suria

Jurugambar bikin gempak hasilkan foto ‘cahaya’ Jalur Gemilang, silap langkah boleh tersadung! - “Tahun ni tak lepak gerai nasi lemak Kampung Baru”

Patrick menggunakan teknik 'light painting' bagi menghasilkan cahaya Jalur Gemilang.

WOW! Jalur Gemilang 'bersinar' di hadapan bangunan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.

Begitulah penangan rakaman lensa kamera seorang jurugambar yang dikongsi di laman Instagram HeartPatrick sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos.

Siapa sangka di sebalik pembikinan foto tersebut, ia sebenarnya merupakan alunan cahaya Jalur Gemilang, sekali gus menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat - "Ia nasi lemak terbaik saya rasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Hanya guna telefon, foto ala Doctor Strange ibarat 'mesin masa' - "Saya nak ke tahun 2024 di mana Covid-19 perkara lampau"

Jurugambar berkenaan, Teow Koon Meng berkata, fotografi tersebut berkonsepkan light painting yang juga teknik pengimejan menggunakan pergerakan sumber cahaya.

Lebih dikenali sebagai Patrick, katanya, teknik tersebut yang dibuat baru-baru ini adalah sama yang digunakannya ketika rakaman fotografi Jalur Gemilang di Kampung Baru di ibu negara untuk menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan negara ke-63, Ogos tahun lalu.

"Foto ini melambangkan bagaimana rakyat Malaysia dapat merayakan Hari Kebangsaan dengan cara istimewa tersendiri berikutan pandemik yang belum reda.

"Saya memilih untuk 'melakar' jalur gemilang sekali lagi bagi menunjukkan walaupun kita masih belum dapat mengadakan acara dan perjumpaan beramai-ramai, ia bukan halangan untuk menzahirkan betapa saya cintakan negara," katanya kepada mStar.

jalur gemilang klcc 3

Foto 'Jalur Gemilang' yang dirakamkan di Kampung Baru, pada 2020.

Jurugambar berpengalaman lebih 12 tahun itu memilih KLCC kerana ia struktur moden paling dikenali di Malaysia dan bersesuaian dengan teknik fotografi light painting yang digunakan.

Patrick berdepan cabaran ketika membuat rakaman dengan berjalan pantas menuruni tangga, sambil memegang batang lampu atau light stick yang mengandungi kad SD yang dimuat naik imej Jalur Gemilang.

"Tidak seperti fotografi sebelum ini di Kampung Baru yang dilakukan di atas jalan yang rata, lokasi kali ini melibatkan beberapa anak tangga di hujung air pancut di hadapan KLCC.

"Pergerakan pantas semasa penggambaran jauh lebih mencabar. Saya harus memastikan saya tidak tersandung dan jatuh ketika bergerak cepat untuk 'melakar' Jalur Gemilang," katanya yang melakukan persediaan dan latihan, sekitar pukul 7 malam.

jalur gemilang klcc 5

Sesi rakaman fotografi di hadapan KLCC.

Tambahnya, sesi fotografi itu mengambil masa kira-kira 30 minit.

Menurut jurugambar kelahiran Kuala Lumpur itu, sesi fotografi tersebut juga secara tidak langsung mengubat kerinduannya terhadap sambutan Hari Kebangsaan sebelum pandemik.

"Saya rindu percikan bunga api, dan pergi ke Dataran Merdeka bersama rakan-rakan untuk menyaksikan acara perbarisan secara langsung. Malangnya, pandemik yang berlaku membuat kita semua perlu berhati-hati di khayalak ramai.

Pergerakan pantas semasa penggambaran jauh lebih mencabar. Saya harus memastikan saya tidak tersandung dan jatuh ketika bergerak cepat untuk 'melakar' Jalur Gemilang

PATRICK

"Seperti lokasi fotografi di KLCC, walaupun ia merupakan tumpuan pelancong yang sangat popular tetapi ia lengang disebabkan wabak yang melanda negara.

"Walaupun ada orang awam yang berasa ingin tahu dengan apa yang kami lakukan, namun terpaksa melihatnya dari jauh bagi mengikut penjarakkan fizikal," katanya.

jalur gemilang klcc 7

Patrick berpengalaman sebagai jurugambar lebih 12 tahun.

Jika tahun lalu Patrick bersama rakan menikmati nasi lemak di sebuah gerai di Kampung Baru selepas sesi fotografi Jalur Gemilang, namun ia tidak berlaku pada tahun ini meskipun kini individu yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan 'dine-in' atau makan di restoran.

"Malangnya, rakan saya masih belum terima dos kedua vaksin. Hanya saya yang sudah lengkap divaksin. Dia terus balik rumah selepas fotografi dan saya hanya bungkus makanan dan makan di rumah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain