suria

Jurutera meninggal selepas kucing ‘putih berseri’ tiba-tiba munculkan diri, sempat lukis pohon tua di dinding bilik - “Naluri mak betul...”

Allahyarham Mohd Redzuan sempat melukis gambar pohon tua di dinding biliknya beberapa hari sebelum meninggal dunia.

LEBIH kurang 10 tahun menyimpan cerita, wanita ini akhirnya terbuka hati berkongsi kisah mengenai pemergian tragis arwah abang sulungnya di media sosial.

Lima video yang dimuat naik secara berasingan di aplikasi TikTok yang menceritakan tragedi pilu pada 2011 itu benar-benar membuatkan netizen turut sama berasa sebak.

"Ini lukisan arwah abang sebelum meninggal dunia. Walaupun lukisan ni dah berusia 10 tahun tapi masih nampak hidup... macam baru semalam arwah abang lukis," demikian tulis wanita berkenaan pada perkongsian videonya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh adik terkesan kakak sulung meninggal selepas kaki kena minyak panas, lebih pilu tengok reaksi anak bongsu arwah di bilik mayat

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik tolak pelawaan abang, tak jamah nasi lemak terakhir yang dibeli... adik bawa rasa terkilan sampai ke Jepun - “Dia meninggal tiga hari selepas birthday”

Dalam kesemua lima video yang dimuat naik itu, ia memaparkan imej sebatang pohon tua disinari cahaya bulan yang dilukis pada dinding bilik menggunakan pensel, selain tertulis sepotong hadis pada bahagian bawahnya - cukup menghantar makna yang terbuku dalam hati pelukisnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Sue Farahanis berkata peristiwa berkenaan cukup memberi kesan mendalam buat seluruh keluarganya sehingga kini meskipun sudah sedekad berlalu.

"Sebenarnya saya ada komen pasal kisah kehilangan ahli keluarga dekat satu akaun TikTok. Daripada situ, ramai minta saya share kisah abang. Berbulan-bulan saya ambil masa sebelum buat keputusan nak bercerita.

"Kebetulan baru-baru ini saya ke rumah emak dan kemas-kemas bilik arwah. Nampak pula lukisan yang pernah dilukisnya pada dinding bilik. Akhirnya saya tergerak untuk kongsi... mudah-mudahan memberi mesej serta iktibar pada orang lain," ujar wanita berusia 30 tahun ini.

Mengimbas kembali kisah tragis tersebut, wanita ini berkata arwah abang sulungnya, Mohd Redzuan Md Jaya sudah pun menunjukkan kelainan sebelum dijemput ajal.

derma darah

Arwah Mohd Redzuan seorang yang suka menderma darah.

"Arwah dulu bekerja sebagai jurutera di Sungai Petani... dia berulang je dari rumah kami di Kuala Nerang. Masa tu arwah berusia 26 tahun, tubuhnya sihat... memang tak ada apa-apa penyakit.

"Beberapa bulan sebelum meninggal dunia, arwah seolah-olah suka menyendiri. Lepas balik kerja, dia suka habiskan masa dekat bilik. Beberapa hari sebelum ajal, dia sempat siapkan lukisan pohon tu di dinding.

"Pada satu pagi, masa dia termenung di luar, tiba-tiba dia panggil saya.. beritahu ada kucing cantik warna putih bersih dekat jalan. Saya pun jenguk, memang betul ada seekor dan kemudian hilang entah ke mana.

"Tak lama lepas tu, abang keluar. Kami ingat dia ada hal. Tapi sampai petang tak balik rumah. Call tak angkat dan tiada respons. Masa tu mak menangis dah," ceritanya sambil menambah, ketika itu dia berusia 20 tahun.

abang nisan

Pusara Allahyarham Mohd Redzuan yang meninggal dunia pada 2011.

Cerita wanita ini lagi, lebih aneh, kucing-kucing peliharaan abangnya pula bisingnya berbeza daripada kebiasaan, seolah-olah cuba menghantar satu petanda.

"Naluri mak... dia dapat kesan sesuatu sedang berlaku, lebih-lebih lagi tengok gelagat kucing-kucing abang. Lewat petang tu, adik dan kawan-kawannya berpecah cari abang merata tempat tapi tak jumpa.

"Akhirnya mereka cuba cari di dusun ayah. Masa tengah melaung nama abang, adik tiba-tiba dengar suaranya dua kali beritahu 'abang kat sini'. Adik pun terus pergi ke arah suara itu namun terkejut bila nampak sekujur tubuh abang terbaring atas tanah.

Dia pendiam, tak suka bercakap buruk hal orang, penyayang dan sangat sayangkan haiwan.

SUE FARAHANIS

"Adik sendiri pengsan selepas tu. Polis yang tiba tak lama kemudian periksa tiada unsur jenayah. Bedah siasat dilakukan untuk pastikan punca kematian, namun hasilnya, memang tak ada penyakit apa.

"Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Memang berat kami nak terima berita tiba-tiba ni, lagi-lagi kami lapan beradik memang rapat antara satu sama lain. Arwah pernah kata, kucing kalau nak mati, mesti nak mati jauh-jauh sebab tak mahu tuannya sedih... tapi apa yang dicakapkannya itu seolah-olah terjadi padanya," ujarnya sebak.

Bercerita mengenai keperibadian abang sulungnya itu, wanita ini berkata arwah sangat disayangi dan disenangi keluarga dan rakan-rakannya, malah merupakan seorang yang sangat sayangkan haiwan.

"Dia pendiam, tak suka bercakap buruk hal orang, penyayang dan sangat sayangkan haiwan.

adik beradik

Gambar arwah Mohd Redzuan (bawah) yang disunting bersama gambar tujuh lagi adik-adiknya.

"Kami semua memang pencinta haiwan, tapi sifat sayangnya pada haiwan lebih tinggi lagi. Bukan pada kucing je, malah dia pernah rawat anjing, tupai, ular pun pernah," ujarnya yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata.

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Sue Farahanis berkata dia terharu apabila menerima kata-kata semangat malah ramai yang turut mendoakan arwah abang sulungnya itu.

"Alhamdulillah ramai sangat yang mendoakan arwah. Saya cuma nak tekankan, memang tak rugi berbakti kepada haiwan. Saya harap arwah abang di sana berkumpul bersama-sama haiwan yang pernah ditolongnya.

"Sedikit sebanyak saya harap mesej daripada perkongsian saya memberi manfaat pada yang lain," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain