suria

Tiga bibik tiba di hospital swasta disangka nurse... cekap buat kerja, majikan ‘payung’ kos vaksin lebih RM1,000 - “Setiap seorang ada 10 uniform”

Foto kanan Farah (tengah) bersama dua pembantu rumah, foto kiri tiga pembantu rumah Farah selepas menerima dos vaksin Covid-19 di hospital.

DISANGKA jururawat dalam kalangan netizen, tetapi sebenarnya bukan.

Begitulah reaksi warganet terhadap sebuah video di aplikasi TikTok yang memaparkan tiga wanita berpakaian seragam warna kelabu di sebuah hospital.

Namun sangkaan itu meleset apabila ketiga-tiga mereka sebenarnya pembantu rumah yang digelar 'bibik', hadir ke hospital untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat - "Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang"

ARTIKEL BERKAITAN: Baiknya bos! Wanita ini 'saja-saja' bawa staf Pakistan staycation di hotel 4 bintang, jalan-jalan cari makan - "Mereka pernah menangis sebab saya"

Majikan mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Farah Syazwani berkata, dia membawa tiga pembantu rumah warga Indonesia untuk menerima dos pertama vaksin pada minggu lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Wanita berusia 27 tahun itu mengakui pakaian seragam yang dipakai ketiga-tiga pembantu rumahnya berusia antara 25 dan 35 tahun itu turut dipakai di rumahnya yang terletak di Selangor.

"Mereka pakai uniform di rumah. Setiap baju ada nombor dan nama khusus supaya baju mereka tak tertukar dan senang diuruskan.

"Setiap seorang ada 10 pasang, warna berbeza mengikut hari. Isnin pakai baju hitam, Selasa biru gelap, Rabu merah jambu, Khamis hijau gelap, Jumaat kelabu, Sabtu hitam dan Ahad biru gelap," katanya kepada mStar.

bibik vaksin 3

Tiga pembantu rumah Farah merupakan warga Indonesia.

Farah berkata, dia membawa ketiga-tiga pembantu rumahnya yang berkhidmat sejak tiga tahun lalu untuk menyuntik vaksin sebagai langkah berjaga-jaga ketika pandemik Covid-19.

"Saya ambil langkah berjaga-jaga dari kesihatan, terutama saya mempunyai dua anak yang masih kecil iaitu kategori yang belum boleh divaksin.

"Kesemua mereka menerima dos vaksin atas tanggungan saya sendiri dengan kos keseluruhan lebih RM1,000.

"Mereka juga yang ditugaskan sebagai pengasuh untuk anak-anak saya, selain menguruskan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas dan membasuh baju," ujarnya sambil menambah anak lelakinya kini berusia tiga tahun dan anak perempuan berumur setahun.

bibik vaksin 5

Farah bersikap prihatin dengan memastikan semua pembantu rumahnya turut divaksin.

Menurutnya, dia mengambil pendekatan untuk membawa pembantu rumahnya ke hospital swasta bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19, memikirkan lambakan warga asing di pusat pemberian vaksin (PPV) tertentu.

"Sebagai langkah selamat, saya buat appointment dengan pihak hospital sebelum membawa mereka untuk menerima suntikan vaksin," kata Farah.

Sebagai majikan, kita perlu menghargai pekerja walau sekecil-kecilnya. Kita kena peka keperluan mereka. Bila mereka rasa dihargai, mereka lebih gembira dan ikhlas bekerja

FARAH SYAZWANI

Usahawan dalam bidang eksport dan import itu berkata, dua pembantu rumahnya dari Jakarta, manakala seorang lagi berasal dari Malang di Jawa Timur, Indonesia.

"Syukur Alhamdulillah kesemua mereka tiada kesan sampingan. Yang penting mereka gembira divaksin, kasihan dengan keluarga mereka di kampung ada yang masih belum dapat vaksin," katanya sambil menambah ketiga-tiga pembantu rumahnya merupakan ibu tunggal.

bibik vaksin 4

Farah menyifatkan tiga pembantu rumahnya begitu penyayang, amanah dan rajin.

Mengulas lanjut, Farah menyifatkan kesemua bibiknya sebagai pekerja yang begitu penyayang, amanah dan rajin.

"Seorang bibik pandai jaga anak-anak saya, boleh nampak naluri keibuannya. Seorang lagi pantas buat kerja, dan mudah ingat. Dia sentiasa mengingatkan saya dalam banyak perkara.

"Manakala seorang lagi pula pandai mengemas rumah, sangat bersih... tak akan jumpa walau sehelai rambut di lantai. Bila lipat baju, memang tersusun ikut warna dan saiz.

"Apa yang paling saya terharu apabila ketiga-tiga mereka sanggup kumpul duit guna gaji masing-masing untuk belikan hadiah hari jadi untuk kedua-dua anak saya.

"Sebagai majikan, kita perlu menghargai pekerja walau sekecil-kecilnya. Kita kena peka keperluan mereka. Bila mereka rasa dihargai, mereka lebih gembira dan ikhlas bekerja," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain