suria

Video ‘port baik’ air terjun raih jutaan views gara-gara lubang menyelam, siapa nak pergi sila buat persediaan stamina bimbang ‘mental koyak’

Video yang dimuat naik oleh Yong mengenai pengalaman menyelam di lubang Air Terjun Chemerong meraih melebihi 6 juta jumlah tontonan di TikTok.

KEKANGAN untuk melancong atau melakukan aktiviti outdoor sejak dua tahun lalu gara-gara pandemik Covid-19 membuatkan rata-rata warganet membuat perkongsian 'throwback' di media sosial bagi melepaskan rindu.

Begitu juga dengan wanita ini yang berkongsi momen tidak dapat dilupakan ketika melakukan aktiviti mendaki gunung (hiking) dan meneroka keindahan air terjun di dalam hutan.

Video yang dikongsi di aplikasi TikTok memaparkan aktivitinya bersama rakan-rakan menyelam di 'port' menarik di sebuah air terjun yang jernih mengundang keterujaan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Rindunya kampung! Video pemuda berkubang dalam terusan raih hampir 2 juta views kurang dari 24 jam, air jernih disamakan dengan longkang di Jepun

ARTIKEL BERKAITAN: Dah masuk banyak hutan, tawan 6 gunung tanpa gangguan... pemuda pencinta alam mengaku ‘goyang’ terserempak gajah

"Cuba teka, pergi mana diaorang?" tulisnya pada kapsyen video yang sehingga kini meraih 6.1 juta jumlah tontonan!

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nursoleha Hitam berkata video berkenaan diambil ketika dia dan rakan-rakan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyertai aktiviti mendaki Gunung Chemerong, Berembun, Langsir (CBL) di Hulu Dungun, sekitar tiga tahun lalu.

"Sebelum ni saya hiking bukit saja... itu adalah pertama kali saya sertai hiking gunung. Memang mencabar fizikal dan mental. Trek sepanjang naik ke gunung sangat mencabar.

"Ambil masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk sampai ke puncak yang ada Air Terjun Chemerong. Memang lawa sangat! Berbaloi dapat lihat keindahan air terjun selepas berjam-jam mendaki. Air pula sangat sejuk.

"Port yang kami menyelam seperti dalam lubang tu, sebenarnya ia taklah sedalam yang disangka atau ada laluan tembus ke kawasan lain di situ. Bila kita selam, automatik ia akan menolak kita ke atas semula.

air terjun baru 1

Berjaya menawan puncak Gunung Berembun.

"Nak tergelak juga baca komen netizen. Sengaja saya upload video separuh dulu dan letak kapsyen nak trigger perasaan tertanya-tanya mereka. Ada yang komen 'dah pergi ke alam di sebalik mata' dan lain-lain. Sampai ramai DM minta saya cepat-cepat upload sambungannya," ceritanya sambil ketawa kecil.

Menurut wanita yang senang disapa sebagai Yong ini, dia baru sahaja membuka akaun TikTok namun tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada netizen.

"Sebenarnya saya buka akaun TikTok sebab nak buat bisnes online. Mula-mula tu saya buat live namun sambutan sangat hambar. Sebelum tidur, saya saja upload video masa sedang hiking ke Air Terjun Chemerong.

air terjun baru 3

Kepenatan mendaki gunung berbaloi apabila dapat menikmati keindahan air terjun.

"Esoknya bila bangun, hairan kenapa banyak sangat notifikasi masuk. Rupa-rupanya video pertama yang saya upload tu viral. Saya pun sunting dan upload video di air terjun tu dipecahkan kepada beberapa bahagian.

"Tak sangka kesemua empat video yang saya kongsi tu raih tontonan yang tinggi dengan dua daripadanya raih jutaan views. Seronok sangat baca komen netizen yang teruja dengan keindahan lokasi kami pergi.

"InsyaAllah, selepas ini saya akan upload video 'awan karpet' iaitu gumpalan awan yang sangat indah sewaktu di atas puncak Chemerong," ujar graduan jurusan Pengurusan Pelancongan ini lagi.

Memang lawa sangat! Berbaloi dapat lihat keindahan air terjun selepas berjam-jam mendaki. Air pula sangat sejuk.

SITI NURSOLEHA HITAM

Bercerita lebih lanjut, Yong berkata dia sendiri tidak menyangka sudah 'jatuh cinta' dengan aktiviti hiking selepas menyertainya kali pertama ke gunung berkenaan.

"Sebenarnya sebelum ini saya lebih suka diving (menyelam), namun kini dah bertambah lagi satu hobi iaitu hiking. Rindu sangat nak buat aktiviti outdoor. Sekarang ni bekerja di Kuala Lumpur, hanya mampu tengok bangunan konkrit saja.

"Kali terakhir saya hiking adalah pada Disember 2020 iaitu ke Gunung Datuk di Negeri Sembilan. InsyaAllah jika kelonggaran diumumkan nanti, saya bercadang nak tawan Gunung Stong di Kelantan pula.

air terjun baru 2

Menikmati pemandangan 'awan karpet' di puncak gunung.

"Seronok sebenarnya hiking ni... dapat merasai keindahan alam semula jadi. Bagi yang nak cuba berjinak-jinak dengan hiking, saya cadangkan cuba dahulu hiking di bukit untuk bina stamina sebagai persediaan hiking ke gunung.

"Sebab hiking ke gunung ni memerlukan stamina yang tinggi serta mencabar fizikal dan mental. Kalau tak kena gaya, mental 'koyak' sebelum sampai puncak. Tapi bila dah berjaya, segala penat lelah terasa berbaloi," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain