suria

Kerjanya urus jenazah dan tangkap ular, tapi dua-dua kerja amal! Pemuda ini pernah dapat 2 panggilan serentak, agaknya mana satu nak bantu dulu?

Muhamad Hafiz melakukan kerja amal sebagai seorang penangkap ular dan salah seorang team pengurusan jenazah di Perlis.

MELAKUKAN dua pekerjaan dalam satu masa merupakan perkara yang agak biasa pada ketika ini, termasuklah bagi pemuda bernama Muhamad Hafiz Alias.

Namun apa yang membezakan pemuda ini dengan mereka yang melakukan dua kerja untuk meraih rezeki adalah jenis pekerjaan yang dilakukan.

Pemuda berusia 30 tahun ini memilih untuk menjadi sebahagian daripada team pengurusan jenazah merangkap penangkap ular dalam masa yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyah dedah tak pakai ilmu tangkap King Kobra besar lengan – “Geram, ular patuk ibu saudara tak sempat ditangkap”

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba je marah Aris! Video sapu sampah tepi buaya tembaga raih lebih 3.5 juta views, lelaki ini dedah punggung nyaris dibaham - “Terlintas nak cari kerja lain tapi...”

Lebih 'rare', kedua-dua pekerjaan tersebut adalah kerja amal untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Sebelum ini saya bekerja di Taman Ular Perlis sejak hampir empat tahun lalu. Dalam masa yang sama sejak pandemik melanda, saya menjadi sukarelawan untuk menghantar jenazah pesakit Covid-19 ke tanah perkuburan.

"Namun dua minggu lalu saya ambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan di Taman Ular. Jadi ketika ini saya buat kerja amal secara persendirian tanpa terikat dengan mana-mana majikan.

"Jenazah pesakit Covid-19 sudah diuruskan pihak hospital, dan tugas saya adalah untuk hantar ke perkuburan. Saya tak terlibat dalam urusan menyempurnakan jenazah tersebut.

"Namun saya terlibat dengan pengurusan jenazah biasa. Ada masanya team pengurusan jenazah di Perlis panggil untuk minta bantuan sama ada dari segi urusan memandikan, mengkafankan dan hantar ke kubur," kata anak jati Arau, Perlis ini.

ular baru 1

Muhamad Hafiz sentiasa bersedia menerima panggilan daripada mereka yang memerlukan bantuannya untuk menangkap ular.

Banyak berkongsi video dan gambar di TikTok ketika melakukan dua pekerjaan tersebut, Muhamad Hafiz turut berkongsi pengalaman yang mana dia pernah menerima dua panggilan untuk menangkap ular dan menghantar jenazah pada masa sama.

"Mujurlah masa tangkap ular tu tak ambil masa lama. Selepas selesai, terus bergegas menghantar jenazah pula," kata anak kedua daripada lima beradik ini.

ular baru 2

Muhamad Hafiz pernah terlantar koma selama dua minggu kerana dipatuk ular tedung selar pada 2019.

Bercerita mengenai kemahirannya menangkap ular termasuk spesies berbisa seperti tedung selar dan ular senduk, Muhamad Hafiz berkata dia mewarisi ilmu tersebut daripada bapanya.

"Ayah saya dulu pernah bekerja di Taman Ular dan selalu bantu tangkap ular. Jadi kemahiran itu menurun kepada saya pula. Hanya saya seorang saja dalam adik beradik yang mewarisi kemahiran ini," katanya yang terkenal dengan nama jolokan Hafiz King di sekitar Perlis.

Bercerita serba sedikit mengenai pekerjaan yang berisiko tinggi itu, Muhamad Hafiz berkata dia tidak mengamalkan ilmu khusus sebaliknya hanya menguasai teknik dan sifat ular.

Sepanjang terlibat dengan ular, dah sembilan kali saya kena patuk... dua daripadanya hampir meragut nyawa saya.

MUHAMAD HAFIZ ALIAS

"Ular yang masuk rumah orang seperti tedung selar ni memang 'dia' suka lari sebab liar... jadi susah nak tangkap. Saya cuma tarik perhatian, cuba main-main dulu bagi dia hilang stres. Bila dia angkat kepala dan tegak, masa itulah sambar lehernya," kongsinya.

Sungguhpun sudah mempunyai pengalaman mengendalikan ular selama beberapa tahun, Muhamad Hafiz tidak terkecuali menjadi mangsa patukan reptilia itu.

"Sepanjang terlibat dengan ular, dah sembilan kali saya kena patuk... dua daripadanya hampir meragut nyawa saya. Masa dipatuk pada 2017, saya masuk hospital juga.

urus jenazah

Muhamad Hafiz melakukan kerja amal sebagai salah seorang team pengurusan jenazah di Perlis.

"Tapi paling tak boleh lupa, kejadian pada 2019 di mana saya dipatuk ular tedung selar sehingga koma dua minggu di hospital. Nak kata serik, awal-awal tu serik juga.

"Tapi bila fikir balik, ramai yang memerlukan bantuan dan libatkan nyawa mereka juga. Bila dapat panggilan minta tangkap ular, seboleh-bolehnya saya akan cari sampai jumpa. Sebab kita bimbang, kalau tak jumpa ular, nyawa penghuni dalam bahaya.

"Selepas jumpa, saya lepaskan ke habitatnya yang jauh dari rumah orang. Dua kerja yang saya buat ni memang kena standby selalu sama ada tengah malam atau awal pagi. Penat tapi bila ingat nawaitu asal, penat tu hilang. Selagi saya sihat, selagi itulah saya akan cuba bantu," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain