelbagai dugaan di syarikat tersebut, anak kedua daripada empat beradik itu mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan karier baharu dia sebuah syarikat swasta di Johor Bahru pada tahun 2015.

Hasimah mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama dengan, Mohamad Iskandar Maamin, 32, dan berhenti kerja sekali lagi pada tahun 2019 sebagai persediaan menimang cahaya mata.

"Saya terpaksa berhenti sebab peluang ini amat saya nanti-nantikan kerana saya menjalani rawatan kesuburan di hospital swasta untuk hamil.

"Sebelum ini saya ada buat bisnes part time seperti menjual barangan bayi dan kek tetapi beralih kepada perniagaan sabun kerana ia merupakan barang keperluan.

Buat sesuatu yang kamu minat dan yang penting berdoa pada Allah untuk berikan kekuatan.

NORHASIMAH MUCHTAR

"Saya bermula dari rumah dan mendapat tempahan pelanggan sehingga berjaya membuka kedai sendiri serta menghasilkan sabun muka serta sabun cecair. Suami banyak memberi dorongan dari segi modal dan teknikal sehingga saya berjaya," ujarnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berpesan kepada orang ramai supaya tidak malu untuk mendapatkan bantuan daripada pakar sekiranya mempunyai masalah tekanan kerana ia sebenarnya sangat membantu.

Tambahnya lagi, setiap individu harus bergaul dengan golongan yang berfikiran positif dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk diberikan kekuatan dalam menjalani kehidupan.

"Bagi yang mengalami situasi sama, saya nasihatkan jangan malu untuk berjumpa pakar psikiatri dan abaikan mereka yang menggelarkan kamu gila hanya kerana kamu memerlukan rawatan.

"Tanpa dorongan pakar psikiatri, orang yang mengalami tekanan perasaan ini tidak dapat menilai mana yang baik dan buruk kerana tiada bimbingan yang betul.

IMG_6964

Suaminya banyak membantu dari segi modal dan memberi dorongan sepanjang mengendalikan bisnes menjual sabun.

"Cuba keluar dari persekitaran toksik tersebut dan bergaul dengan kawan-kawan yang positif. Buat sesuatu yang kamu minat dan yang penting berdoa pada Allah untuk berikan kekuatan.

"Jangan membalas mereka yang membuat kita dan abaikan semuanya. InshaAllah, jika anda berada di pihak yang benar, Allah yang akan membalas perbuatan mereka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain